Anugerah disampaikan oleh Yang Berhormat Dr Yaakob Sapari, Exco Selangor mewakili kerajaan negeri Selangor. Anugerah ini bertujuan memberi pengiktirafan peranan organisasi-organisasi anak muda sebagai peneraju perubahan dalam masyarakat. Presiden KARISMA, Khairul Fadhli Ismail menghargai usaha kerajaan negeri Selangor memberi motivasi dan galakan kepada barisan pelapis untuk terus mengadakan program-program membina generasi belia termasuk mahasiswa yang inovatif dan berfikiran jauh untuk meneraju perubahan dalam masyarakat.
Acara di Bangi Golf Resort ini adalah siri pertama Program Jelajah Belia Selangor 2011 melibatkan empat lokasi dengan penyertaan ahli panel yang mempunyai latar belakang berbeza. Tema ‘Anak Muda Peneraju Perubahan’ dipilih bagi menanam minat dan memberi inspirasi kepada anak muda untuk terbabit secara aktif dalam pelbagai kegiatan.
Siri pertama program jelajah ini menampilkan aktivis masyarakat, Hishamuddin Rais, peguam terkenal, Fahda Nur Ahmad Kamar, hos rancangan Mari Mengaji di TV9, Ustaz Zamri “Mantop” dan Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard. Mereka bersama-sama memberi pandangan dalam satu forum tentang pengalaman mereka sebagai mahasiswa dan harapan terhadap masa depan gerakan mahasiswa di Malaysia sebagai gerakan perubahan.
Program siri pertama ini lebih bermakna lagi apabila Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah hadir dan memberi ucapan khas untuk menyuntik semangat anak muda meneraju perubahan dengan menceritakan pengalaman suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi mahasiswa yang memperjuangkan rakyat Baling pada tahun 1974. Turut hadir adalah ADUN Bangi, YB Dr Shafie Abu Bakar.