Gencatan senjata ini berkuatkuasa pada 21 Mei (Jumaat) jam 2:00 pagi Palestin (7:00 pagi waktu Malaysia). Awal pagi tadi (Jumaat), rakyat Palestin di Gaza, Baitulmaqdis dan Tebing Barat telah keluar beramai-ramai ke jalan raya bagi meraikan kemenangan ini.
Masjid-masjid di Gaza melaungkan takbir menyambut kemenangan ini dengan memuji-muji Allah SWT; seolah-olah mereka menyambut Aidilfitri. Tanpa bantuan dan keizinan Allah SWT, semua ini pasti tidak akan terjadi.
Namun, apa maksud gencatan senjata Ini?
Presiden Biden dalam ucapannya menyebut rejim Zionis setuju dengan ‘unconditional ceasefire‘ (gencatan senjata tanpa syarat). Begitu juga kumpulan pejuang di Gaza. Mengapa tiada syarat dikenakan? Bukankah ini merugikan kedua-dua pihak?
Dalam pertembungan tidak seimbang yang berlaku pada hari ini, kejayaan memeterai gencatan senjata tanpa syarat sebenarnya lebih menguntungkan kumpulan pejuang di Gaza yang jauh lebih kecil kekuatan mereka.
Ini bermakna mereka berjaya mengenakan tekanan sehingga rejim Zionis yang lebih ‘superior’ tidak berjaya memaksakan sebarang syarat ke atas mereka.
Tafsiran menang dan kalah juga kembali kepada objektif operasi ketenteraan yang dilaksanakan. Serangan yang tercetus sejak 10 Mei yang lalu (11 hari) bermula dengan tindakan rejim Zionis menceroboh dan menyerang rakyat Palestin yang sedang iktikaf dan menunaikan solat tarawih di Masjid al-Aqsa.
Kumpulan pejuang di Gaza melancarkan roket ke arah Baitulmaqdis selepas amaran mereka kepada rejim Zionis agar menghentikan pencerobohan dan wewenang mereka ke atas Masjid al-Aqsa dan al-Quds (Baitulmaqdis) tidak diendahkan. Sebab itu operasi ketenteraan mereka diberi nama ‘Ma’rakah Saif al-Quds’ (Perang Pedang al-Quds).
Rejim Zionis pula melancarkan serangan ke atas Gaza untuk menghentikan serangan roket daripada kumpulan pejuang di Gaza dan melindungi hak mereka ke atas Tembok Buraq (tembok ratapan Yahudi) di sebelah barat Masjid al-Aqsa. Sebab itu operasi mereka diberi nama ‘Operation Guardian of the Walls.’
Sepanjang 11 hari yang lalu, serangan rejim Zionis ke atas Gaza gagal memberikan tekanan kepada kumpulan pejuang di Gaza untuk menghentikan serangan mereka. Semakin hebat mereka menyerang Gaza, semakin hebat kumpulan pejuang di Gaza membalas serangan mereka.
Bahkan serangan balas kumpulan pejuang di Gaza pada kali ini lebih hebat daripada serangan balas mereka pada tahun 2014. Antaranya:
- Mereka berjaya melancarkan lebih banyak roket dalam tempoh yang singkat sehingga mampu melepasi jaringan perlindungan Iron Dome dan menyebabkan kerosakan serta kerugian yang besar di bandar-bandar Israel; di Ashkelon, Ashdod dan Tel Aviv. Rejim Zionis dianggar kerugian purata $37 juta sehari sepanjang serangan berlaku.
- Mereka berjaya mengenakan kerosakan ke atas lokasi-lokasi yang selama ini sukar disasarkan kerana perlindungan Iron Dome seperti lapangan terbang, pelabuhan, stesen janakuasa dan pangkalan udara Zionis.
- Mereka berjaya melancarkan roket baharu, Ayyesh 250, yang mampu pergi sejauh 250 km sehingga ke Beersheba! Dengan ini, tiada lagi ceruk di Israel yang selamat untuk Zionis berlindung.
- Mereka berjaya melancarkan serangan jauh ke dalam Israel menggunakan drone yang pada tahun 2014 hanya berfungsi sebagai alat peninjau.
Selain daripada itu, serangan balas kumpulan pejuang di Gaza telah disambut dengan sorakan dan sokongan daripada rakyat Palestin baik di Gaza, Baitulmaqdis, Tebing Barat dan Arab Palestin yang tinggal dalam Israel pada hari ini.
Bahkan seluruh rakyat Palestin telah bangkit melancarkan kebangkitan menentang penjajah Zionis sehingga beberapa bandar majoriti Arab di Israel dikenakan perintah berkurung (curfew) untuk membendung kebangkitan yang berlaku.
Sokongan turut ditunjukkan oleh rakyat Palestin di Lubnan, Jordan dan Mesir yang berkumpul di sempadan negara-negara tersebut dengan Israel. Beberapa hari yang lalu menyaksikan kejayaan rakyat Jordan merempuh dan melepasi pintu sempadan untuk masuk ke Tebing Barat. Ini benar-benar memberi tekanan kepada rejim Zionis kerana terpaksa berdepan dengan kebangkitan dari segenap penjuru.
Serangan kejam rejim Zionis ke atas rakyat awam di Gaza, khususnya ke atas kanak-kanak turut mendapat kecaman hebat rakyat antarabangsa. Pelbagai demonstrasi dan bantahan diadakan di bandar-bandar utama dunia walaupun dunia masih bergelut dengan pandemik Covid-19. Imej rejim Zionis di mata dunia terus tercalar.
Kekejaman rejim Zionis ke atas Gaza menyebabkan AS terus tertekan kerana tidak mampu lagi menyokong dan mempertahankan tindakan mereka. Mempertahankan kekejaman Zionis sebagai tindakan bela diri (self-defense) sudah tidak laku lagi. Ramai anggota Kongres AS daripada parti Demokrat sendiri mengutuk tindakan AS mempertahankan Zionis.
AS boleh memveto dan menghalang draf resolusi Majlis Keselamatan PBB tapi tidak mampu menghalang kecaman berterusan pelbagai negara anggota ke atas Zionis dalam Persidangan Agung PBB semalam.
Presiden Biden dalam sidang media beliau menyebut tentang jaminan AS untuk terus membantu rejim Zionis meningkatkan keupayaan teknologi Iron Dome yang dibangunkan bersama antara AS dan rejim Zionis.
Ini bukti yang jelas bahawa gencatan senjata hari ini berlaku kerana rejim Zionis tidak lagi mampu menangkis serangan-serangan roket kumpulan pejuang di Gaza. Mereka tidak bersedia untuk menanggung kerugian yang besar atas kegagalan tersebut. Ancaman serangan darat yang diwar-warkan juga tidak berlaku.
Justeru, tidak hairanlah rakyat Palestin meraikan gencatan senjata ini sebagai kemenangan di pihak mereka.
Mereka berjaya memaksa rejim Zionis menghentikan serangan; pastinya dengan bantuan Allah SWT yang mencampakkan rasa gerun dan takut ke dalam hati tentera rejim Zionis.
Mereka berjaya menyatukan suara rakyat Palestin untuk terus menolak dan menentang penjajah Zionis; baik di Gaza, Baitulmaqdis, Tebing Barat dan Wilayah Palestin 1948 (Israel).
Mereka berjaya melondehkan rejim Zionis dan menunjukkan kepada dunia wajah sebenar Zionis yang sering mendakwa mereka cenderung kepada keamanan. Mereka berjaya meraih sokongan dunia untuk menolak kekejaman, penjajahan dan aparteid Zionis ke atas rakyat Palestin.
Ini adalah kemenangan sebelum kemenangan yang lebih besar; pembebasan Palestin dan kembalinya Masjid al-Aqsa ke pangkuan umat Islam.
Apa pun, perjuangan perlu diteruskan.
Khalid Jimat
Palestine Centre of Excellence (PACE).
Subscribe saluran Generasi Pembebas al-Aqsa (GenPAQ) untuk mendapatkan lebih banyak penulisan tentang Palestin » https://t.me/GenPAQ