KUALA LUMPUR – Lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menganjurkan Himpunan Nasional “Malaysia Bangkit Untuk Gaza” (H4G) yang dijadual berlangsung esok di Dataran Merdeka, di sini.
Program H4G yang bermula pada 4.00 petang hingga 11.00 malam diadakan bertujuan bagi menyatakan solidariti masyarakat negara ini terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Antara NGO yang terlibat ialah Yayasan Amal Malaysia, Pertubuhan Himpunan Lepasan Pendidikan Malaysia (HALUAN), Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Gerakan Pembela Ummah dan Muslim Care Malaysia.
Pengarah H4G, Datuk Mohd Apandi Mohamad berkata dalam satu sidang media semalam, himpunan itu mendapat kerjasama dan sokongan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan ahli parlimen merentas parti.
Tambah beliau, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan sokongan terhadap penganjuran program berkenaan, di samping kerjasama penuh dan bantuan yang baik daripada DBKL dan PDRM bagi menjayakan himpunan ini dengan tertib dan teratur.
Pihaknya juga menyeru rakyat Malaysia untuk hadir menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin sebagaimana dilakukan oleh rakyat Australia melalui perhimpunan besar-besaran di Jambatan Harbour Sydney pada musim sejuk, ketika hujan, yang melampaui lebih 300,000 peserta.
Jelasnya, Himpunan H4G akan bermula dengan perarakan aman selepas solat Asar di beberapa lokasi berhampiran Masjid Negara, Masjid Jamek dan Sogo, diikuti dengan acara utama pada 5.00 petang di Dataran Merdeka.

Himpunan itu bakal menampilkan persembahan kumpulan nasyid Far East dan Rabbani, anak-anak Palestin, sesi doa khas serta ucapan pemimpin NGO, masyarakat sivil dan tokoh antarabangsa seperti Dr Marwan daripada Kesatuan Ulama Palestin.
Mohd Apandi berkata lagi, himpunan itu mengangkat tema kemanusiaan sebagai asas penyatuan semua pihak, melangkaui agama, politik dan bangsa bagi menyokong usaha menghentikan genosid di Gaza serta membebaskan Masjid Al-Aqsa serta hak rakyat Palestin.
Turut hadir mewakili IKRAM dalam sidang media itu ialah Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE), Dr. Awaluddin Mohamed Shaharoun.
Jom ke himpunan esok!