Kepentingan Nafkah dalam Membina Keluarga Bahagia

Rumah tangga yang harmoni adalah impian setiap pasangan yang mendambakan kebahagiaan, kestabilan dan kesejahteraan dalam kehidupan berkeluarga. Kejayaan membina rumah tangga yang harmoni memerlukan usaha bersama daripada kedua-dua belah pihak.

Suami memainkan peranan penting dalam memberikan nafkah dan isteri menunjukkan ketaatan serta sokongan yang diperlukan. Jelas bahawa perkahwinan merupakan ladang-ladang pahala yang sangat besar dengan syarat dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh keikhlasan kerana Allah SWT.

Kemuliaan suami memberi nafkah

Tanggungjawab memberi nafkah kepada isteri bermula dengan pemberian mas kahwin dalam majlis akad nikah. Seterusnya, suami perlu memastikan keperluan asas isteri dan keluarga dipenuhi termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal juga kesihatan.

Ia bukan sahaja memenuhi tuntutan syariat, tetapi juga memainkan peranan penting dalam membina kepercayaan dan keharmonian dalam rumah tangga. Sesungguhnya manusia merupakan makhluk Allah SWT, maka Dia jualah yang membina sistem peraturan bagi kehidupan manusia.

Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisaa’ ayat 34 yang bermaksud:

Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka. Maka perempuan yang solehah itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolongan-Nya.

Kemuliaan lelaki dan suami terletak pada sifat bertanggungjawab, mengambil berat, memenuhi keperluan, memimpin, mengawal serta membela kaum wanita.

Bahkan berdasarkan ayat al-Quran tersebut, Allah SWT juga menerangkan salah satu ciri terpenting ialah tanggungjawab lelaki memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anak. Manakala kemuliaan wanita dan isteri pula terletak pada ketaatan dan usaha mereka dalam menjaga maruah serta kehormatan diri.

Di sini jelas bahawa nafkah suami dan ketaatan isteri mempunyai interaksi yang sangat kuat. Kedua-dua elemen ini saling melengkapi dan menyumbang kepada kestabilan serta kebahagiaan dalam rumah tangga.

Nafkah yang diberikan oleh suami mencerminkan tanggungjawab dan komitmen beliau terhadap keluarga, manakala ketaatan isteri menunjukkan rasa hormat dan sokongan terhadap suami. Apabila kedua-dua pihak memahami dan melaksanakan peranan masing-masing dengan ikhlas, keharmonian dan kesejahteraan rumah tangga dapat dicapai dengan lebih mudah.

Kepentingan memberi nafkah

Kepentingan memelihara hak dan kebajikan isteri melalui tanggungjawab memberikan nafkah amat ditekankan dalam sesebuah perkahwinan sehingga dinyatakan dalam lafaz taklik yang dibacakan suami setelah selesai melaksanakan akad nikah.

Pelanggaran terhadap perjanjian dalam lafaz taklik tersebut boleh menyebabkan jatuhnya talak atau pembubaran perkahwinan. Terdapat banyak hadis yang memberikan peringatan agar mengawasi tindak-tanduk supaya tidak menzalimi golongan wanita yang bergelar isteri.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):

Bertakwalah kamu kepada Allah dalam urusan wanita, sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah dan perhubungan kamu dengan mereka telah dihalalkan dengan perkataan-perkataan Allah.” (Riwayat Muslim)

Tanggungjawab memberikan nafkah kepada isteri tidak terhenti walaupun isteri mempunyai pendapatan sendiri. Hal ini kerana dalam Islam, suami tetap berkewajipan untuk memastikan keperluan asas isteri dan keluarga dipenuhi tanpa mengira status kewangan isteri. Pendapatan isteri merupakan hak miliknya dan suami tidak boleh mengambil atau menggunakannya tanpa keizinan.

Di Malaysia, isteri yang berkerjaya bukanlah sesuatu yang baharu. Isteri turut menyumbang dalam perbelanjaan keluarga. Namun, walaupun isteri mempunyai pendapatan sendiri, tanggungjawab suami untuk memberikan nafkah tetap tidak terlepas.

Pendapatan isteri sepatutnya digunakan sebagai sokongan tambahan dan bukan sebagai pengganti tanggungjawab suami. Dalam banyak kes, isteri yang berkerjaya turut mengharapkan suami memainkan peranannya dalam memenuhi keperluan asas keluarga.

Keadaan ini bukan sahaja membantu dalam aspek kewangan tetapi juga mengukuhkan rasa hormat dan kerjasama dalam rumah tangga. Persefahaman mengenai pembahagian tanggungjawab kewangan ini dapat membantu mengelakkan konflik dan mengekalkan keharmonian dalam perkahwinan.

Merujuk laporan di Jabatan Pendaftaran Negara, jumlah perceraian sepanjang 2023 adalah sebanyak 22,699 kes yang didaftarkan. Banyak kajian menunjukkan antara faktor yang menyebabkan perceraian adalah kerana tiada persefahaman antara suami dan isteri.

Faktor ini adalah sangat umum dan ia tidak boleh lari daripada persefahaman dalam aspek pemberian nafkah. Ketidakupayaan suami untuk memenuhi tanggungjawab nafkah atau isteri yang merasakan nafkah tidak mencukupi sering menjadi punca utama konflik dalam rumah tangga.

Ketegangan kewangan boleh menyebabkan tekanan emosi dan perbalahan yang berterusan, yang akhirnya meruntuhkan keharmonian rumahtangga. Oleh itu, persefahaman dan komunikasi yang baik mengenai tanggungjawab nafkah adalah kritikal dalam memastikan kestabilan dan kebahagiaan dalam perkahwinan.

Tempoh masa nafkah

Dari sudut tempoh masa, nafkah kepada isteri berbeza dengan nafkah kepada anak-anak dan ibu bapa. Nafkah kepada isteri adalah tanggungjawab wajib suami sepanjang tempoh perkahwinan serta dalam tempoh edah jika berlaku perceraian.

Kewajipan nafkah kepada anak-anak akan terhenti apabila anak-anak berkemampuan untuk menanggung diri mereka sendiri. Begitu juga kewajipan memberi nafkah kepada ibu bapa hanya terhad dalam keadaan ibu bapa yang tidak berkemampuan.

Ia bermaksud suami wajib memberi nafkah kepada ibu bapa jika mereka tidak mampu menyara diri sendiri tanpa mengabaikan tanggungjawab utamanya terhadap isteri dan anak-anak.

Namun begitu, dalam keadaan ibu bapa mampu bekerja dan mempunyai sumber pendapatan sendiri, mereka sepatutnya  bertanggungjawab ke atas diri mereka sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada anak-anak. Setiap kategori nafkah ini memainkan peranan penting dalam mengekalkan hubungan kekeluargaan yang kukuh dan harmoni.

Sebagai kesimpulan, keharmonian rumah tangga merupakan matlamat yang boleh dicapai dengan kerjasama dan persefahaman antara suami dan isteri. Peranan nafkah suami yang konsisten dan ketaatan isteri yang ikhlas adalah asas yang kukuh dalam membentuk keluarga yang sejahtera dan bahagia.

Suami yang bertanggungjawab dalam memberi nafkah bukan sahaja memenuhi tuntutan agama tetapi juga menunjukkan komitmen dan kasih sayang terhadap keluarganya. Sebaliknya, ketaatan isteri menggambarkan rasa hormat dan sokongan yang penting dalam mengekalkan keseimbangan emosi dan kestabilan rumah tangga.

Apabila kedua-dua pihak saling memahami dan menghargai peranan masing-masing, hubungan suami isteri akan menjadi lebih erat dan harmoni, seterusnya mewujudkan suasana yang positif untuk membesarkan anak-anak dan menempuh cabaran hidup bersama.

Dengan ini, setiap pasangan dapat menikmati kehidupan berkeluarga yang lebih bermakna dan membahagiakan bukan sahaja kehidupan di dunia, malah berpanjangan hingga ke syurga, insya-Allah.

Hasliza Talib
Pensyarah
Jabatan Kefahaman Islam dan Bahasa Arab
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia