Cikgu Sathivel!
Beberapa hari pada minggu ini teringat saya kepada cikgu Matematik Tambahan semasa Tingkatan 5 pada 30 tahun yang lalu.
Tercetus ingatan saya pada beliau apabila mengenangkan perihal nasib dan rezeki, qadak dan qadar, dan takdir. Teringin untuk menulis dan berkongsi bagaimana peranan guru ini mempengaruhi kehidupan saya sehingga ke hari ini.
Keinginan untuk berkongsi semakin kuat apabila saya mendapat pencalonan untuk menjadi salah satu daripada penyampai (speaker) dari Malaysia dalam satu program anjuran Asian Productivity Organisation (APO) pada bulan Jun ini.
APO adalah sebuah pertubuhan antara kerajaan (intergovernmental organisation) yang dianggotai 21 negara dan ditubuhkan untuk meningkatkan produktiviti di Asia-Pasifik secara kerjasama. Pencalonan ini adalah satu pencapaian peribadi bagi saya.
Berbalik kepada Cikgu Sathivel, rezeki dan takdir. Dulu saya pernah terfikir bahawa apa yang kita dapat atau capai dalam hidup adalah lebih bergantung kepada usaha kita dan merit berbanding dengan suratan takdir atau kebetulan (berada di tempat dan masa yang betul, right place, right time).
Namun dengan berlalunya masa, saya semakin sedar bahawa formula untuk mencapai sesuatu itu sebenarnya jauh lebih kompleks dan rumit. Sebagai seorang yang percaya kepada merancang, saya suka merancang.
Tetapi, apabila saya merenung semula peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam hidup saya, banyak yang berlaku adalah di luar daripada rancangan dan kemampuan saya sebagai manusia biasa. Mungkin inilah yang dikatakan sebagai benefit of hindsight.
Sebagai contoh, apabila saya muncul di BERNAMA TV pada tahun 2020, saya tidak pernah merancang tetapi dijemput oleh wartawan yang mewawancara saya. Saya fikir perkara ini menjadi realiti dan tercetus melalui carian wartawan berkenaan, terima kasih kepada Google!
Pada tahun 2021, apabila saya dipelawa untuk menjadi salah seorang penyampai di dalam program TEDx Talks Taylors University, sama juga, saya tidak merancang untuk perkara itu berlaku. Namun, penampilan tersebut telah membantu profil saya dalam bidang yang saya ceburi sekarang.
Begitulah juga dengan pencalonan APO yang saya terima pada minggu ini.
Berbalik kepada Cikgu Sathivel dan pengaruh beliau dalam hidup saya. Pada tahun 1992, daripada seorang yang pernah gagal ujian matematik tambahan, kaedah mengajar dan bimbingan Cikgu Sathivel telah melonjakkan pencapaian saya sehingga mampu mendapat A1 dalam peperiksaan percubaan SPM.
Dengan gred A1 Matematik Tambahan, pada hemat saya, menjadi sebab MARA memanggil saya ke temu duga untuk mengikuti Program Cendekiawan iaitu satu program khas yang diwujudkan untuk menghantar pelajar ke luar negara sebelum keputusan SPM diumumkan.
Diringkaskan, saya berjaya mendapat tawaran berkenaan. Tidak sampai dua bulan setelah tamat peperiksaan SPM, pada awal Januari 1993, saya telah berangkat ke United Kingdom untuk mengikuti pengajian A-level dipercepatkan (accelerated A-level).
Dipendekkan cerita, pada tahun 1997 saya pulang ke tanah air dengan segulung ijazah sarjana muda Kejuruteraan Kimia dengan perancangan untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana pada tahun sama setelah menerima tawaran skim tutor UPM di Imperial College, London. Namun, Allah SWT tidak mengizinkan perkara ini berlaku.
Setelah 10 tahun menimba pengalaman sebagai jurutera dalam industri, pada tahun 2007, niat untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana dimakbulkan Allah SWT apabila saya menerima tawaran daripada universiti yang diimpikan sejak sekian lama, dengan biasiswa tanpa ikatan oleh kerajaan Britain.
Dan begitulah urutan peristiwa dan takdir – dengan izin Allah, yang akhirnya membawa kepada penghijrahan saya dari bidang kejuruteraan ke bidang polisi awam pada tahun 2018 secara tidak sengaja tanpa dirancang, dan juga bidang sains membuat keputusan (behavioural science).
Apa yang dapat saya rumuskan ialah apa yang berlaku dalam hidup saya mungkin tidak akan berlaku tanpa bimbingan Cikgu Sathivel 30 tahun yang lepas, serta bimbingan dan jasa semua guru formal atau tidak formal, doa ibu tersayang yang berterusan dan tidak pernah putus, juga daripada isteri, adik-beradik dan rakan-rakan.
Rezeki yang diperolehi daripada kerjaya jurutera selama 19 tahun membolehkan saya berhijrah ke bidang yang saya ceburi kini walaupun pada usia yang sudah agak lewat.
Semua ini tentunya hanya boleh berlaku dengan izin Allah SWT.
حَسْبُنَا اللهُ وَنِعْمَ الْوَكِيْلُ نِعْمَ الْمَوْلَى وَنِعْمَ النَّصِيْرُ
“Cukuplah Allah sebagai tempat diri bagi kami, sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong kami.”
Mohammad Abdul Hamid
Perunding polisi awam
Ahli JKP IKRAM