Dalam fasa kehidupan manusia, yang bermula dari usia bayi hingga menjadi orang tua, fasa pada usia remaja merupakan kemuncak kepada kehidupan ini. Tatkala usia remaja, tenaga dan kudrat menjadi lebih kuat dan hebat.
Pemikiran pula sentiasa ligat berfikir sambil mengutarakan pelbagai idea dan solusi, selain bersemangat waja, berani bersuara dan bermacam lagi kehebatan pada ketika usia remaja yang sangat diingati oleh mereka yang telah melaluinya.
Vape dan anak muda
Pada usia remaja belia ini, sifat ingin tahu yang mendalam dan mahu mencuba benda baharu telah mendorong generasi ini untuk tidak takut melakukan apa-apa sahaja.
Di satu sudut, sifat berani seperti ini ada nilai positifnya, namun di sudut yang lain pula, sifat tersebut mampu mendedahkan generasi ini kepada kerosakan masa depan.
Vape atau dikenali sebagai rokok elektronik (e-cigarette), bagaikan sudah menjadi rukun kehidupan bagi generasi anak muda. Gejala menghisap vape dikalangan anak muda sudah dilihat sebagai sesuatu yang normal.
Malah ada pula yang menganggap tidak “gentlemen” atau tidak “macho” jika tidak menghisap vape. Tidak keterlaluan untuk kita katakan bahawa menghisap vape telah menjadi budaya generasi anak muda yang bakal menjadi pewaris negara.
Gejala menghisap vape ini amat membimbangkan bukan sahaja kerana boleh mengundang masalah kesihatan, tetapi juga dikhuatiri akan dinormalisasikan sebagai budaya biasa dalam kalangan masyarakat.
Akhirnya, di mana-mana sahaja kita berada, kita selalu akan berada dalam kepungan asap vape yang berbahaya ini. Sudah tidak ada lagi kawasan yang bersifat selamat untuk anak-anak kecil bermain dengan bebas tanpa perlu dipaksa menghidu asap berbahaya tersebut.
Penglibatan generasi muda menghisap vape amat membimbangkan dengan kita melihat pola peningkatan yang semakin meninggi.
Peningkatan penggunaan vape
Berdasarkan tinjauan yang dibuat oleh Kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) 2023, yang melibatkan 4,269 responden, dapatan menunjukkan bahawa penggunaan vape meningkat daripada 0.8 peratus pada tahun 2011 kepada 5.8 peratus pada tahun 2023.
Selain itu, peningkatan penggunaan vape telah meningkat 600 peratus dalam tempoh 12 tahun dengan memperlihatkan golongan anak muda berusia 15 hingga 24 tahun sebagai pengguna paling tinggi.
Melalui kajian yang dibuat juga, GATS melaporkan berlaku peningkatan lebih ramai anak muda menggunakan vape, menyaksikan peningkatan sebanyak 8.6 peratus pada tahun 2023 berbanding 1.1 peratus pada tahun 2011.
Tentu sekali dapatan kajian yang dibuat ini tidak menggembirakan kita untuk melihat generasi masa depan negara.
Hakikat yang perlu kita ketahui ialah pada usia remaja ini, mereka sedang berada dalam fasa transisi secara biologi atau disebut sebagai perubahan hormon, selain turut berlaku transisi secara fisiologi (tubuh badan) dan psikologi yang merangkumi corak pemikiran, emosi dan tingkah laku.
Oleh itu, mereka pada fasa ini tercari-cari identiti diri yang menyebabkan golongan ini terdedah kepada banyak perkara baharu. Antaranya ialah budaya vape ini.
Budaya menghisap vape dalam kalangan anak muda telah dianggap sebagai satu budaya “cool” dan “trendy” yang secara tidak langsung menjadi hujah untuk menghalalkan perbuatan tersebut. Walhal, terdapat banyak kajian dan tinjauan yang dibuat menunjukkan penggunaan vape adalah tidak selamat sama sekali.
Vape trend bahaya
Mungkin ada yang beranggapan menghisap vape lebih ringan kesan buruknya berbanding menghisap rokok, tetapi anggapan tersebut sangat meleset kerana kandungan bahan vape juga sama bahaya dan tetap tidak selamat untuk kesihatan.
Vape atau rokok elektronik yang menjadi kegilaan anak muda sekarang ini dilihat sebagai alternatif kepada rokok. Namun begitu, kandungan bahan-bahan vape juga tidak kurang berbahaya untuk kesihatan mental dan fizikal.
