Pada 13 September 2020, Perjanjian Oslo telah mencapai ‘ulang tahun’ ke-27 selepas ditandatangani oleh Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Israel.
Realitinya, perjanjian itu seakan tidak lagi wujud dan tidak memenuhi impian perdamaian untuk rakyat negara Palestin. Perjanjian itu sepertinya telah terkubur mati, tidak meninggalkan apa-apa manfaat selain yang melayani kepentingan pihak Israel yang rakus.
Namun, menurut penulis dan penganalisis politik Omar Jara, PLO masih percaya bahawa perjanjian ini merupakan jalan masuk utama kepada proses perdamaian yang membawa kepada merealisasikan impian sebuah negara Palestin.
Sangat jelas bahawa perjanjian Oslo tidak membawa sebarang perdamaian antara pihak Palestin dengan Israel.
Perjanjian Oslo
Perjanjian yang ditandatangani di Washington, DC pada 13 September 1993, menghasilkan pembentukan kerajaan sendiri untuk rakyat Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.
Sebelumnya pada 20 Ogos 1993, mereka telah mendapat persetujuan muktamad diterima di Oslo, Norway, tempat perbincangan rahsia yang menghasilkan perjanjian itu berlangsung.
Perjanjian itu ditandatangani bagi pihak Palestin oleh Ketua Jabatan Hal Ehwal Nasional dan Antarabangsa PLO, Mahmoud Abbas, Pengerusi PLO, Yasser Arafat dan Menteri Luar Negeri Israel Shimon Peres, yang turut disertai Perdana Menteri Israel pada masa itu, Yitzhak Rabin (yang mana kemudiannya dibunuh).
Perjanjian ini dikenal secara rasmi ‘Deklarasi Prinsip-Prinsip Ke Atas Persediaan Pemerintahan Sendiri Sementara’ (Declaration of Principles on interim Self-Government Arrangements) atau ringkasnya disebut Declaration of Principles (DOP).
Perjanjian itu, pada awalnya merupakan puncak persefahaman yang terjadi setelah berakhirnya 14 pusingan rundingan dua hala rahsia antara kedua-dua pihak di ibu kota Norway yang mana menjadi perubahan terhadap dasar dalam perjalanan politik isu Palestin.
Telah disepakati bahawa perjanjian tersebut akan berkuat kuasa sebulan selepas perjanjian itu termeterai, manakala semua protokol yang dilampirkan akan dianggap sebagai ‘bahagian yang tidak dipisahkan daripada itu.’
Namun ia sekadar janji cuma.
Isi Perjanjian Oslo
1. Rakyat Palestin diberikan pemerintahan autoriti di kawasan Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.
2. Sebelum bermula pemerintahan autoriti pada tahun ketiga, sempadan kawasan akan diadakan bagi kawasan Semenanjung Gaza dan Tebing Barat. Ia akan menjadi sempadan kekal berdasarkan Resolusi Majlis Keselamatan PBB (resolusi 242 dan resolusi 338).
3. Dalam tempoh dua bulan selepas perjanjian ini dimeterai, kerajaan Israel akan mengundurkan askarnya dari kawasan Semenanjung Gaza dan kawasan Jericho.
4. Selepas sembilan bulan pemerintahan autoriti berjalan, satu pilihan raya umum mesti diadakan bagi memilih Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Pihak PA cuma mempunyai kuasa memerintah di kawasan yang diberi autonomi sahaja. Sebaik sahaja pilihan raya umum diadakan, tentera Israel mesti berundur dari penempatan rakyat Palestin.
5. Kerajaan yang diterajui pihak PA cuma mempunyai kuasa memerintah kawasan Semenanjung Gaza dan Tebing Barat sahaja.
Pihak PA tidak boleh membina kekuatan dan senjata bagi menangkis ancaman dan serangan dari luar. Pihak PA tidak mempunyai kuasa di kawasan penempatan Israel di kawasan Semenanjung Gaza dan Tebing Barat. Pihak PA juga tidak mempunyai hak ke atas Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa.
6. Kerajaan Israel mempunyai kuasa veto untuk membatalkan apa-apa keputusan yang dibuat oleh Majlis Legislatif PA.
7. Apa yang tidak dapat diselesaikan melalui perjanjian damai mesti diselesaikan melalui rundingan bersama.
8. Penyerahan kuasa akan dilakukan secara berperingkat.
9. Pihak PA tidak akan dilabel sebagai pengganas kerana mereka menjaga keamanan rakyat Palestin.
Jika diteliti, sangat jelas kandungan perjanjian menunjukkan keuntungan yang menyebelahi pihak Israel. Namun, segala itu dikaburi dengan beberapa keterangan yang dilihat membawa kepada perdamaian.
Lagi menyakitkan rakyat Palestin, Israel tidak pernah mematuhi isi kandungan perjanjian yang memihak kepada keuntungan rakyat Palestin. Hakikatnya, dengan termeterainya perjanjian ini bermakna rakyat Palestin telah kehilangan 77 peratus bumi Palestin dan kuasa pemerintahan rakyat Palestin dihadkan seminimum mungkin iaitu dapat memerintah kawasan Semenanjung Gaza dan Tebing Barat sahaja.
Apa yang jelas lagi, Israel secara terang-terangan mencabul hak rakyat Palestin yang diperuntukkan kepada pihak berkuasa Palestin. Tentunya, ia tidak lain bagi menghalalkan penindasan melalui ‘undang-undang’ dan perjanjian yang dipersetujui oleh pemimpin Palestin yang merupakan boneka rejim Zionis.
Realitinya, terlalu banyak kekejaman dan kezaliman yang menimpa rakyat Palestin yang berselindung di sebalik Perjanjian Oslo ini.
Oleh itu, umat Islam dunia perlu bersatu berganding tenaga untuk menyelamatkan bumi yang diberkati ini serta sentiasa berhati-hati dengan tipu muslihat Zionis.
Teruskan usaha-usaha kita membebaskan Palestin walau dengan apa cara sekali pun. Moga suatu waktu Palestin akan bebas dan mendapat haknya iaitu sebuah kemerdekaan yang sebenar.
Foto: history.com