BUKIT JALIL – Karnival Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2025 (HBIA 2025) berjaya menghimpunkan ratusan pengunjung pelbagai kaum dan latar belakang dalam satu perayaan budaya yang penuh warna-warni dan meriah.
Program yang berlangsung pada 13 Jun, Sabtu lepas di Universiti Asia Pasifik (APU) ini menjadi medan penting dalam mengangkat bahasa sebagai tonggak perpaduan dan pembelajaran antara generasi.
Mewakili Menteri Perpaduan Negara, YBrs. Tn. Mohamad Sobri Mat Daud iaitu Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, telah menyempurnakan perasmian karnival dan menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan penganjuran program yang memperlihatkan semangat kerjasama antara pelbagai organisasi masyarakat sivil berbilang etnik.
“Kolaborasi ini membuktikan bahawa semangat muafakat masih subur dalam masyarakat kita,” ujar beliau.
“Bahasa ibunda adalah warisan yang amat bernilai. Kita perlu pastikan ia terus dipelihara agar anak cucu kita dapat meneruskan kesinambungan bahasa warisan ini selari dengan dasar utama perpaduan negara ialah memartabatkan Bahasa Kebangsaan.”
Bertemakan “Pendidikan Pelbagai Bahasa Adalah Tonggak Pembelajaran Antara Generasi”, HBIA 2025 dianjurkan bersama oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Tamil Foundation Malaysia, LLG Cultural Development Centre (LLG), Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), dan The Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) dengan kerjasama beberapa NGO rakan kongsi lain. APU turut menjadi tuan rumah dan penaja lokasi acara.
Seawal jam 8 pagi, pengunjung disambut dengan pelbagai aktiviti kebudayaan yang memperkenalkan kekayaan warisan pelbagai kaum.
Aktiviti seperti kaligrafi Jawi, Cina dan India; seni kolam (Rangoli); potongan kertas Cina; mehendi; permainan tradisional seperti congkak, pallanguzhi, batu seremban dan jak renoi; serta kraf anyaman Melayu dan Orang Asli telah menarik perhatian ramai.
Pameran khas melibatkan menampilkan karya-karya kreatif pelajar sekolah dalam pelbagai bahasa menyerlahkan kepelbagaian budaya Malaysia.
Aktiviti “Mission Trex Pelbagai Budaya” bertemakan “Persaudaraan Insaniah” yang berjalan selari sepanjang karnival, disertai oleh pelajar sekolah menengah diadakan bertujuan untuk memupuk persefahaman antara kaum melalui aktiviti interaktif dan pendidikan silang budaya.
Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh, TYT Md Shameem Ahsan, turut menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut dan menyatakan rasa teruja dengan sambutan hangat yang diterima.
“Program ini menjadi medan hidup bagi anak-anak muda menghargai dan meneruskan warisan budaya. Bahasa bukan sahaja alat komunikasi, tetapi seni warisan yang menyatukan masyarakat.”
Pengerusi Jawatankuasa HBIA 2025, Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor berharap program ini memberi impak yang bermakna menjadi langkah kukuh ke hadapan dalam membina masyarakat yang lebih harmoni.”
Majlis turut menyaksikan pelancaran aplikasi GURU AI oleh Mindappz E-Tuition sebagai antara inisiatif digital yang memperkasa pembelajaran pelbagai bahasa. Persembahan Choral Speaking dan puisi melibatkan pelajar daripada empat kumpulan etnik menyerlahkan keindahan bahasa dalam ekspresi seni.
Karnival HBIA 2025 telah dihadiri oleh Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, Hj. Mohd Salahuddin Dato Paduka Mohamed, yang mewakili Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka; Naib Canselor Asia Pacific University (APU), Prof. Ts. Dr. Murali Raman; Ketua Kluster Agenda Nasional (Perpaduan Nasional) Pertubuhan IKRAM Malaysia, Dr. Hjh. Sabariah Baharun; serta Penasihat Jawatankuasa Sambutan HBIA, Pn. Usharani Sarkunavalu.
Turut hadir Naib Presiden Tamil Foundation Malaysia, En. Subramaniam Ramasamy; Pengerusi Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, En. Hau Wan Hock; Setiausaha Agung KLSCAH, En. Patrick Tan Soon Lim; Wakil Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), En. Lee Kam Wah; Timbalan Presiden Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), Pn. Nora Kantin; Naib Pengerusi Merdeka University, En. Pang Chong Leong; serta EXCO Tamil Foundation, En. Kugeneswaran Tamilmany.
HBIA 2025 bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi simbol aspirasi bersama ke arah sebuah Malaysia yang lebih inklusif, harmoni dan berpaksikan kasih sayang merentas sempadan budaya dan bahasa.