Dalam Bengkel Pelan Dakwah Mahasiswa di Pejabat IKRAM Daerah Batu di sini, tiga gerakan mahasiswa tersebut telah membincangkan tentang hala tuju dakwah dalam masyarakat majmuk khususnya dalam konteks kampus.
Pada sesi pagi, Presiden GAMIS, Muhammad Afiq Awang Bakar telah menyampaikan ucapan aluan dan menegaskan bahawa tugas dakwah untuk semua, kebersamaan antara semua persatuan, tanggungjawab bersama dan sama-sama melaksanakannya.
Ia diikuti dengan forum bertajuk “Perkembangan Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk di Malaysia: Kepentingan Bekerjasama di Kampus” membariskan ahli panel Muhammad Farid Hafiz (ABIM) dan Abdul Ghaffar Muhamad Sharif (Hidayah Centre Foundation – HCF), dipengerusikan oleh Fazril Mohd Salleh (Presiden PKPIM).
Pada sesi petang, para peserta bersumbang saran dan berbincang bagi menetapkan visi bagi pelan dakwah mahasiswa yang dipimpin oleh Wan Muhammad Wan Ibrahim daripada HCF. Misi pelan akan dibincangkan pada pertemuan akan datang yang dijadualkan pada 16 dan 17 April nanti.
Lima resolusi bersama turut dicapai dalam Bengkel Pelan Dakwah Mahasiswa iaitu:
1. GAMIS, IKRAM Siswa & PKPIM bersetuju untuk menjayakan pelan dakwah mahasiswa secara bersama.
2. GAMIS, IKRAM Siswa & PKPIM bersetuju untuk mengangkat visi “Warga Kampus Hidup Harmoni dan Terinspirasi Dengan Islam Menjelang 2020” sebagai visi Pelan Dakwah Mahasiswa.
3. GAMIS, IKRAM Siswa & PKPIM akan mencadangkan senarai misi Pelan Dakwah Mahasiswa dalam Bengkel Pelan Dakwah Mahasiswa yang berikutnya pada 16 dan 17 April 2016.
4. GAMIS, IKRAM Siswa & PKPIM bersetuju untuk melaksanakan satu inisiatif awal untuk menyemarakkan usaha dakwah mahasiswa pada 16 April 2016.
5. GAMIS, IKRAM Siswa & PKPIM mengalu-alukan penyertaan mana-mana gerakan mahasiswa yang berminat untuk bersama dalam Pelan Dakwah Mahasiswa.
Dalam menyampaikan ucapan penutup, Fazril menyatakan rasa kegembiraan beliau atas sikap keterbukaan yang telah ditonjolkan oleh ketiga-tiga gerakan mahasiswa ini. Beliau menegaskan bahawa inilah apa yang dinamakan sebagai “al-Ikhtilaf wa al-Tanawwu’ fi Itar al-Wihdah” iaitu “Perbezaan dan Keragaman dalan Bingkai Kesatuan”.
Presiden IKRAM Siswa, Marwan Abbdullah pula dalam mengulas tentang penganjuran bengkel ini menyatakan bahawa usaha ini sebenarnya sudah mula dibincangkan seawal November 2015 lagi. Beliau amat berharap agar usaha ini akan terus berkekalan sekaligus memanfaatkan seoptimum mungkin kekuatan umat yang ada dalam menggerakkan dakwah secara lebih berkesan.
Gerakan-gerakan mahasiswa yang berminat untuk menjayakan Pelan Dakwah Mahasiswa bolehlah menghubungi Saudari Busyra Khalid di talian 013-245 9819.
Foto bengkel: http://on.fb.me/21lDRyn
Foto bengkel2: http://on.fb.me/1oMik0w