Saudaraku, Islam adalah agama yang lengkap lagi sempurna, mengurus baik hubungan kita dengan Pencipta serta hubungan sesama manusia, demi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat nanti.
Dalam bulan tarbiah Ramadan yang penuh dengan pelbagai ibadah khusus fardi (puasa, tarawih, tilawah dan tadabbur al-Quran, qiamullail, iktikaf, zikir dan sebagainya), terdapat juga penekanan terhadap amal soleh yang bersifat sosial kemasyarakatan
Selain berlapar dahaga, puasa membimbing kita memperbaiki akhlak.
“Puasa itu ibarat perisai; Semasa berpuasa, janganlah kamu mengucapkan kata-kata kotor dan tidak enak didengar, dan jangan pula sibuk bertengkar. Jika ada di antara kamu yang memaki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah kamu katakan kepadanya, ‘Sesungguhnya aku sedang berpuasa’.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kita dilatih menghidupkan sifat dermawan.
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, dia berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW adalah orang yang paling pemurah dalam kebaikan dan beliau akan lebih dermawan (daripada hari-hari biasanya) pada bulan Ramadan; Ketika Jibril datang menemuinya, dan adalah Jibril selalu datang menemuinya setiap malam daripada malam-malam bulan Ramadan hingga Ramadan selesai, Rasulullah SAW membacakan al-Quran kepada Jibril; Dan di saat dia bertemu Jibril ,beliau lebih pemurah (lembut) daripada angin yang berhembus dengan lembut’.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sebagai galakan, kita berpeluang menggandakan pahala puasa dengan memberi makan orang lain yang berpuasa.
“Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa, maka dia mendapat pahala seumpamanya tanpa kurang sedikit pun daripada pahala orang yang berpuasa tersebut.” (Hadis Hasan Sahih Rriwayat Tirmidzi)
Pada bulan Ramadan, setiap Muslim diwajibkan membayar zakat fitrah sebagai sumbangan kepada fakir miskin, agar mereka juga dapat merasakan kegembiraan di Aidilfitri.
Pendek kata, sepanjang Ramadan, umat Islam bukan sahaja dilatih menjadi manusia yang taat beribadah, tapi terbangun sifat mulia prihatin dan bertanggungjawab – kepada keluarga, saudara mara, jiran tetangga, rakan taulan, malah umat keseluruhannya.
“Perumpamaan orang mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama tubuh; Jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam.” (Hadis Riwayat Muslim)
Sebagai renungan, setelah tiga minggu kita bertarbiah Ramadan:
- Sejauh mana kita berjaya membersihkan hati daripada perasaan buruk sangka, dengki malah benci terhadap orang lain (sehingga tergamak berkata buruk, mengumpat, mengadu domba, malah memfitnah terhadap mereka)?
- Masihkah kita selesa berpeluk tubuh melihat keadaan sebahagian umat menderita dizalimi, khususnya di bumi Palestin?
Jusni Yusoff
Timbalan Presiden IKRAM
“Berpesan Kerana Sayang”