Jangan Berputus Asa daripada Rahmat Allah

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

“Katakanlah: Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Az-Zumar: 53)

Hidup ini adalah satu perjuangan. Selagi kita belum sampai ke negeri abadi, selagi itulah kita terus berusaha melakukan kebaikan dan meningkatkan amal. 

Apa saja sangkaan baik yang kita ada untuk kehidupan ini, insya-Allah Allah akan kurniakan dan makbulkan. Apa saja sangkaan buruk yang kita ada tentang kehidupan kita ini juga menjadi doa kepada kita yang perlu kita elakkan. 

Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): 

“Allah SWT berfirman: Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya ketika dia mengingati-Ku.” (Hadis Riwayat Bukhari [7505] dan Muslim [2675])

Sebab itu, sentiasalah berminda positif dan terus kuat mengharungi kehidupan ini sehingga mendapat janji berita gembira daripada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW. 

Akhirnya nanti di akhirat kelak Allah SWT mengucapkan kepada kita سَلَامٌ قَوْلًا مِنْ رَبٍّ رَحِيمٍ dan سَلٰمٌ عَلَيْكُمْ بِمَا صَبَرْتُمْ  atas kurniaan dimasukkan dalam syurga Allah SWT. 

“Mereka (para penghuni syurga) tidak akan mendengar perkataan yang sia-sia yang menyebabkan dosa melainkan perkataan salam, selamat, sejahtera.” (Al-Waqi’ah: 25-26)

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَئِكَ هُمْ خَيْرُ الْبَرِيَّةِ 

“Seungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk.” 

جَزَاؤُهُمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ ذَلِكَ لِمَنْ خَشِيَ رَبَّهُ  

“Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan mereka pun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya. (Al-Bayyinah: 7-8)

Hidup ini adalah pilihan, sama ada kita mahu memilih jalan kebaikan atau jalan kefasikan. Berdoalah kepada Allah untuk sentiasa thabat di atas jalan-Nya. 

Bukan sedikit kurniaan nikmat dan jalan kebaikan yang Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW hamparkan kepada kita. Kitalah yang perlu berusaha dan beramal dengannya. 

وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا (7) فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا (8) قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا (9) وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا (10)

“Demi jiwa dan penyempurnaan (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.” (Asy-Syams: 7-10)

Kunci kebaikan yang boleh membawa kita ke syurga Allah SWT juga terlalu banyak. Kita tahu tetapi kita tidak buat. Kita tahu tetapi kita tidak konsisten melaksanakannya sehinggalah Allah SWT memanggil kita pulang. 

Pada masa itu, apabila roh telah berpisah daripada jasad, tiada lagi peluang dan ruang untuk kita persembahkan bekalan kita kepada Allah SWT. Apa yang ada hanyalah mengharapkan rahmat Allah SWT untuk Allah SWT reda dan kurniakan syurga kepada kita.

وَلَوْ تَرَىٰٓ إِذِ ٱلْمُجْرِمُونَ نَاكِسُوا رُءُوسِهِمْ عِندَ رَبِّهِمْ رَبَّنَآ أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَٱرْجِعْنَا نَعْمَلْ صَـٰلِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ 

“Dan (alangkah ngerinya) jika sekiranya kamu melihat orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata), “Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), nescaya kami akan mengerjakan kebajikan. Sungguh, kami adalah orang-orang yang yakin.” (As Sajadah: 12)

Berapa lama lagi kita mahu hidup bermain-main dan tidak serius memikirkan hari akhirat? Yang berjaya melepasi umur 40 tahun itu adalah bonus, namun harus berjaga-jaga kerana pada bila-bila masa saja Allah SWT akan menjemput kita pulang.

Semuanya akan kita tinggalkan – harta, jawatan, pangkat, ahli keluarga dan sahabat handai kita. Jika semua yang kita tinggalkan itu memberi manfaat dan syafaat kepada kehidupan kita pada hari perhitungan nanti, alhamdulillah.

Tetapi jika sebaliknya menjadi fitnah kepada kita, termasuklah kita dalam golongan orang yang rugi. Maka persiapkanlah sentiasa diri kita semua menuju negeri abadi.

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ

ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً

فَادْخُلِي فِي عِبَادِي

وَادْخُلِي جَنَّتِي

“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang, tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya,  kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredai (di sisi Tuhanmu) serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hamba-Ku yang berbahagia dan masuklah ke dalam syurga-Ku!” (Al-Fajr: 27-30)

Sebelum menyesal dan meratap kerugian di sana nanti, marilah kita merebut kunci-kunci amalan yang Allah SWT telah sediakan kepada kita yang insya-Allah menjadi asbab untuk kita diletakkan di tempat yang baik di akhirat kelak. 

Ada orang yang asbab masuk syurganya dengan kekuatan solat dan qiamullail, ada yang pemurah dengan bersedekah sehingga tangan kanannya tidak diketahui oleh tangan kirinya, ada yang banyak memuji dan membesarkan Allah dengan zikir dan doa.

Ada yang konsisten setiap hari atau malam dengan bacaan as-Sajadah dan al-Mulk serta melazimi bacaan al-Quran dengan bertadabur, ada yang menyampaikan ilmu dan kebaikan dengan ikhlas, ada yang menjaga hak dan kebajikan ahli keluarga dan jirannya, ada yang membina masjid dan bangunan serta menanam pokok yang manfaatnya cukup besar pada manusia.

Ada yang memuliakan tetamu, menyantuni haiwan, ada yang memimpin dengan adil dan banyak lagi. Jalan kebaikan itu amat banyak dan terbentang luas. Teruskan beramal dan konsisten dengannya.

Ya Allah, kepada-Mu sajalah hamba-Mu memohon kekuatan dan pertolongan. Moga hamba-Mu ini berterusan melakukan kebaikan dan istiqamah beramal dengannya sehinggalah Engkau menjemput kami pulang. Amin. 

اللَّهُمَّ لاَ سَهْلَ إِلاَّ مَا جَعَلْتَهُ سَهْلاً وَأَنْتَ تَجْعَلُ الْحُزْنَ إِذَا شئْتَ سَهْلاً

Ya Allah, tidak ada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya mudah dan Engkaulah yang menjadikan kesedihan (kesulitan). Jika Engkau kehendaki pasti ia akan menjadi mudah.

Mohd Syahir Ismail
Pengetua
Sekolah Menengah Al-Azhar, Jitra

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia