Kembalikan Nilai Murni, Akhlak Mulia Yang Makin Terhakis

Kembalikan Nilai Murni, Akhlak Mulia Yang Makin Terhakis | IKRAM

Hari ini kita menyaksikan akhlak yang semakin direndahkan oleh sebahagian masyarakat. Ia jelas tampak dengan sifat jujur dan amanah yang semakin terhakis hingga ‘virus’ kejahatan seperti adab yang hilang, penipuan, rasuah dan salah guna kuasa.

Melalui paparan laporan media pula, dapat disaksikan keruntuhan akhlak daripada golongan remaja, dewasa hingga warga berusia yang makin menjadi-jadi.

Maka, lunturlah adab kesopanan dan tatasusila apabila jiwa-jiwa manusia tidak disuntik dengan akhlak juga adab walaupun memiliki kelulusan akademik tinggi, juga status terhormat mahupun menteri.

Hakikatnya, akhlak adalah suatu cerminan dari dalam diri seseorang yang mempunyai ilmu dan adab. Sering kalinya ia diketepikan disebabkan faktor yang tidak baik terhadap sesuatu.

Dalam menelusuri dan memahami kegemilangan tamadun Islam, rakyat tidak seharusnya sekadar dihamparkan tentang kehebatan sistem kerajaan yang kompeten, ekonomi yang stabil mahupun keadaan geopolitik.

Akan tetapi, ia perlu melihat kepada aspek yang sangat penting iaitu akhlak. Barangkali ketika kekuatan yang lain hilang dalam diri seseorang, keunggulan akhlak dan kehalusan budi tentunya akan kekal selama-lamanya.

Secara jelasnya, akhlak bermaksud budi pekerti, perangai, tingkah laku,atau tabiat. Rasulullah SAW diutus untuk menyempurnakan akhlak, seperti sabda Baginda bermaksud: 

“Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia.” (HR Hakim [4221], Sahih)

Semakin menjadi-jadi

Dalam usaha kerajaan menerapkan nilai-nilai perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini, muncul pula isu dan sentimen yang tersebar di media sosial yang boleh mengganggu-gugat perpaduan dan keselamatan negara. 

Pihak tertentu berani membuat onar dengan menyebarkan kandungan sensitif iaitu perkauman, agama dan raja (3R).

Amat jelas, kebelakangan ini isu berkenaan semakin menjadi-jadi dan merupakan perkara yang sensitif serta boleh menimbulkan ketidakpuasan hati antara kaum dan agama.

Seharusnya penghayatan tentang makna perpaduan itu bukanlah isu yang bermusim terutamanya menjelang Hari Kemerdekaan. Akan tetapi, seharusnya ia menjadi amalan setiap rakyat tidak kira waktu dan tempat.

Realitinya nilai murni boleh memartabatkan masyarakat agar menjadi rakyat kelas pertama yang berteraskan prinsip yang mulia sama ada dalam agama, komuniti, bangsa dan negara.

Justeru, masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian mereka bolehlah dikategorikan sebagai golongan yang bertamadun.

Apalagi, jika  seseorang individu itu diterapkan dengan nilai murni seperti hormat-menghormati, jujur dan amanah, secara tidak langsung akhlak yang mulia dapat dibentuk.

Tentunya lebih banyak lagi yang pihak kerajaan perlu laksanakan untuk menyemai nilai-nilai murni ini dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kempen untuk mempromosikan nilai-nilai murni perlu memastikan ia diamalkan dalam kehidupan seharian. Kempen sebegini perlu bermula dari peringkat awal lagi, di mana nilai-nilai murni perlu ditanam, disemai dan diamalkan.

Sebagaimana menurut Imam al-Ghazali dan Ibnu Sibawaih, akhlak ialah sesuatu yang tertanam dalam diri sehingga seseorang itu tidak perlu berfikir panjang untuk melakukan sesuatu kebaikan.

Pamerkan akhlak baik

Pentingnya adab sebelum ilmu dalam Islam dijelaskan dengan adanya keterangan daripada ayat al-Quran tentang akhlak dan juga hadis tentang perilaku yang baik tersebut.

Seringnya tingkah laku menterjemahkan nilai-nilai yang terkandung dalam ucapan yang membina, penerimaan orang lain, kebebasan bersuara, menghormati orang lain, integriti dan keadilan menjadi amalan, tindakan manusia dalam masyarakat serta interaksi mereka.

Dengan kata lain, tingkah laku ialah mematuhi nilai dan etika masyarakat dan mematuhi undang-undang, adat, tradisinya dan berusaha untuk memperbaiki serta membangunkannya kerana ia dicirikan oleh kestabilan, keseimbangan dan integrasi serta mencapai tahap yang sepadan dengan keupayaan individu dan nilai masyarakat itu.

Tingkah laku atau adab dalam kebanyakan masyarakat hari ini, mengalami kekurangan pelaksanaan atas sebab-sebab yang berkaitan dengan didikan keluarga, sekolah, budaya dan sentimen masyarakat.

Untuk menggalakkan amalan dan tingkah laku ini, kita mesti bermula dengan perubahan intelek dan advokasi dalam masyarakat. Perubahan ini bermula dengan amalan pendidikan demokrasi dari rumah dan melalui keluarga, seterusnya diaplikasikan dalam masyarakat.

Kita perlu mengembalikan nilai adab dan akhlak mulia yang bermula dalam keluarga, termasuk hubungan ibu bapa dengan anak-anak mereka.

Institusi pendidikan juga sewajarnya merumuskan semula falsafahnya untuk menjadi kenyataan dan bukan hanya sekadar kata-kata teori atau retorik, untuk membangun tonggak persekitaran yang baik.

Tidak terkecuali, institusi media juga mempunyai impak dan peranan yang besar dalam menggalakkan tingkah laku yang berakhlak baik.

Ini seterusnya menyebarkan mesej kepada masyarakat tentang keperluan untuk mengamalkan adab dan akhlak yang baik dalam kehidupan seterusnya menjadikannya sebahagian daripada kehidupan.

Apa yang pasti, mempromosikan tingkah laku atau akhlak yang baik lagi beradab memerlukan perpaduan yang penuh dan menyeluruh dalam kalangan semua institusi negara yang berkaitan dengan pembangunan manusia.

Abu Darda r.a. berkata, beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

‘Tidak ada yang lebih berat pada timbangan (pada hari akhirat) daripada akhlak yang baik. Sungguh orang yang berakhlak baik akan mencapai darjat orang yang berpuasa dan solat.” (HR Tirmidzi [2003], Sahih)

Atriza Umar
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia