Daripada Ibnu Abbas, aku mendengar Rasulullah bersabda: “Ada dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka; Mata yang menangis kerana takutkan Allah, dan mata yang berjaga malam kerana berjihad di jalan Allah.” (Hadis Hasan Riwayat Tirmizi)
Saudaraku,
Menitiskan air mata dan menangis adalah sebahagian sifat semula jadi kita manusia.
Bayi yang baru lahir biasanya menangis.
Ada pelbagai sebab seseorang dewasa itu menangis – kerana sedih, kerana gembira, kerana sangat mengharap ihsan orang lain lantaran keperluan yang mendesak, malah ada juga kerana marah dan kecewa.
Allah suka melihat hamba-Nya mengalirkan air mata – kerana takut kepada-Nya, kerana menyesali dosa-dosanya, kerana mengharap kurniaan dan reda-Nya atau kerana bersyukur atas nikmat yang diterima.
“Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah SWT pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya; Pemimpin yang adil; Seorang pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah SWT; Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid; Dua orang yang saling mengasihi kerana Allah SWT, berkumpul dan berpisah kerana Allah juga; Seorang lelaki yang diajak zina oleh wanita yang kaya dan cantik tapi dia menolaknya sambil berkata, ‘Aku takut kepada Allah’; Seorang yang bersedekah dengan menyembunyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya; Serta seorang yang berzikir kepada Allah di kala sendirian hingga meleleh air matanya basah kerana menangis.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Menangis juga adalah amalan biasa orang-orang soleh.
“Mereka itu adalah orang-orang yang telah diberi nikmat oleh Allah, iaitu para nabi daripada keturunan Adam, dan daripada orang-orang yang Kami angkat bersama Nuh, dan daripada keturunan Ibrahim dan Israil, dan daripada orang-orang yang telah Kami beri petunjuk dan telah Kami pilih; Apabila dibacakan ayat-ayat Allah yang Maha Pemurah kepada mereka, maka mereka menyungkur dengan bersujud dan menangis.” (Maryam: 58)
Mengimbau sejarah kehidupan diri sambil merenung masa hadapan dalam hayat yang semakin pendek pastinya menimbulkan rasa bersalah, penyesalan dan takut akan pembalasan buruk terhadap kesalahan dan kesilapan yang telah kita lakukan.
Air mata mengalir deras merayu penuh pengharapan agar Allah mengampunkan semuanya.
Saat bersendirian bermunajat malam kepada Allah adalah antara masa yang sesuai untuk kita sungguh-sungguh merefleksi, merendah dan menginsafi diri, serta menangis sambil memohon kepada Allah – agar kita sentiasa dirahmati, diberi petunjuk dan dimasukkan ke dalam golongan yang diampunkan serta diganjari syurga.
Tangisan ini bukan dibuat-buat, tapi lahir daripada benih iman dan takwa yang subur – terjemahan lubuk hati yang bersih, takut dan mengharap.
Daripada Anas, Nabi SAW bersabda: “Sekiranya kamu mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis”; lalu para sahabat menutup muka mereka dan menangis teresak-esak. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Menangislah wahai diri!
Moga jiwa ini kembali segar 🤲