Kecantikan Wanita: Percaya Diri, Tunaikan Hak Ilahi

Keindahan rupa paras sememangnya menjadi dambaan bagi setiap manusia terutama golongan wanita.

Sejumlah wang yang banyak sanggup digunakan untuk kelihatan lebih menarik seperti melakukan rawatan kecantikan, membeli pelbagai jenis produk penjagaan wajah mahupun membeli pakaian yang mampu menyerlahkan lagi penampilan masing-masing.

Hal ini demikian kerana kita mudah berasa tidak yakin apabila dilihat kurang menarik berbanding orang lain terutama rakan-rakan seusia. Kadangkala, “insecurity” atau perasaan kurang percaya diri menghasut bahawa kecantikan mempengaruhi layanan orang lain terhadap kita. 

Kita sering berasakan bahawa orang yang cantik atau tampan lebih mudah mendapatkan teman atau kelebihan dalam pelbagai situasi.

Misalnya, kita selalu mendengar bahawa golongan tersebut akan lebih mudah mendapatkan pekerjaan atau sering diberi perhatian sama ada daripada orang yang dikenali ataupun tidak.

Istilah “beauty privilege” dianggap tidak asing dalam kehidupan seharian. Begitu juga sebaliknya, orang yang kekurangan dari aspek kecantikan akan mudah menerima komen yang tidak baik mengenai fizikal mereka dan sering “dipulaukan.”

Kemajuan teknologi pula adakalanya menyebabkan sebahagian daripada kita terlalu mengagumi kecantikan orang lain di media sosial dan seterusnya membandingkannya dengan diri sendiri

Apabila berbicara mengenai soal kecantikan, istilah penjagaan diri merupakan aspek yang sering dikaitkan. Penjagaan diri sememangnya merupakan perkara yang dituntut dalam Islam sebagai kaedah menjaga kurniaan Allah SWT.

Buktinya, Nabi Muhammad SAW sangat menitikberatkan soal penjagaan diri seperti menggunakan minyak rambut, memakai wangian dan menyarung pakaian yang bersih. 

Aspek pemakanan juga ditekankan seperti mengelakkan diri daripada mengambil makanan yang boleh memudaratkan kesihatan. Namun, apa yang perlu ditegaskan adalah usaha yang dilakukan perlulah mengikut garis syariat yang ditetapkan.

Obsesi kepada kecantikan adakalanya mendorong seseorang melakukan perkara yang melampaui batas seperti mengubah ciptaan Tuhan dengan melakukan operasi plastik, membelanjakan wang secara boros untuk produk penjagaan diri dan bertabaruj sehingga menarik perhatian ajnabi.

Tidak kurang juga, kadangkala kita terlalu fokus kepada kecantikan luaran semata-mata sehingga melupakan penjagaan kecantikan dalaman.

Sebahagian daripada kita sanggup menggunakan produk yang mendatangkan kemudaratan walaupun telah diketahui dari awal kesan buruk yang mungkin berlaku kepada diri hanya untuk mendapatkan hasil yang diinginkan dalam masa terdekat.

Sudah pasti juga, kecantikan dalaman yang dimaksudkan adalah berkait rapat dengan soal akhlak dan adab seseorang. Apalah guna bibir yang dioles dengan gincu jika digunakan untuk mengumpat atau mengeji orang lain.

Sayang sekali jika gaya pemakaian baju yang mengikut trend semasa menjadi sebab untuk merendahkan orang lain yang tidak mampu untuk bergaya seperti mereka. Tubuh badan yang langsing adakalanya menyebabkan seseorang itu sombong dan menghina fizikal orang lain yang berbeza daripada mereka.

“Body shaming” dinormalisasikan di mana-mana tanpa mengira usia seolah-olah perkataan yang dilemparkan itu tidak mendatangkan keburukan kepada yang menjadi mangsa.

Lebih ironi, sesetengah kes memperlihatkan bahawa orang terdekat seperti ahli keluarga, rakan baik atau guru sendiri yang melakukan perbuatan tersebut.

Golongan yang seharusnya menjadi tulang belakang seseorang akhirnya telah memusnahkan keyakinan diri individu yang menjadi mangsa.

Lambakan berita sudah cukup membuktikan bahawa kritikan sedemikian mampu memberi kesan yang negatif untuk jangka masa yang lama sehingga membawa kepada tindakan yang ekstrem seperti membunuh diri. 

Ingatlah bahawa nikmat kecantikan itu juga merupakan pinjaman sementara oleh Ilahi dan kebaikan hati merupakan kayu ukur kecantikan sejati seseorang. 

Kadangkala, kritikan tentang rupa paras atau penampilan itu datang daripada diri sendiri atau dalam erti kata lain, kita sendiri tidak berpuas hati dengan kurniaan Ilahi. 

Ada masanya kita terlalu mengkritik diri yang sebenarnya kelihatan sudah cukup sempurna kerana hakikatnya, Allah SWT telah menciptakan kita dengan sangat baik.

Perasaan ini berpunca daripada diri kita sendiri yang lebih mementingkan tanggapan orang lain terhadap kita sehingga rasa syukur dicampak begitu sahaja. Pepatah Inggeris menyatakan bahawa “Beauty is in the eye of the beholder.”

Kecantikan itu merupakan sesuatu yang subjektif dan berbeza menurut orang yang memberi persepsi. Jika ingin membicarakan soal kecantikan mengikut standard kecantikan dari sudut pemerhatian manusia, maka lihatlah perbezaan antara masyarakat di pelbagai negara. 

Sesetengah negara berasakan kulit wajah yang cerah merupakan antara kayu ukur kecantikan seseorang manakala sebahagian negara lebih cenderung untuk mendapatkan kulit yang kelihatan lebih gelap. Hal ini juga berbeza dalam aspek berat badan, ketinggian, saiz mata dan sebagainya.

Justeru, syukurilah segala kurniaan Allah SWT kerana sebahagian daripada kita juga diuji dengan kecacatan fizikal, namun masih mampu berasa yakin dan bersyukur dengan setiap perkara yang dinikmati.

Kecantikan bukanlah penentu kebahagiaan seseorang kerana hakikatnya, rezeki telah diaturkan oleh Ilahi dengan sangat adil.

Tuntasnya, kejarlah kecantikan hakiki iaitu kebaikan hati dan keindahan di syurga. Kehidupan di syurga bukan sekadar membuatkan para penghuni mampu mendiami tempat yang indah, malah setiap daripada mereka juga dikurniakan rupa paras atau penampilan yang sangat menawan dan akan berkekalan selama-lamanya. 

Hal ini berbeza dengan kecantikan di dunia yang hanya bersifat sementara. Wajah yang cantik atau tampan akan pudar apabila dimamah usia. Ujian seperti menghidap penyakit atau kemalangan juga boleh menjejaskan penampilan seseorang.

Sekiranya kita mahu dilihat cantik oleh mata manusia yang memandang, adakah kita tidak mahu dilihat indah di hadapan Allah SWT?

Kita selalu beranggapan bahawa pendapat manusia adalah segala-galanya dan sanggup menghabiskan wang dan masa untuk berpenampilan menarik apabila bertemu mereka, namun tidak sanggup berbelanja lebih untuk kelengkapan ibadah bagi “bertemu” Allah SWT.

Produk penjagaan wajah dan alat solek digunakan untuk menghilangkan atau menyembunyikan noda di wajah tetapi hati yang diselubungi dosa dibiarkan bermaharajalela. 

Buktinya, sebahagian daripada kita sanggup meninggalkan solat kerana rasa sayang untuk menanggalkan alat solek untuk berwuduk.

Tidak salah untuk menjaga kecantikan, namun jangan sehingga menafikan hak Tuhan yang memberikan nikmat tersebut kepada kita. Peliharalah hak tersebut untuk memperoleh kecantikan hakiki di dunia dan di syurga kelak.

Khairunisa Zul Kuraini
Siswazah Linguistik Melayu,
Universiti Malaya

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia