Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan yang bertandang. Ku sangka Ramadan yang tenang, rupanya banyak isu yang datang. Semakin kita memasuki Ramadan, semakin rancak pula pelbagai isu hangat yang melanda negara.
Layanan dua darjat dalam pelanggaran SOP antara rakyat dan menteri, selebriti atau golongan ‘kayangan’ yang dilihat amat ketara telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan rakyat yang merasakan ketidakadilan telah berlaku.
Insiden yang tidak pernah berlaku telah pun berlaku seperti video iklan lagu raya mempromosi judi dalam talian. Ia bukan sahaja mencemarkan kesucian bulan Ramadan, bahkan lebih mengejutkan, ia melibatkan penyanyi dan pelakon yang beragama Islam.
Trend kes harian Covid-19 yang semakin meningkat pula menimbulkan kebimbangan mahupun persoalan kepada rakyat. Peluang mereka pulang ke kampung merentas negeri sempena Aidilfitri semakin pudar walaupun kerinduan bertemu ibu bapa dan keluarga sentiasa segar.
Harga barang keperluan harian yang naik mendadak seperti minyak masak, ayam, bawang, cili dan seumpamanya menambah lagi duka rakyat marhaen untuk menyediakan menu harian mereka. Mahu tidak mahu rakyat terpaksa berjimat, makan sedikit atau mengurangkan bilangan makan sehari.
Segala isu yang melanda sudah pasti memerlukan penyelesaian, dan mereka yang bertanggungjawab perlu menyelesaikannya. Rakyat hanya nampak kerajaan yang bertanggunjawab, jadi kerajaanlah yang perlu menyelesaikannya. Kerajaan sahaja? Ya dan tidak.
Ya, kerana penguatkuasaan sesuatu peraturan adalah di bawah tadbir urus kerajaan dan ia perlu dilaksanakan tanpa memilih bulu. Apabila rakyat melakukan kesalahan, begitu cepat mereka didenda tanpa usul periksa. Apabila golongan ‘kayangan’ melakukan kesalahan, tidak didenda, dicadang denda atau disenyapkan sahaja.
Begitu juga dengan kenaikan harga barang yang mendadak sepatutnya dikawal oleh kerajaan tetapi ia seperti tidak berlaku. Ini yang menimbulkan kegelisahan rakyat dan kemarahan kepada pihak berkuasa dan kerajaan.
Tidak, kerana tidak semua isu perlu melibatkan atau dikaitkan dengan kerajaan. Rakyat perlu ada peranan bersama dalam menyelesaikannya, antaranya memberikan kritikan dan herdikan sosial seperti kes iklan raya promosi judi yang tular. Apabila laporan polis dibuat, maka siasatan dan tangkapan dilakukan oleh pihak polis.
Apa sahaja isu yang dituding kepada kerajaan, sewajarnya ia diperjelaskan dan diambil langkah tuntas untuk mengatasinya oleh kerajaan. Ini kerana rakyat memilih wakilnya melalui pilihan raya di kawasan parlimen masing-masing. Walaupun kerajaan yang dibentuk kini bukanlah yang diharapkan oleh rakyat, pemimpin yang dipilih oleh rakyat perlu berkhidmat untuk rakyat.
Negara ini negara demokrasi. Rakyat berhak memilih kerajaan mana yang akan mentadbir negara dan negeri dalam tempoh lima tahun sekali. Jika sudah memilih dalam pilihan raya dan berpuas hati dengan kerajaan yang ada, maka kekalkanlah. Jika sudah memilih dan tidak berpuas hati atau merasakan kerajaan gagal, maka bolehlah kita menukarnya dalam pilihan raya seterusnya.
Pilihlah mereka yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat, bukan berkhidmat untuk kroni dan kerabat. Pilihlah mereka yang sepanjang masa prihatin dengan rakyat, bukan prihatin hanya apabila pilihan raya sudah dekat. Pilihlah mereka yang setia dengan pilihan rakyat, bukan ‘melompat’ kerana kepentingan duniawi dan pangkat.