Program anjuran kelab motosikal MyIkram Bikers (MIB), TM Bikers dan GraftBusterriders yang disokong IKRAM Putrajaya dan Sinar Harian dengan kerjasama SPRM ini bermula dengan konvoi motosikal berkuasa tinggi dari Pusat Komuniti IKRAM Putrajaya ke Ibu Pejabat SPRM pada Ahad.
Majlis turut diserikan dengan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh para peserta ketiga-tiga kelab motosikal itu dengan lafaz ikrar agar tidak sesekali terlibat dengan perbuatan rasuah, yang ditandatangani Datuk Razim.
Presiden GraftBusterriders, Datuk Abdul Samat Kasah berkata, fungsi ahli kelab motosikal sebagai ejen pengembangan dilihat mampu menyebarkan mesej-mesej antirasuah kepada kelompok persekitaran mereka.
“Selepas ini mungkin kita dapat mengatur beberapa aktiviti (di mana) mereka ini dapat jadi ejen pengembangan, boleh menyebarluaskan mesej-mesej antirasuah.”
“Selain itu, mereka menjadi ejen pengembangan untuk unsur-unsur positif dan baik yang dilakukan SPRM serta Rasuah Busters,” ujarnya.
Menurutnya, program ini melibatkan kerjasama tiga kelab motosikal dalam menyatakan usaha dan komitmen dalam memerangi segala aktiviti rasuah.
“Potensi penyebaran itu dilihat dapat menular dengan lebih luas kerana ahli-ahli kelab permotoran berkenaan terdiri daripada pelbagai latar belakang berbeza seperti doktor pakar, jurutera, usahawan dan lain-lain,” kata Abdul Samad.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan sokongan terhadap usaha Sinar Harian yang menggerakkan Rasuah Busters.
“Saya amat berharap Rasuah Busters ini akan mendapat sokongan daripada semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat, dan menjadi satu titik tolak perubahan nilai moral bangsa kerana pencegahan boleh berjaya apabila ia datang daripada setiap lapisan masyarakat.”
Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin menyifatkan program ini boleh meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya memerangi najis rasuah daripada pelbagai peringkat.
“Diharapkan usaha ini tidak terhenti kepada satu program sahaja, sebaliknya akan diteruskan lagi dengan program lain untuk mendidik masyarakat,” tegas beliau.
Manakala, Naib Presiden TM Bikers, Mohd Reham Abdul Rahman pula menjelaskan bahawa TM Bikers menerapkan konsep moral integriti di hati dalam setiap aktiviti yang dilakukan termasuk program ini.
“Pada masa yang sama, kita jauhi sebarang salah laku rasuah yang boleh mencemar nama syarikat, keluarga dan diri sendiri. TM Bikers sentiasa komited untuk menolak sebarang amalan rasuah dalam segala urusan perniagaannya.”
Rangkaian gandingan melalui kempen ‘Rasuah Busters Outreach’ mensasarkan transformasi ahli kelab penunggang motosikal sebagai ejen pengembangan ke arah benci rasuah, yang bertujuan untuk meneguhkan kesedaran umum untuk bersama membina negara yang bebas rasuah serta mengikat kerjasama antara NGO dan agensi kerajaan dalam menyemat minda hidup tanpa rasuah.
Melalui kempen ini juga, ia dapat mendekati masyarakat secara organik menerusi hobi dan aktiviti sukan serta membina sahsiah masyarakat dengan jati diri berintegriti serta bermaruah.