Program ini bertujuan untuk menyampaikan sumbangan keluarga fakir miskin yang memerlukan bagi membuat persediaan menyambut Ramadan dan Syawal di sekitar Sik, Nami, Belantik dan Baling.
Program ini juga dilaksanakan bagi melahirkan kesedaran kepada masyarakat agar menanam sifat prihatin kepada golongan fakir dan miskin serta menerapkan sifat sentiasa bersyukur kepada Allah SWT atas rezeki yang dikurniakan.
Dalam pada itu, maklum balas yang diterima daripada keluarga yang ditemui amat gembira dan terharu dengan bantuan yang dihulurkan. Malah ada yang mengalirkan air mata kerana tidak menyangka bahawa masih ada insan yang prihatin terhadap nasib mereka.
Kami Prihatin mengadakan kunjungan secara berkumpulan terus ke rumah para penerima bantuan, yang mana seramai 150 keluarga miskin telah dikenal pasti melalui kerjasama guru-guru sekolah dan masjid mahupun surau setempat.
Bantuan diserahkan dalam bentuk makanan termasuklah beras yang ditaja Bernas serta wang tunai juga disampaikan bagi meringankan bebanan kewangan mereka terutamanya dalam suasana menyambut Ramadan dan Syawal yang tidak lama lagi akan menjelma.
Semoga tradisi kebajikan sebegini sedikit sebanyak dapat membela golongan fakir miskin dalam zaman yang serba mencabar ini, insya-Allah.