Menurut kajian yang dilakukan oleh Institut Lundquist dan Universiti Rochester, penggunaan vape boleh merosakkan paru-paru dalam masa tiga hari penggunaan.
Kajian yang dibuat membuktikan bahawa seekor tikus yang didedahkan kepada aerosol vape yang menggunakan cecair pembawa (propylene glycol) yang biasa dalam produk vape ini selama dua jam sehari selama tiga hari sahaja memadai untuk mengalami kerosakan paru-paru kronik.
Pada tahun 2019, satu siri kes besar penyakit paru-paru telah dilaporkan di Wisconsin, Amerika Syarikat. Kesemua pesakit tersebut didapati mempunyai sejarah penggunaan vape dalam tempoh 90 hari dari permulaan gejala. Mereka disebut sebagai kecederaan paru-paru berkaitan penggunaan produk vape (Vaping Product Use-Associated Lung Injury).
Oleh itu, melihat kepada dapatan kajian yang dibuat serta laporan yang dibentangkan, penggunaan vape tetap dianggap sebagai tidak selamat dan bukan sama sekali alternatif terbaik bagi menggantikan rokok.
Luana Chacon Santos dari Universiti York telah memberi amaran normalisasi penggunaan vape dalam kalangan golongan muda boleh membawa kepada pengulangan pola berbahaya yang kita lihat dalam industri tembakau dahulu.
Hal ini kerana apa sahaja yang terkandung dalam rokok tidak kurang terdapat juga dalam vape. Kandungan bahan-bahan utama dalam vape menunjukkan terdapat bahan-bahan terlarang seperti nikotin yang menyebabkan ketagihan, bahan gliserin sayuran yang boleh menyebabkan kerosakan organ dalaman, bahan logam berat dan propalina glikol yang boleh mengundang penyakit asma dan kanser.
Semua bahan yang dinyatakan ini merupakan bahan yang tidak diperlukan oleh manusia normal malah boleh mengundang pelbagai risiko penyakit.
Kerajaan bertindak bijak
Tindakan bijak dan tepat telah diambil oleh kerajaan dengan mewartakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang telah berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024.
Dalam akta tersebut turut digariskan Peraturan-Peraturan serta Perintah di bawahnya yang berfungsi dan berperanan sebagai hadangan kepada golongan muda untuk mengakses dan memperoleh bahan terlarang tersebut.
Namun begitu, penguatkuasaan semata-mata tidak akan mampu membendung hal ini. Suatu insiatif perlu digarapkan untuk menyampaikan ilmu dan kesedaran kepada generasi anak muda terutama mereka yang masih di bangku persekolahan.
Sokongan padu dan jitu juga mesti digembleng bersama oleh semua pihak melibatkan pelbagai lapisan masyarakat. Kita pada generasi hari ini bukan sahaja mahu melihat generasi yang akan datang sebagai generasi yang lebih baik tetapi lebih kompetitif dalam usaha mewujudkan masyarakat yang sihat dan sejahtera.
Kita semua tentunya sayangkan generasi anak muda pelapis negara ini. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita bersama menjayakan perjuangan bebas daripada asap rokok dan vape.
Pesanan buat anak muda
Kepada generasi anak muda, sama ada suka atau tidak, tiada siapa yang dapat menafikan tentang kesan buruk penggunaan vape. Apa yang dibuat oleh generasi terdahulu bukanlah suatu hujah dan dalil yang tepat untuk menormalisasikan budaya vape dalam kalangan anak muda.
Hentikan segala macam perasaan dan budaya cool, trendy dan gentlemen apabila menghisap vape. Ia tidak akan ke mana, bahkan kita secara langsung telah melakukan pembaziran wang ringgit semata-mata.
Hal tersebut ditegah dan dilarang keras oleh Islam. Generasi anak muda sewajarnya menjadi ejen perubahan dan bukannya penerus tabiat yang buruk dan tidak bertamadun ini. Usahlah kita meniru atau mencontohi sikap buruk generasi terdahulu.
Apa yang salah tetap salah walau dibuat oleh mereka yang lebih berusia. Ayuh bersama kita pastikan generasi anak muda dan masa hadapan negara akan menjadi lebih sihat dan sejahtera.
Masa ini masa kita, maka lakarlah ia dengan penuh kegemilangan. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Muhammad Faidhi Azis
Aktivis Rakan Hidayah Perlis