Kebaikan Dan Keburukan Media Sosial Terhadap Kita

Kebaikan Dan Keburukan Media Sosial Terhadap Kita | IKRAM

Media sosial ditakrifkan dalam Kamus Dewan sebagai pelbagai perantaraan atau saluran komunikasi yang dapat menyampaikan maklumat kepada orang ramai dalam masa yang cepat.

Pada masa kini, secara keseluruhannya, media sosial mempunyai tempat di setiap pekerjaan tanpa mengira usia tua dan muda.

Anak kecil seawal usia enam bulan telah pun didedahkan dengan penggunaan media sosial. Malah, ada yang baru lahir juga diperkenalkan melalui media sosial kerana ia menjadi satu trend dalam kalangan masyarakat pada zaman moden ini. Sedangkan mereka ini masih belum mengerti kebaikan dan keburukan media sosial.

Jika mahu sesuatu tentang hal ehwal dunia, maklumat segalanya di hujung jari.

Sejarah awal media massa diperkenalkan pada tahun 1978, papan buletin adalah merupakan aplikasi terawal keluar berfungsi untuk memuat turun maklumat dan komunikasi melalui surat elektronik dalam menyebarkan data kepada masyarakat.

Friendster dan MySpace adalah antara jaringan sosial yang dicipta awal untuk perhubungan sosial yang menggabungkan masyarakat sosial sebelum wujudnya Facebook, Twitter dan Instagram.

Aplikasi-aplikasi itu lebih moden dan diperbaiki sejajar dengan perkembangan teknologi serta diperbaharui dalam tahap keberkesanan dan berfokus, bukan sahaja dalam hubungan sesama manusia malah dalam bidang perniagaan.

Realitinya, apa saja yang dicipta mengikut arus kemodenan tentu ada kesan dan pengaruh kepada masyarakat. Kesan yang muncul banyak memberikan impak kepada pengguna, sama ada kebaikan mahupun keburukan.

Kebaikan Media Sosial

Sememangnya tidak dinafikan kebaikan dalam penggunaan media sosial dapat dilihat pada masa kini. Kebaikan media sosial paling utama adalah peranti terbaik dalam pendidikan.

Segala maklumat dan topik hanya perlu dicari pada hujung jari dan memudahkan para pelajar untuk mendapatkan maklumat, jawapan dan mengumpulkan idea dalam menyiapkan kerja sekolah dan projek sekolah.

Ini dapat mengurangkan beban guru dan ilmu bukan semata-mata diperoleh dalam sekolah sahaja. Malah, para pengajar boleh mengajar di mana jua asalkan ada liputan Internet di antara pengajar dan pelajar.

Media sosial ternyata menjadi alat perantaraan terpenting ketika seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19 kerana pelajar dapat meneruskan pembelajaran walaupun terpaksa kuarantin di rumah pada tahun 2020 tanpa perlu turun ke sekolah.

Media sosial juga dapat menghubungkan masyarakat seluruh dunia dan membantu komunikasi menjadi lebih baik. Misalnya, seseorang dapat berhubung dengan orang tersayang yang berada jauh di antara satu sama lain.

Pandemik Covid-19

Seperti yang kita tahu, pada masa pandemik, pergerakan semua masyarakat adalah terhad dan semua pengangkutan adalah terjejas.

Tanpa media sosial, kita tidak akan tahu akan kewujudan penyebaran virus Covid-19 dan bersyukur dengan adanya media sosial, berita virus Covid-19 yang membunuh banyak nyawa ini tersebar pantas.

Ini sedikit sebanyak membantu kita sama-sama berwaspada dan berhati-hati dalam kehidupan seharian serta memberi kita ilmu bagaimana untuk mengelakkan virus ini.

Promosi produk perniagaan

Salah satu kebaikan media sosial yang dapat kita lihat juga adalah ia dapat memanfaatkan syarikat dalam mempromosikan produk mereka. Promosi adalah salah satu langkah penting dalam meningkatkan keuntungan dalam perniagaan.

Media sosial menjadi platform dalam talian untuk memberikan maklumat serta melariskan jualan produk. Semestinya kita tahu pada dewasa kini, banyak sangat produk yang dicipta malah bersaing antara satu sama lain.

Oleh itu, media sosial menjadi hab penting dalam periklanan bagi menjayakan perkenalan produk itu.

Peluang anak muda

Media sosial juga memberikan peluang kepada anak muda untuk membina dan menonjolkan bakat secara percuma. Misalnya, mereka dapat membuat video kebolehan menyanyi, memasak, menghasilkan kraftangan dan sebagainya.

Malah ada yang mendapat tawaran pekerjaan jika video-video ini menarik minat oleh pencari bakat dan syarikat.

Selain itu, sebagai pengguna media sosial, kita dapat mengikuti perkembangan dunia dari segi sosial, imej dan fesyen serta berita yang berlaku di seluruh negara.

Keburukan Media Sosial

Di sebalik banyak kebaikan dalam media sosial yang dilihat pada hari ini, media sosial juga memberikan impak keburukan kepada kita semua.

Jika disalahgunakan, ia membinasakan. Ia boleh menjadi elemen perosak kepada generasi baru seandainya penggunaannya melebihi kebaikan.

Antaranya, ia boleh merosakkan pemikiran dan mentaliti kita semua kerana ada maklumat melalui video mahupun rencana yang berisiko menyebabkan depresi, panik, kecenderungan mencederakan diri dan risiko membunuh diri.

Media sosial memang memberikan kesan terhadap mental dan sosial bagi mereka yang lemah semangat. Contohnya, daripada golongan siber buli dan scammer.

Scammer

Scammer adalah orang yang menipu dengan tujuan memperdayakan untuk mendapatkan keuntungan. Sebenarnya, mereka ini wujud apabila kita sendiri membuat pendedahan yang bukan lagi privasi.

Mereka mengambil kesempatan setelah mengkaji dan mendapat maklumat daripada aplikasi media sosial yang kita muat turun tanpa disedari.

Hilang fokus

Selain itu, media sosial juga menyebabkan akademik pelajar terjejas. Ini kerana dengan kehadiran beberapa aplikasi, ia menyebabkan mereka tidak lagi fokus kepada pembelajaran dan pendidikan, tetapi perkara lain.

Ada yang sanggup menipu ibu bapa dengan mengambil kesempatan kononnya memerlukan liputan WiFi untuk belajar tetapi tahukah ibu bapa, berapa peratus kegunaan Internet untuk sesi pembelajaran dan berapa peratus lagi untuk hiburan semata-mata?

Hiburan yang ada di media sosial sekarang tidak mempunyai tapisan yang bersesuaian menurut umur si pengguna.

Malah, ada juga permainan dalam talian yang kononnya bersesuai untuk umur kanak-kanak tetapi tetap ada kemunculan video-video sampingan yang tidak sesuai ditonton mereka.

Semasa pengumuman Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 baru-baru ini, ada satu video yang dibuat oleh bekas pelajar SPM di mana anak muda itu bangga menayangkan keputusannya dalam SPM gagal.

Ini seolah-olah menyindir sistem pendidikan negara kita sehingga semua perkara yang memalukan juga mahu disebarkan dalam media sosial.

Tidak dinafikan, video ini tidak patut menjadi tontonan apalagi tersebar dalam kalangan pelajar yang belum tamat persekolahan.

Semoga negara akan mempunyai satu sistem satu hari nanti di mana ada jabatan menapis video sebegini.

Di samping itu, media sosial juga akan menyebabkan negara kita kekurangan pakar yang berasaskan bidang perubatan, kejuruteraan dan kerja tangan.

Ini adalah kerana media sosial dilihat menjadi platfom anak muda untuk berebut menjadi penghibur.

Bidang perubatan misalnya memerlukan kemahiran tinggi malah wajib untuk diajar secara manual, bukan melalui tontonan sahaja.

Malah, kehadiran media sosial juga menyekat generasi baru yang benar-benar berkelayakan kerana syarikat tertentu mengambil pekerja baru berdasarkan kepada pempengaruh digital atau pensohor instagram (influencer).

Bagaimana mereka yang jenis introvert tetapi berbakat? Temu duga bukan lagi menjadi persaingan, tetapi bergantung kepada kebolehan untuk membodek si penemu duga melalui media sosial.

Kesimpulan

Secara ringkasnya, media sosial memberikan kesan dan pengaruh baik serta buruk kepada masyarakat pada masa kini.

Setiap pengguna media sosial mempunyai tanggungjawab masing-masing dalam mengaplikasikan penggunaan media sosial dengan cara tersendiri.

Gunakan kemudahan ini secara seimbang, baik dari segi akademik, fizikal atau mental dan tidak berlebihan sehingga memudaratkan diri. Media sosial adalah tanggungjawab semua.

Stephanie Juanita anak Ahlee

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia