Ketika ditemubual dalam slot Warna Pagi di Radio IKIM.fm semalam, beliau menjelaskan bahawa ia adalah salah satu resolusi dalam Seminar Keluarga Dalam Pelaksanaan Syariah 2016 pada Sabtu, 26 Mac yang lalu di Shah Alam.
“Program berjalan lancar dan mendapat sambutan yang baik,” tambah beliau.
Beliau berkata, untuk seminar kali ini, sasaran tertentu iaitu hakim-hakim Mahkamah Syariah di sekitar Selangor dan semua kakitangannya turut bersama selain wakil-wakil pertubuhan wanita yang terlibat dalam usaha-usaha pembelaan wanita.
“Banyak perubahan yang telah dilakukan oleh Mahkamah Syariah Negeri Selangor di bawah pimpinan YAA Dato Dr Naim Hj Mokhtar. Ia sebagai contoh yang dapat dan boleh dilaksanakan di negeri-negeri lain.”
Dalam pada itu, peguam Puan Sazira Abdul Aziz berkata, seminar tersebut terbahagi kepada dua sesi di mana yang pertama berupa ucaptama yang disampaikan oleh Datuk Ismail Yahya, mantan Ketua Hakim Syarie Negeri Terengganu yang memfokuskan tajuk “Ke Arah Mahkamah Syariah Yang Mesra Keluarga”.
“Dalam ucaptama tersebut, Datuk Ismail memfokuskan kepada sistem inquisitorial yang mana di Mahkamah Syariah, hakimnya lebih bertindak aktif jika dibandingkan dengan sistem adversarial di mana hakimnya pasif dan neutral,” jelas beliau.
Justeru dalam kes ini menurutnya, hakim akan aktif bertanya dan memberi nasihat dan antara sebab-sebab kelewatan sesuatu kes adalah disebabkan tangguhan mahkamah, kes ditutup dan di buka semula serta peguam yang bertukar.
“Manakala keduanya adalah forum daripada YAA Datuk Mohd Naim dan Datuk Haini Hassan, Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman yang mewujudkan ruang interaksi antara pihak mahkamah untuk menjelaskan manakala peserta yang hadir untuk bertanya,” kata Sazira.
Dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, YB Dr Daroyah Alwi sendiri, beliau dapat mendengar daripada pihak mahkamah dan masyarakat apa keluhan rakyat dan dapat memperbaiki serta menambah baik sistem yang sedia ada.
“Forum ini dilihat sangat berjaya di mana pihak-pihak dapat bertanyakan soalan dan mahkamah menjelaskan pelbagai isu-isu yang dibangkitkan.”
Che Asmah berkata, maka dengan itulah Wanita IKRAM mengambil pendekatan membuka ruang untuk memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai sistem yang ada, penambah baikan yang telah dilakukan dan bagaimana mereka boleh mendapatkan hak dalam melaksanakan keadilan tersebut.
Beliau turut menjelaskan enam resolusi yang dihasilkan dalam seminar tersebut iaitu:
1. Bersama-sama meneruskan usaha-usaha bagi meningkatkan mutu kualiti pekhidmatan kepada pelanggan oleh pihak Mahkamah Syariah sendiri, khasnya Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS) yang boleh dijadikan contoh kepada institusi-institusi Mahkamah Syariah di negeri-negeri lain.
2. Mahkamah Syariah lebih bersifat inquisitorial terutama dalam kes-kes yang melibatkan penceraian, fasakh, takliq dan rujuk.
3. Jabatan Bantuan Guaman diperkasakan dengan memberi penambahan peruntukan kepada agensi tersebut bagi membolehkan mereka melebarkan usaha-usaha bantuan guaman mereka kepada rakyat yang memerlukan, kerana ia adalah satu agensi penting yang banyak mengendalikan kes-kes pembelaan wanita dan keluarga.
4. Menyokong usaha-usaha agensi kerajaan untuk terus memberikan kerjasama dan sokongan dalam menjayakan inisiatif yang telah dilakukan bagi meningkatkan martabat Mahkamah Syariah.
5. Sebagai NGO, Wanita IKRAM khususnya akan bekerjasama dengan semua NGO dan menggalakkan NGO-NGO berperanan aktif dalam memberi kefahaman kepada masyarakat agar mereka lebih celik undang-undang dan memahami proses-proses yang berlaku dalam mahkamah itu sendiri.
6. Mengkaji penubuhan Child Support Agency yang dapat membantu dalam urusan-urusan nafkah.
Walaupun sudah ada badan sokongan keluarga yang diusahakan di peringkat Mahkamah Syariah kata Che Asmah, Child Support Agency ini adalah satu lagi kaedah yang perlu dikaji dan diperhalusi untuk melihat sama ada ia boleh dilaksanakan dalam membantu memperbaiki urusan-urusan pembayaran nafkah kepada anak-anak.
“Justeru, Wanita IKRAM akan melihat kepada perkara ini selain mengumpulkan sumber-sumber yang ada untuk mengemukakan satu cadangan sama ada pelaksanaan itu boleh dibuat di peringkat kerajaan negeri atau kerajaan pusat,” ujar beliau.
Seminar tersebut mendapat sokongan penuh daripada YB Dr Daroyah yang turut meminta Wanita IKRAM supaya meneruskan ‘The Road Show’ ini ke peringkat daerah-daerah untuk memberi kefahaman kepada rakyat jelata mengenai prosedur-prosedur ini dan menyampaikan perubahan-perubahan yang telah berlaku.
Album seminar: http://bit.ly/1MM3Hj4
Berita
1. Sinar Harian: http://bit.ly/1RJlK0M
2. Harian Metro: http://bit.ly/1REHkgC
3. Berita Harian: http://bit.ly/25rQSWI
4. IKRAM: http://bit.ly/1UR3yCP