“Projek Rose2Rose (untuk wanita Rohingya) selama 20 minggu ini bertujuan memberi kemahiran menjahit kepada setiap peserta, bagi membolehkan mereka berdikari dengan menjana pendapatan dan meningkatkan taraf hidup dan ekonomi keluarga,” demikian ujar Dr Fauziah Mohd Hasan.
Projek ini adalah kesinambungan kepada projek pertama yang telah di adakan selama empat bulan pada 2015 dengan pengkhususan kepada kumpulan wanita Rohingya yang lebih kecil.
“Pembelajaran hanya di tawarkan kepada lapan orang pelajar terdiri daripada wanita Rohingya yang telah dikenal pasti.”
Menurutnya, ini bagi memastikan setiap mereka berpeluang belajar secara intensif (teori dan praktikal) dan akhirnya mendapat kemahiran optimum setelah tamat kursus yang dijalankan.
“Semoga mereka berjaya menghasilkan produk-produk dan boleh memperbaiki status kehidupan mereka dunia akhirat,” ujar beliau.
Kelas jahitan untuk wanita Rohingya dan sumbangan untuk pusat komuniti wanita Syria
Sementara itu, Rose2Rose turut menyerahkan sumbangan sebanyak 16,000 Euro untuk pembinaan Pusat Komuniti Wanita Antakya di Hatay, Turki yang berdekatan dengan sempadan Syria.
“Ia dijangka memberi manfaat ekonomi dan spiritual kepada kira-kira 70 pelarian wanita Syria,” demikian menurut wakil MyCARE, Ustaz Abdul Rahman Sayuti semasa penyerahan sumbangan kepada Loubaba Tayfour, wakil Syrian Women Association di Istanbul, Turki.
Dalam pada itu, Rose2Rose berusaha untuk sentiasa menerajui pembelaan terhadap wanita dan kanak-kanak yang memerlukan bantuan dan menghargai setiap sumbangan rakyat Malaysia untuk tujuan tersebut.
Sumber: FB Rose2Rose