Lokasi : Hotel Nouvelle, Seri Kembangan, Selangor
18 April 2013
Menjelang PRU Malaysia ke-13 yang bakal berlangsung 5 Mei ini, bahang kehangatan suasana berkempen semakin terasa. Semua parti politik terbabit merangka strategi untuk meraih sokongan dan mengalahkan lawan dalam perebutan kerusi DUN dan Parlimen.
Antara perkembangan terkini adalah meningkatnya aktiviti penyebaran video lucah yang dikatakan membabitkan beberapa individu pimpinan parti politik. Motif kepada perilaku terkutuk, tidak bermaruah dan pengecut tersebut jelas sekali bertujuan mahu mengaib, memalukan dan mengikis kredibiliti personaliti yang dikaitkan.
Kami, mewakili beberapa pertubuhan wanita dan individu persendirian yang tersenarai di bawah, sebulat suara MEMBANTAH KERAS aktiviti tidak bermoral ini dan mendesak agar perbuatan ini dihentikan serta merta oleh pihak berkenaan. Trend menyebarkan bahan tontonan berunsur lucah dan pornografi sebagai muslihat menjatuhkan lawan politik melambangkan kedangkalan tahap berfikir dan kerendahan moral kelompok yang terbabit. Tindakan tersebut nyata bertentangan dengan nilai-nilai budaya bangsa dan ajaran Islam yang menekankan gaya hidup berakhlak mulia dan bersangka baik, yang merupakan ciri-ciri murni terpenting yang mesti ada dalam diri dan keperibadian seorang pemimpin yang layak dipilih.
Allah SWT yang Maha Suci menetapkan perbuatan zina sebagai salah satu dosa besar yang mesti dijauhi oleh manusia. Dalam masa yang sama, Allah SWT yang Maha Adil juga tidak sekali-kali membenarkan pertuduhan zina dibuat sewenang-wenangnya tanpa pembuktian yang teliti, yang dibebankan di atas bahu pihak yang membuat tuduhan iaitu dengan kehadiran sekurang-kurangnya empat orang saksi. Beban bukti yang dibawa ke hadapan sidang penghakiman mestilah dari kesaksian yang paling berintegriti, bukannya rakaman kamera tersembunyi yang diketahui umum terlalu mudah boleh diubahsuai menurut kemahiran pakar menggunakan teknologi terkini. Rakaman video belum cukup kuat untuk membuktikan sesuatu pertuduhan zina, malah ada di kalangan ulamak yang menolaknya sebagai bahan bukti.
Kami juga ingin mengingatkan masyarakat awam agar tidak terjebak dengan usaha mengarusperdanakan fitnah serta ghairah berkongsi klip-klip video tersebut kerana bimbang tindakan itu akan membuka ruang untuk masyarakat terjebak dalam jenayah qazaf (pertuduhan palsu). Sebagaimana yang telah ditegaskan oleh syarak, pelaku jenayah qazaf ini akan ditolak kesaksiannya selama-lamanya sehinggalah individu tersebut bertaubat.
Kami menyeru dan menuntut agar semua pengundi Malaysia khususnya kaum wanita:
- Menolak sekeras-kerasnya pihak parti politik yang menggunakan taktik berkempen yang kotor ini. Strategi menjatuhkan lawan melalui kaedah ini, benar-benar meng`hina’ (insulting) dan memperkecilkan keupayaan kognitif para pengundi Malaysia yang rata-ratanya sudah mencapai tahap intelektualiti yang tinggi dan matang.
- Menyelidik terlebih dahulu kesahihan dan keabsahan segala maklumat dan informasi yang diperolehi dari mana-mana pihak sekalipun, dan tidak secara membuta-tuli mempercayai setiap apa yang dilihat dan didengar dari pihak lain. Proses menyelidik dan memastikan kesahihan sesuatu berita yang diterima disebut sebagai proses “Tabayyun”, sebagaimana yang dianjurkan oleh Al Quranul Karim dalam surah Al Hujurat, ayat 6 yang mafhumnya :
` Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti (tabayyun) agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.’
- Menggesa tindakan undang-undang yang tegas dikenakan ke atas pihak yang terbabit untuk memastikan fenomena budaya lucah dan pornografi ini dapat segera dibendung.
Sekali lagi kami membuat penegasan : bahwasanya kami tidak merelakan pencemaran budaya seperti ini berterusan sehingga anak cucu kami, generasi muda Malaysia terpaksa membesar dengan hidangan tontonan bahan lucah sepanjang masa.
Kami juga mengambil peluang ini untuk memperingatkan semua pengundi Malaysia khususnya kaum wanita supaya :
- Mengambil berat keperluan untuk keluar membuang undi pada 5 Mei nanti demi untuk menjalankan fungsi sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab terhadap masa depan Negara dan bangsa
- Membuat pertimbangan dan pilihan terbaik dengan mendapatkan segala maklumat yang benar dan tepat untuk memilih wakil-wakil rakyat yang benar-benar layak, bertangungjawab dan amanah.
- Memilih calon-calon kepimpinan yang mampu menjadi suara rakyat dan gigih memperjuangkan kepentingan mereka di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen
Bagi semua pemimpin yang bakal terpilih menerajui tampuk pemerintahan negeri dan negara, kami menuntut agar penambahbaikan taraf hidup dan pengiktirafan sumbangan wanita Malaysia kepada kemakmuran Negara terus diambil perhatian dan diperkasakan, sebagaimana yang termaktub dalam setiap manifesto parti politik yang bertanding.
Suara wanita suara keramat,
Sekalipun halus, tetap bersemangat,
Undi wanita mampu menyelamat,
Sebuah negara menjunjung syariat.
Prof Madya Dr HARLINA HALIZAH SIRAJ
Penyelaras Bantahan Bersama NGO Wanita
Merangkap
Naib Ketua Wanita IKRAM & Pengerusi JK Pembangunan Sosial IKRAM
SENARAI PERTUBUHAN DAN INDIVIDU PERSEORANGAN YANG MENYOKONG BANTAHAN
Pertubuhan
1. Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM)
2. Helwa Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
3. Biro HALUANITA, Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN)
4. Integrated Muslimah Associations and Networks Alliance (IMAANA)
5. Pertubuhan Nisa’ Malaysia (NISA’)
6. Pertubuhan Mawaddah Malaysia (MAWADDAH)
7. Association of Women’s Initiative for Research, Development & Advancement (WIRDA)
8. Muslimah Interest Zone and Networking (MIZAN)
9. Wadah Kecerdasan Umat Malaysia (WADAH)
10. Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia (GEMA)
11. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
12. IKRAM Siswa
Individu perseorangan
1. Prof Dr. Muhaya Muhammad ( Pakar Motivasi & Personaliti TV)
2. Pn Wardina Safiyyah Fadhullah ( Pengacara dan Personaliti TV)
3. Ustazah Fatimah Syarha Hj Mohd Noordin ( Penulis Novel Dakwah & Penceramah)
Untuk menonton video rakaman sidang media “Bantahan Terhadap Penyebaran Video Lucah Menjelang PRU 13”, sila ke link dibawah;
http://www.youtube.com/watch?v=BFSE5IS_wCo&NR=1&feature=endscreen