Kempen PRN: Jangan Gadai Akhlak Demi Raih Sokongan

Kempen PRN: Jangan Gadai Akhlak Demi Raih Sokongan | IKRAM

Pada 5 Oktober 1989, diktator tentera Chile, Jeneral Augusto Pinochet mengadakan referendum untuk melanjutkan pemerintahannya selama lima tahun lagi. Beliau mahu mendiamkan kritikan luar dan menggagalkan cita-cita untuk perubahan di negara sendiri.

Cita-cita itu bukan gambaran palsu, tetapi sebaliknya pukulan hebat yang mengubah permainan itu menjadi detik kebenaran di mana negara Chile memulakan peralihan kuasa kepada pemerintahan sivil demokratik.

Selepas lebih 15 tahun di bawah pemerintahan kuku besi yang datang dengan rampasan kuasa tentera dan membunuh mereka yang dipilih, akhirnya Pinochet terpaksa akur dengan keputusan rakyat yang tidak melanjutkan jawatannya.

Sepanjang pemerintahannya, beliau melakukan pembunuhan beramai-ramai dan menangkap beribu-ribu penentang demi memelihara kedudukannya. 

Dengan menafikan hak mereka yang bekerja dengan tekun, penuh semangat dan kreativiti, ia menjadi sesuatu mimpi buruk yang tidak terbayangkan oleh sesiapa pun.

Itulah pemerintahan yang rakyat tidak mahu atau ingini, yang semata-mata mengenyangkan tembolok sendiri, tanpa memikirkan amanah dan tanggungjawab sebenar terhadap rakyat.

Sebelumnya pada 11 September 1973, Jeneral Pinochet yang didalangi Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat telah merampas kuasa daripada Salvador Allende, presiden Chile yang dipilih oleh rakyat melalui proses pilihan raya yang demokratik.

Tergugatnya keharmonian masyarakat

Kembali kepada dunia realiti dan situasi politik semasa tanah air, kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri akan datang dijangka berlangsung amat sengit dan kritikal jika ia tidak dibendung sedari awal.

Apa tidaknya, jika dulu gelanggang kempen lebih bergantung kepada sesi ceramah umum, namun kini sangat berbeza sekali, bahan-bahan kempen dilambakkan di media sosial.

Di pentas maya ini, kesahihan maklumat serta ketepatan data tidak lagi dapat dikawal oleh pihak berkuasa mahupun sesiapa. Seringnya rakyat berkongsi dan menyebarkan apa sahaja maklumat tanpa terlebih dahulu memastikan kebenarannya.

Di sinilah berlaku pertembungan maklumat yang benar serta bermanfaat dengan maklumat palsu, fitnah serta adu domba yang boleh menjahanamkan keharmonian masyarakat.

Seharusnya kempen politik menjadi satu medan menyebarkan kebenaran, kekuatan dan kemahiran, bukannya menyerang peribadi lawan. Krisis toksik ketika berkempen seharusnya dijauhi agar tidak tercetusnya suatu keadaan yang tidak diingini.

Jangan ikut falsafah Machiavelli

Calon mahupun jentera parti tidak sepatutnya mencontohi ahli falsafah Itali, Niccolo Machiavelli dalam meraih tampuk kuasa.

Antara falsafahnya, untuk sesebuah kerajaan mengekalkan kuasa, menteri harus mengabaikan pertimbangan moral sepenuhnya dan menaruh segala keyakinan terhadap kekuatan dan haruslah bijak menipu.

Tindakan rakus ini semata-mata untuk mendapatkan sokongan rakyat dalam memegang kekuasaan dengan apa juga kaedah, sama ada beretika atau tidak, halal atau haram, tidak lagi menjadi isu. Yang penting, matlamat menghalalkan cara, jika mengikut fahaman itu.

Seharusnya setiap calon atau parti yang berkempen mengetengahkan visi dan misi yang ingin dicapai jika partinya menang dalam pilihan raya tersebut, termasuk mengetengahkan pencapaian kerajaan dukungannya pada penggal sebelumnya.

Walaupun tiap kali pilihan raya berlangsung, kata manifesto lebih ‘digemari’ rakyat untuk dibelek, mencari tahu apakah ‘janji manis’ yang ditawarkan parti yang bertanding.

PRU15 telah menyaksikan jumlah pengundi baharu agak tinggi iaitu melebihi 5.3 juta orang dan sebahagian besar daripadanya adalah anak muda dalam kalangan Undi 18.

Golongan ini adalah pengguna media sosial terbesar dan banyak bergantung kepada Internet untuk mendapatkan berita serta maklumat.

Dengan pengetahuan politik dan isu semasa yang cetek, mereka terdedah kepada kecelaruan maklumat serta pemahaman tidak tepat terhadap pelbagai isu semasa negara.

‘Kempen peribadi negatif sudah mati’

Pakar strategi politik Amerika bagi Parti Republikan, Arthur Finkelstein terkenal dengan strategi kempen negatif yang mana seseorang ahli politik tidak mempromosikan ideanya sendiri, tetapi sentiasa menyerang atau memburukkan lawannya.

Kesannya, para pengundi yang terpengaruh dengan serangan itu tidak keluar mengundi kerana takut atau kecewa, menyebabkan lawannya hilang undi kritikal dan ahli politik tersebut boleh memenangi sesuatu pilihan raya.

Kita tidak mahu kempen negatif Finkelstein ala Machiavelli ini terus melanda negara menjelang PRN. 

Selayaknya ahli politik kita berusaha mempelajari pengajaran yang sesuai dalam kempen pilihan raya yang berakhir di Amerika Syarikat beberapa tahun lalu iaitu ‘kempen peribadi negatif sudah mati.’

Percubaan untuk mengalihkan perbincangan berprinsip kepada isu eksistensial dengan memburukkan Obama ternyata tidak berjaya.

Satu-satunya kempen negatif yang berkesan sebelum ini untuk jawatan presiden di Amerika Syarikat memaksa para peserta untuk membentangkan kempen secara rasional, positif dan berkesan.

McCain dan Obama dikehendaki membentangkan kepada pengundi pelan tindakan yang teratur dan jawapan yang jelas. Mereka bekerja keras mendapatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan mereka untuk menyelamatkan Amerika daripada status quo.

Kempen secara matang

Oleh yang demikian, setiap parti perlu mengamalkan kempen yang lebih kepada penerangan apa yang boleh ditawarkan untuk rakyat berbanding kempen menghasut atau memfitnah.

Jika yang negatif itu terus diamalkan, ia tentunya akan membuakkan sentimen membenci mahupun memfitnah sehingga merosakkan negara.

Maka, rakyat perlu fikir dengan rasional dan jangan terima bulat-bulat setiap yang disampaikan ahli politik atau jentera pilihan raya itu.

Sesiapa pun boleh mencari kesalahan orang lain, tetapi rakyat perlu bijak menilai agar tidak terjebak dengan fitnah yang digemburkan, tetapi setiap sesuatu itu perlu diselidiki bagi mendapatkan kesahihannya.

Sebagaimana kata Timbalan Pengarah, Pusat Kepimpinan dan Kompetensi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Shafry Salim, akhlak ahli politik semasa berkempen adalah cerminan kepada tingkah laku mereka apabila memegang kuasa kelak.

Beliau berkata, pengundi harus menggunakan prestasi kempen calon sebagai salah satu pertimbangan untuk mengundi nanti.

“Apa yang penting, pengundi perlu ada rasa tanggungjawab membuat pilihan, bukan bersandar sentimen dan emosi semata-mata.”

Dalam pada itu, beliau menegaskan agar ahli politik terutamanya calon dan penyokong perlu lebih bertanggungjawab serta matang ketika berkempen dengan mengutamakan aspek kedamaian, keharmonian dan kasih sayang.

Akhlak, adab serta kesantunan sosial tidak boleh digadaikan semata-mata ingin meraih populariti dan sokongan pengundi.”

Menurutnya, kempen cara lama seperti memburukkan calon lawan, menyelongkar segala kesilapan silam pemimpin atau kerajaan perlu dijauhi dalam usaha negara mewujudkan politik matang dan sejahtera.

Justeru, setiap parti perlu memberikan tumpuan serta fokus ke arah politik matang dan menolak sebarang budaya kempen politik kebencian pada PRN kali ini.

Ia juga sebagai usaha mendidik rakyat untuk terus mempertahankan keharmonian dan kesejahteraan negara.

Ayuh, mulakan pesta demokrasi ini dengan menghidupkan budaya politik sihat, matang dan berakhlak dalam kempen PRN yang akan berlangsung nanti. Sebarkan kebenaran dengan penuh etika dan rahmah.

Atriza Umar
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia