Dunia sekali lagi dikejutkan dengan tindakan biadab rejim Zionis apabila kapal bantuan kemanusiaan Madleen, milik Freedom Flotilla Coalition (FFC), telah diserang secara ganas oleh tentera Israel pada jam 3:02 pagi (waktu Eropah Tengah) di perairan antarabangsa — sebuah wilayah yang secara undang-undang bebas daripada kuasa mana-mana negara.
Kapal Madleen bukan kapal perang kerana ia tidak membawa senjata atau apa-apa ancaman ketenteraan. Sebaliknya, kapal ini membawa susu bayi, makanan kering dan bekalan perubatan — barangan penting yang amat diperlukan oleh rakyat Gaza yang terus hidup dalam derita di bawah sekatan tidak berperikemanusiaan sejak lebih 17 tahun lalu.
Tindakan ketenteraan rejim Zionis Israel ke atas kapal ini jelas merupakan pelanggaran serius terhadap Konvensyen Undang-undang Laut Antarabangsa (UNCLOS) dan juga mencabuli perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mengarahkan akses bantuan kemanusiaan ke Gaza diberikan tanpa sekatan.
Apa yang berlaku kepada Madleen bukan satu insiden terpencil. Ia adalah siri keganasan berterusan oleh rejim Israel terhadap misi kemanusiaan. Hanya beberapa minggu sebelum ini, kapal Conscience, juga milik FFC, telah diserang dengan dron tentera Israel di perairan berhampiran Malta.
Akibatnya, empat sukarelawan antarabangsa mengalami kecederaan fizikal dan kapal tersebut musnah dalam kebakaran besar, tanpa senjata atau provokasi, hanya niat murni untuk membantu sesama manusia.
Israel tidak mempunyai sebarang kuasa undang-undang untuk menahan sukarelawan antarabangsa di atas kapal Madleen. Tindakan menahan kru, menyekat bantuan dan merampas kapal adalah tindakan haram. Ia juga adalah bentuk intimidasi terhadap usaha kemanusiaan global — menghalang bantuan sampai ke tangan mangsa dan mematahkan solidariti dunia terhadap Palestin.
Berhadapan dengan kebiadaban yang berulang ini, Freedom Flotilla Coalition dan rakan-rakan kemanusiaan dunia, termasuk NGO-NGO yang tersenarai, menuntut dengan tegas agar:
1. Kerajaan Malaysia mengeluarkan kenyataan media yang mengecam tindakan tentera Israel yang telah melanggar undang-undang antarabangsa dengan menculik aktivis kemanusiaan.
2. Sekatan haram ke atas Gaza dihentikan serta-merta.
3. Semua sukarelawan yang ditahan oleh tentera Israel dibebaskan tanpa syarat.
4. Bantuan kemanusiaan dibenarkan sampai terus ke Gaza tanpa penguasaan Israel.
5. Mereka yang bertanggungjawab atas serangan terhadap Conscience dan Madleen dibawa ke muka keadilan.
Selagi Gaza dikepung dan diserang, IKRAM, MyCARE, MAHAR serta seluruh NGO yang tersenarai tidak akan berhenti di sini, bahkan akan terus bersuara dan membantu penduduk di sana.
Oleh itu, kami menyeru semua pihak dan komuniti antarabangsa untuk berterusan bertindak tegas dan memberi tekanan terhadap rejim Zionis Israel agar bumi Gaza dan Palestin dapat dibebaskan sepenuhnya, insya-Allah.
1. Pertubuhan IKRAM Malaysia
2. Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)
3. Malaysia Humanitarian Aid & Relief (MAHAR)
4. Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia cawangan Malaysia (KUMS)
5. Boycott, Divestment, Sanctions (BDS)
6. Syria Care
7. HUMAM Relief
8. RED A Humanitarian Development Global
9. Pertubuhan Viva Palestina Malaysia
10. HALUAN Malaysia
11. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
12. Pertubuhan Viva Palestina Malaysia
13. Friends of Palestine Network Malaysia
14. Citizens International
15. Global Peace Mission (GPM) Malaysia
16. Muslim Care Malaysia
17. Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP)
18. Pertubuhan Mawaddah Malaysia
19. Pertubuhan Jiwa Amal Malaysia (JIWA)
20. Muslim Volunteer Malaysia (MVM)
21. Malaysian Women’s Coalition for Al-Quds and Palestine (MWCQP)
22. Persatuan Belia Harmoni Malaysia (Harmoni)
23. IKRAM Muda Malaysia
24. Yayasan Al-Quds Malaysia (QFM)
25. Malaysian Relief Agency (MRA)
26. Ihsan Johor Relief
27. Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA)
28. Global Hayat
29. Pertubuhan Kebajikan Sanggar Suri Malaysia
30. GEGAR
31. Pertubuhan Kebajikan Ilmu & Amal Selangor (Geng Talaqqi)