Tidak sedikit dalam kalangan umat Islam hari ini yang berfikrah Islamiah secara wasatiy, bahkan sangat hampir dengan fikrah/manhaj yang kita bawa.
Ini bukan sesuatu yang pelik, kerana itulah sebenarnya wajah Islam yang asli; menyeluruh dan seimbang, rahmat untuk sekalian alam.
Sebahagian mereka juga tekun dalam amal dakwah, berusaha menyampaikan risalah Islam kepada manusia dengan penuh keikhlasan dan istiqamah
Namun, menjadi kader dan pemimpin dalam sebuah gerakan Islam membawa makna yang lebih khusus – ia menuntut komitmen terhadap amal jama’i, serta kesediaan untuk tunduk kepada ketetapan syura dan perancangan tanzim.
Inilah sudut yang sering dilupakan, bahkan oleh sebahagian ikhwah yang telah pun berbai‘ah – bahawa amal jama‘i bukan sekadar kerja bersama, tetapi sebuah ikatan iltizam terhadap manhaj amal Islami yang tersusun dan berdisiplin.
Sesungguhnya, bergabung menyertai Jamaah adalah satu pilihan kita sendiri yang lahir daripada kejelasan fikrah dan kematangan pertimbangan.
Jamaah bukanlah satu-satunya kumpulan yang wujud dalam kalangan umat, tetapi ia adalah satu bentuk tajarrud dan tanzim amal bagi mereka yang memilih untuk beramal secara lebih tersusun, demi Islam.
Tetapi setelah seseorang itu berbai‘ah, maka tuntutan untuk menepati janji, menjaga amanah, dan melaksanakan tanggungjawab bukanlah perkara kecil.
Allah SWT berfirman;
“وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ ۖ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا”
“Dan tunaikanlah perjanjian; Sesungguhnya perjanjian itu akan dipersoalkan” (Surah Al-Isra’: 34)
Maka, apabila ketaatan dan keyakinan terhadap Jamaah mulai goyah atau hilang kejelasan terhadap matlamatnya, sebaiknya ia dirungkaikan dengan cara yang beradab – agar ikatan tersebut tidak menjadi ‘belenggu’ di leher yang akan memberatkan hisab yang buruk di akhirat kelak.
Ini kerana bai‘ah itu bukanlah sekadar satu lafaz, tetapi amanah besar yang disaksikan Allah dan pertaruhan serius terhadap perjalanan hidup, amal dan akhirat kita.
Jusni Yusoff
Timbalan Presiden IKRAM
Berpesan Kerana Sayang