“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Al-An’aam: 162)
Saudaraku,
Ayat ini sering kita lafaz setiap hari, khususnya dalam solat. Namun, cabaran kepada kebanyakan kita ialah menjadikannya realiti – menjadikan Allah ‘pusat’ setiap saat kehidupan.
Dedikasi kepada Allah ini bukan hanya terhad kepada solat dan ibadah khusus, tetapi merangkumi pelbagai aspek dan aktiviti kehidupan – mencari rezeki, membina keluarga, berhubung dengan jiran dan manusia lain, menunaikan amanah dan tanggungjawab, dan sebagainya.
Bukan hanya melibatkan perbuatan, tetapi juga percakapan, pendengaran, penglihatan, pemikiran, malah lintasan hati.
Kita sentiasa peka dan berhati-hati – samada apa yang sedang difikir, disebut atau dilakukan itu bakal mendapat reda Allah, atau sebaliknya (kemurkaan-Nya).
Sesungguhnya inilah perjuangan peribadi kita masing-masing, yang memberi makna sebenar kepada setiap saat kehidupan kita yang singkat ini.
Bukanlah mudah untuk kita mencapai tahap yang sempurna dalam perjuangan ini. Sebagai manusia biasa, kerap sahaja kita tergelincir/terbabas akibat terlupa/lalai, pengaruh nafsu dan ego, serta godaan syaitan.
Tapi, kita yakin Allah memerhati dan akan meredai (malah akan memudah/membuka jalan), selagi kita ikhlas dan bersungguh menekuninya.
Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang sentiasa membuka pintu kepada-Nya, selagi kita tidak berputus asa dan terus berikhtiar memperbaiki diri dan mensucikan jiwa.
“Jika seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku sejengkal, maka Aku akan mendekat kepadanya sehasta; jika dia mendekatkan diri kepada-Ku sehasta, maka Aku mendekat kepadanya sedepa; dan jika dia mendekatkan diri kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku akan mendatanginya dengan berlari.” (Hadis Qudsi Riwayat Bukhari)
“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar: 53)
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ بِذَنْبِي، فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
“Ya Allah, Engkau Tuhanku, tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkau menciptakanku dan hamba-Mu, dan aku (terikat) dengan janji-Mu semampu yang aku boleh laksanakan, aku mohon perlindungan-Mu daripada kejahatan yang aku lakukan, aku mengakui bahawa semua nikmat yang Engkau berikan kepadaku adalah milik-Mu dan aku mengakui terhadap dosa-dosaku; Oleh itu ampunilah aku, sesungguhnya tiada yang dapat memberi keampunan kecuali Engkau.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Jusni Yusoff
Timbalan Presiden
“Berpesan Kerana Sayang”