Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyambut baik pandangan balas terhadap kenyataan yang dibuat oleh Exco Pemuda UMNO, Dazma Shah Daud dan diikuti oleh Ketua Pemudanya YB Khairy Jamaluddin pada 26 Ogos 2014 berkaitan isu pakaian menutup aurat pramugari MAS ketika bertugas.
IKRAM menyokong kenyataan kedua-dua pimpinan Pemuda UMNO tersebut. Telah sampai masanya kerajaan dan pengurusan tertinggi syarikat-syarikat penerbangan yang berdaftar di Malaysia untuk mengkaji semula garis panduan pakaian pramugari mereka yang selama ini tidak melambangkan Islam sebagai agama Persekutuan di Malaysia.
IKRAM menggesa agar garis panduan pakaian sopan yang tidak menjolok mata dan mengambil kira syariat dan perundangan Islam diperkenalkan kepada pramugari syarikat penerbangan tersebut selaras dengan imej Malaysia sebagai negara umat Islam yg disegani di mata dunia. Langkah ini juga dijangkakan akan sekali lagi meletakkan Malaysia sebagai negara contoh menjadi ikutan kepada negara2 umat Islam yg lain.
Pihak syarikat disarankan supaya merujuk kepada JAKIM, Institut Wasatiyayah Malaysia dan beberapa Badan Berkanun yang telah memperkenalkan garis panduan yang sama.
Semoga segala usaha-usaha kita untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Taala dan mengamalkan segala perintah-perintah-Nya, meninggalkan segala laranganNya, menghayati sunah-sunah Nabi-Nya, akan membuka kepada kita kepada pintu-pintu pertolongan, perlindungan dan rahmat-Nya.
IKRAM juga bersedia bekerjasama dengan pihak pengurusan MAS, untuk memberi pandangan dan saranan dalam penyediaan garis panduan berlandaskan pakaian bersopan untuk dijadikan pakaian seragam kepada pasukan pramugari MAS.
Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus
Timbalan Presiden IKRAM