KUALA LUMPUR – Kempen Sambutan Bulan OKU 2025 telah dilancarkan pada Sabtu, 6 Disember lalu, sebagai komitmen bersama untuk memperkukuh agenda masyarakat inklusif di Malaysia.
Majlis pelancarannya dianjurkan oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dengan kerjasama Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia (MAKPEM), Yayasan IKRAM Malaysia (yaIKRAM) dan Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health).
Majlis dirasmikan oleh Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Datin Dr. Rozbizah Abd. Aziz, yang hadir mewakili Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat.
Dalam ucapannya beliau berkata, tema Hari OKU tahun ini iaitu“Masyarakat Inklusif OKU, Kunci Kemajuan Sosial” ditekankan sebagai seruan tegas untuk memperkukuh perubahan sikap masyarakat, seiring dengan usaha membina ekosistem sokongan yang lebih sistematik, menyeluruh dan responsif terhadap keperluan komuniti OKU.

Beliau juga menegaskan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh intervensi awal bagi kanak-kanak OKU, memperluas akses kepada pendidikan yang benar-benar inklusif, meningkatkan peluang latihan TVET dan kebolehpasaran pekerjaan serta menambah baik kemudahan awam yang mesra OKU.
Tambahnya, pemantapan pengurusan data melalui Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) diusahakan bagi memastikan perancangan dasar lebih tepat dan berkesan. Di samping itu, beliau menekankan kepentingan kerjasama strategik antara kerajaan dan NGO agar suara serta kepentingan komuniti OKU terus diberi perhatian dan didukung di peringkat tertinggi.
Sebuah e-buku bertajuk “Suara Kami, Cerita Kami” turut dilancarkan dalam sesi perasmian, satu himpunan karya kreatif yang ditulis oleh komuniti OKU serta para penjaga yang dikumpulkan sepanjang Pertandingan Penulisan SBOKU 2024.
Majlis turut diserikan dengan forum “InspireOKU: Bicara Keupayaan dan Harapan”, sebuah sesi yang membuka ruang perbincangan mendalam tentang potensi, cabaran dan hala tuju masa depan komuniti OKU dalam aspek pendidikan, pekerjaan, advokasi serta pembangunan sosial.
Forum ini mengetengahkan pengalaman mereka yang berada di medan bersama, sekali gus menawarkan cadangan solusi yang praktikal dan realistik untuk membina sebuah ekosistem yang lebih mesra OKU serta mampu menyokong keperluan komuniti ini secara holistik.
Majlis ini menjadi titik tolak kepada rangkaian aktiviti SBOKU 2025 yang akan dilaksanakan di seluruh negara termasuk kempen Mahabbah OKU di peringkat komuniti, kempen digital #LangkahBersama dan podcast Bicara Rahmah yang membawakan isu OKU.
Ahli JKP Agenda Nasional merangkap Ketua Kluster Masyarakat Progresif IKRAM, Haji Ainullotfi Abdul Latif dalam ucapannya, menegaskan bahawa usaha membina masyarakat yang benar-benar inklusif bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya menuntut kerjasama berterusan daripada seluruh lapisan masyarakat.

Beliau turut mengangkat nilai kebersamaan dan kasih sayang sebagai asas utama pembinaan masyarakat yang memahami keperluan komuniti OKU, di samping menekankan bahawa ruang dan peluang untuk mereka mesti sentiasa diperluas.
Menurut beliau yang juga Presiden MAKPEM, sokongan kepada komuniti OKU perlu dizahirkan bukan hanya melalui dasar dan program, tetapi melalui sikap harian yang berteraskan empati, ihsan dan keprihatinan.
Majlis ini menghimpunkan pemimpin dan pemegang taruh daripada pertubuhan bukan kerajaan, penggerak komuniti OKU, wakil agensi kerajaan serta aktivis masyarakat daripada pelbagai latar belakang yang berkongsi aspirasi sama iaitu memperkasa komuniti OKU agar mereka diiktiraf sebagai rakan setara dalam pembangunan negara.
Turut bersama dalam majlis pelancaran ini ialah Timbalan Presiden IKRAM, Jusni Yusoff; Naib-Naib Presiden MAKPEM, Dato’ Mah Hassan Hj Omar dan Dato’ Megat Ahmad Shahrani Megat Shahrudin serta kepimpinan IKRAM, rakan-rakan persatuan dan NGO lain.
Sambutan Bulan OKU bukan sekadar acara tahunan sebaliknya merupakan sebuah platform berterusan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, menyemai empati dan mahabbah, memperkasa komuniti OKU sebagai rakan strategik pembangunan masyarakat serta membina ekosistem inklusif yang lebih mampan dan lestari.
Melalui dukungan padu semua pihak, usaha menuju Malaysia yang lebih inklusif diyakini akan terus diperkasakan demi memastikan tiada sesiapa pun tertinggal dalam arus kemajuan negara.




