Kepemimpinan Wanita yang Tercatat dalam Sejarah Islam

Kepemimpinan Wanita yang Tercatat dalam Sejarah Islam | IKRAM

Ada yang sepakat, ada yang menentang tanpa isyarat. Lalu, bagaimana Islam memandang kepemimpinan wanita di peringkat negeri dan negara?

Dalam al-Quran, tiada satu pun ayat yang menyatakan seorang perempuan dilarang menjadi pemimpin. Bahkan, dalam Surah al-Baqarah, ayat 30 Allah berfirman (maksudnya):

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?” Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”

Ayat tersebut menjelaskan bahawa, tugas semua manusia itu sama iaitu menjadi khalifah atau pemimpin dan mencipta kemaslahatan di atas muka bumi ini.

Maslahah adalah suatu tindakan bagi memelihara atau menghormati kehendak syarak yang termasuk dalam menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta benda manusia. Maka apa sahaja yang boleh mencapai objektif ini adalah dikira sebagai maslahah, manakala yang di sebaliknya pula dianggap sebagai mafsadah (kerosakan).

Nabi Muhammad SAW bersabda (maksudnya):

“Setiap kamu adalah pemimpin. Dan setiap kamu bertanggungjawab atas kepemimpinannya.”

Hadis tersebut menegaskan bahawa tugas dan tanggungjawab manusia itu semua sama iaitu menjadi pemimpin. Yang paling minimum ialah menjadi pemimpin ke atas dirinya sendiri. Dan setiap kepemimpinannya akan diminta pertanggungjawaban.

Wanita yang menjadi qudwah

Allah menyebutkan nama-nama yang mulia dalam al-Quran, antaranya ialah Ratu Balqis. Ratu Balqis seorang ratu yang cantik jelita serta bijaksana dan berjaya dalam memimpin, menciptakan rakyat yang makmur lagi sejahtera.

Asiah binti Muzahim, seorang perempuan yang dipuji dalam al-Quran kerana kemandirian dan ketegasan imannya dalam melawan raja yang begitu zalim iaitu Firaun laknatullah.

Dalam Surah at-Tahrim ayat 11, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan Allah mengemukakan satu contoh perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin, iaitu perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: “Wahai Tuhanku! binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga, dan selamatkanlah daku daripada Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku daripada kaum yang zalim.”

Bahkan wujud juga seorang Mariam yang terbaik sepanjang zaman. Perempuan yang dengan ketegasannya menjaga kehormatan diri, sehingga Allah SWT memberikannya anugerah seorang putera yang soleh iaitu Nabi Isa a.s.

Terdapat sebuah hadis daripada Ibn ‘Abbas RA yang berkata:

“Rasulullah SAW pernah melakar empat garisan di tanah. Lalu baginda bersabda: “Tahukah kamu semua, garisan apakah ini?” Para sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui.” Sabda Rasulullah SAW: “(Inilah garisan yang mewakili) sebaik-baik wanita ahli syurga iaitu Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Asiah binti Muzahim isteri Firaun dan Maryam binti ‘Imran.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami’)

Selain dalam al-Quran, terdapat juga nama-nama perempuan yang mulia sebagai representasi perempuan yang berjaya memikul tanggungjawabnya dalam memimpin. Antaranya ialah ibunda Khadijah binti Khuwailid, seorang perempuan yang cemerlang memimpin. Beliau mendermakan seluruh harta, tenaga dan fikirannya untuk mendukung dakwah Nabi SAW.

Khadijah mempunyai semangat pengorbanan yang tinggi. Banyak hartanya digunakan untuk membantu umat Islam, termasuklah keluarga Bani Hashim semasa mereka dipulaukan oleh Musyrikin Quraisy. Pada saat kematian beliau, keseluruhan hartanya telah digunakan ke jalan Allah SWT.

Aisyah, seorang wanita yang sangat cerdas, mampu menghafaz ribuan hadis dalam waktu yang singkat.

Kecerdasan ibunda Aisyah dibuktikan dengan kemampuannya meriwayatkan 2210 hadis selama mendampingi Rasulullah SAW. Secara keseluruhan, Aisyah menempati posisi keempat sebagai perawi hadis terbanyak, setelah Abu Hurairah (5374 hadis), Ibnu Umar (2630 hadis) dan Anas bin Malik (2286 hadis).

Keunikan yang luar biasa dan hafazannya yang kuat membuatkan Aisyah menjadi rujukan para sahabat. Salah seorang sahabat terkenal, Abu Musa Al-Asy’ari mengatakan:

“Setiap kali ia dan para sahabat lain mendapati kesulitan dalam memahami hadis, mereka akan menemui Aisyah, dan Aisyah selalu faham akan hadis yang dimaksudkan.”

Tidak terkecuali, Rithah binti Abdullah, seorang perempuan yang membanting tulangnya untuk memberi nafkah kepada suami dan anaknya hingga Rasulullah menghiburkannya dengan mengatakan bahawa apa yang dilakukan Rithah merupakan sebuah kebaikan serta bernilai pahala.

Pada suatu hari, Rithah mengadu kepada Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya aku adalah seorang wanita yang memiliki keahlian dalam bidang kraftangan, lalu aku menjual hasilnya, sedangkan anakku dan suamiku tidak memiliki apapun, sementara mereka selalu menyibukkanku sehingga aku tidak dapat bersedekah. Apakah aku akan mendapat pahala disebabkan memberi nafkah kepada mereka?”

Rasulullah SAW kemudian bersabda, “Engkau akan mendapat pahala daripada hal tersebut selama engkau menafkahi mereka. Maka berikanlah nafkah untuk mereka.”

Seorang perempuan yang bernama Nusaybah sangat berani berjuang di medan perang bersama kaum Muslimin. Beliau turut serta dalam peperangan Uhud.

Tugas beliau ialah merawat dan menjaga kebajikan tentera Muslimin yang menyertai pertempuran itu.

Nama penuh beliau ialah Nusaybah binti Ka’ab bin ‘Amru bin ‘Auf. Nama gelaran yang terkenal buatnya ialah Ummu ‘Umarah yang merupakan golongan Ansar paling awal memeluk Islam. Beliau telah memeluk Islam ketika Mus’ab bin ‘Umair diutuskan oleh baginda SAW untuk mengajar penduduk Madinah al-Munawwarah.

Ketika hanya dua orang wanita sahaja terlibat dalam Baiat Aqabah Kedua kepada Rasulullah SAW, salah seorangnya ialah Nusaybah.

Keupayaan yang sama

Nama-nama tersebut adalah menjadi bukti, bahawa perempuan memiliki keupayaan yang sama dengan lelaki, memiliki hak dan kewajipan yang sama untuk menjadi seorang pemimpin kerana dalam Islam, landasan untuk menjadi seorang pemimpin ialah kemaslahatan umat sebagaimana disebutkan dalam Surah at-Taubah ayat 71 (maksudnya):

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan solat dan memberi zakat serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.”

Justeru, jika masih ada lagi persoalan sama ada perempuan boleh menjadi pemimpin atau tidak, jawapan muktamadnya adalah “boleh” kerana dalam Islam, syarat-syarat menjadi pemimpin bukan ditentukan melalui jantinanya, tetapi dinilai dari sudut kompetensi, kapasiti dan keupayaannya untuk memikul tanggungjawab sebagai pemimpin. Memiliki ilmu dan kefahaman serta pengalaman itulah antara yang menjadi batu loncatannya, insya-Allah.

 

Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia