Jalan Dakwah Murabbi Ummah, Dr Yusuf al-Qaradawi

Amat sedih dan sayu dengan berita pemergian Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi di Qatar, bumi tempat beliau menginap setelah meninggalkan Mesir, bumi kelahirannya.

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ

Sarjana Islam ini adalah sumber ilmu yang terlalu mahal, mujaddid dan pencetus pemikiran pembaharuan buat ummah. Tidak hanya ilmuwan, beliau menelusuri jalan dakwah secara real, aktivis dan murabbi ummah yang berakhlak mulia dengan tutur kata yang menjadi contoh terbaik.

Moga Allah merahmati dan mengampuni Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi (1926 – 2022), menerima dan mengganjari segala jasa beliau dengan ganjaran yang terbaik dan kemuliaan di sisi-Nya.

Bekas Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, bekas Ahli Majlis Rabitah al-Alami al-Islami di Mekah, ahli Majlis Pengajian Islam Eropah, walau sibuk dengan pelbagai jawatan, amat gigih dalam bidang penulisan.

Diberitakan beliau menghabiskan masa 14 jam sehari di perpustakaan rumahnya untuk membaca dan menulis, malah menghasilkan lebih 120 buah buku dalam berbagai bidang dari dakwah, pendidikan, kekeluargaan, wanita, kemasyarakatan, perubatan, ekonomi, kewangan hinggalah politik dan pemerintahan.

Pemikiran Rahmah, Pendekatan Sederhana 

Saya amat tertarik pada sekurang-kurangnya tiga aspek daripada pemikiran dan perjalanan hidupnya yang sungguh unik dan menginspirasikan setiap kali membaca buku beliau.

Pertama, pemikiran beliau yang luas dan seimbang tatkala mengeluarkan hukum agama sehingga kita merasai betapa rahmah, adil, relevan dan syumulnya Islam.

Beliau memberi jawapan yang terbaik bagi membantu ummah menghadapi berbagai-bagai kemusykilan dan kemelut hidup semasa yang amat mencabar.

Beliau tidak terbelenggu dengan idea-idea yang dogmatik, rigid dan tidak waqi’i yang sekali gus tidak mewakili sifat Islam.

Pembacaan dan jaringan beliau tentu sekali amat luas mencari solusi buat ummah. Buku ‘Halal dan Haram dalam Islam’ tulisan beliau adalah bukti, yang telah diulang cetak sebanyak 70 kali sejak 40 tahun yang lalu.

Dr Yusuf al-Qaradawi sentiasa mengemas kini hujah dan penulisannya. Mana hujah yang tidak kuat, akan diedit dan diperbetulkan. Tentu ramai rakyat Malaysia terkesan dengan buku ini. Moga Allah memberi ganjaran terbaik buatmu sang murabbi agung kita semua.

Kedua, idea kesederhanaan yang Dr al-Qaradawi pelopori dalam dunia semasa dan menolak ekstremisme dalam agama dan kehidupan. Pemikiran beliau progresif tetapi berprinsip. Lihatlah ketika beliau menghuraikan konsep jihad.

Sikapnya sangat sederhana, moderat, menyeluruh dan inovatif dalam membahaskan tentang jihad. Pemikiran seperti ini mampu memberi jawapan kepada banyak persoalan tentang jihad dalam kalangan ummah. Beliau melabuhkan pemikirannya dalam kitabnya yang tersohor ‘Fiqh al-Jihad’.

Melalui penulisan beliau, sifat asal Islam yang rahmah, berkasih sayang, toleran, praktikal dan realistik tanpa menggadaikan prinsip-prinsip ad-Dinul Islam, semakin dapat dirasai.

Walaupun kumpulan pendukung jihad yang ofensif, defensif dan ekstrem ataupun liberal mungkin tidak menyukai beliau, namun ramai dalam kalangan ummah mendukung pendekatan beliau yang mampu mencetuskan pembaharuan dalam agama atau tajdid. Manhaj al-Qaradawi telah mencetus reformasi pada pemikiran ummah.

Antara kata-kata Dr Yusuf al-Qaradawi yang sering dipetik adalah:

“Umat Islam tidak akan mendapat kemenangan dari segi agama jika mereka tidak menang dari sudut dunia. Tidak dapat tidak, mereka mesti memakmurkan bumi dan membongkar peraturan alam, serta menggunakan benda yang ada untuk kegunaan mereka dan dakwah rabbani mereka, matlamat akhlak serta mesej ketamadunan mereka.”

Ketiga, Dr Yusuf al-Qaradawi menelusuri jalan dakwah dengan kepayahan dan sangat ‘functional’ orangnya walau di mana beliau berada. Kata orang, orang hebat, pergi ke mana pun sentiasa hebat.

Banyak kisah perjalanan hidupnya apabila beliau dan kawan-kawannya sentiasa mencetuskan kebaikan untuk orang ramai. Letaklah di mana pun, di balai polis, sel penjara atau kem tahanan.

Liku-liku di Jalan Dakwah 

Mungkin baik saya imbau semula pengalaman beliau di kem tahanan Mesir yang pernah mendera beliau, buat inspirasi generasi baru Muslim, pewaris perjuangan. Khabarnya penderaan itu telah memberi kesan kepada kesihatan beliau hingga ke hari ini. (A. Zahid, 2018)

Dr al-Qaradawi menceritakan kisah ini dalam bukunya ‘Aku dan al-Ikhwan al-Muslimun’, sebuah buku travelog dakwah era muda beliau. Buku ini amat menarik dan wajar dibaca oleh anak-anak Muslim. Tajuk asal buku ini ialah ’Muzakarah al-Qaradawi’.

Berikut adalah kisah Dr Yusuf al-Qaradawi yang pernah didera pada era 1940an pada masa Perdana Menteri Mesir, Mahmud Fahmi al-Nuqrashi, namun di mana pun beliau, al-Qaradawi tetap pemimpin amat karismatik.

Al-Nuqrashi adalah Perdana Menteri dan juga Menteri Luar Mesir merangkap Komandan Tentera Mesir, yang telah dibunuh pada tahun 1948 oleh seorang mahasiswa. Tanpa bukti, Ikhwan Muslimin (IM) dituduh mendalanginya.

Al-Nuqrashi sebelum itu mengharamkan IM kerana IM telah menghantar pasukan pejuang mereka untuk menyelamatkan Palestin dan menyekat kemaraan Zionis Israel yang cuba memasuki Palestin.

Al-Qaradawi adalah pemimpin mahasiswa Ikhwan yang berpengaruh, namun beliau amat berjaga-jaga dengan strategi polis Mesir yang sering menangkap beramai-ramai para mahasiswa.

Namun satu hari, tatkala beliau sedang belajar di rumah sahabat beliau, Muhammad Damirdasy Murad di Samlawiya, polis mengetuk pintu rumah dengan kuat. Lantas mereka berdua lari menyorok di rumah jiran.

Namun polis menangkap ibu Damirdasy ke balai. Jiwa perjuangan al-Qaradawi membara, dan beliau berkata kepada sahabatnya, “Kita mesti menyerah diri. Ibumu tidak boleh bermalam di penjara walaupun satu malam.”

Al-Qaradawi dan sahabatnya menyerah diri. Di balai polis tersebut, terdapat 40 orang tahanan daripada kes jenayah dan para petani yang menghadapi kes berkaitan pertanian.

Pada hari pertama lagi, apabila tiba waktu solat, al-Qaradawi bangkit menjadi imam dan kemudian memberi ceramah agama. Mereka hanya tidur beberapa jam sahaja kerana sel penjara dikatakan amat berdebu.

Apabila tiba waktu subuh, al-Qaradawi bangun dan mengajak semua tahanan untuk solat berjamaah dan diikuti dengan kuliah oleh beliau. Seperti biasa, beliau bersama Damirdasy membaca wirid ‘al-Ma’thurat’, satu amalan rutin ahli IM.

Kerana tahanan yang lain masih belum mengetahui tentang ‘al-Ma’thurat’, tidak ada yang menyambutnya. Namun, apabila tiba pada bahagian zikir yang lazim, tiba-tiba tahanan lain menyambut dengan suara yang kuat sehingga penjaga datang.

Pada esok harinya, al-Qaradawi dibawa ke Tanta bertemu Ketua Biro Tugas-tugas Khas yang sangat kasar, bernama Sa’duddin Sanbathi, yang mencaci maki dan menuduh al-Qaradawi dengan pelbagai tuduhan.

Lantas al-Qaradawi membalas dengan perkataan yang tegas kepada Sa’duddin menyebabkan beliau dihumban ke penjara khas di Tanta selama 40 hari.

Kemudian al-Qaradawi dikeluarkan pada 13 Februari 1949 untuk dipindahkan ke kem tahanan Kaherah. Itulah hari pertama beliau melihat matahari setelah dikurung 40 hari. Jiwanya sayu, pada waktu ini al-Qaradawi membaca berita kematian Imam Hasan al-Banna, pengasas IM yang ditembak.

Penjara Jadi Masjid, Kelas

Al-Qaradawi kemudian dipindahkan lagi ke Penjara At-Tur, sebuah kem tahanan. Beliau bersama tahanan ahli Ikhwan yang lain ‘mendirikan’ masjid dengan meletakkan beberapa biji batu di atas tanah lapang sebagai tanda kawasan masjid, dan melantik Syeikh Muhammad al-Ghazali yang juga ditahan, sebagai imam.

Sepanjang masa di kem tahanan, al-Qaradawi bersama sahabat-sahabatnya yang lain berpakat mengadakan kelas-kelas perbincangan agama, yang mana Syeikh al-Ghazali mengendalikan pengajian sirah dan Syeikh Sayyid Sabiq mengendalikan kelas pengajian fiqah.

Mereka menukarkan penjara kepada dewan kuliah dan mengendalikan diskusi yang memberi harapan tentang kehidupan kepada para tahanan setiap hari hingga terbit matahari.

Untuk memastikan kecergasan tubuh badan para tahanan, mereka merangka jadual bersenam beramai-ramai dengan aktiviti senaman yang diketuai oleh Muhammad Mahdi Akif, mahasiswa pendidikan sukan olahraga, selama satu jam sebelum bersarapan bersama-sama. Muhammad Mahdi Akif inlah yang kemudiannya menjadi Mursyid Am IM pada tahun 2004 hingga 2010.

Setiap kali lepas makan, mereka bergilir-gilir membersihkan dan menghiasi dewan besar penjara. Sebagai mahasiswa universiti, al-Qaradawi mengisi masa mereka dengan membaca buku, malahan beliau membaca buku-buku sukatan pengajiannya dan sentiasa bersiap sedia untuk peperiksaan universiti andai kata beliau dibebaskan.

Banyak kenangan sepanjang jalan dakwah Dr al-Qaradawi bahawa beliau dan kawan-kawannya sentiasa membawa kebaikan kepada orang lain walau di mana pun mereka pergi.

Interpol pernah menyenaraikan Dr al-Qaradawi dalam senarai ‘Wanted’ kerana didakwa terlibat dalam pembunuhan dan rompakan ketika rampasan kuasa tentera Mesir pada 2013, tuduhan oleh Barat dan konco-konconya di negara umat, yang langsung tidak masuk akal kepada seorang yang berjiwa kedamaian dan pendakwah seperti beliau.

Interpol kemudian mengeluarkan nama beliau daripada senarai tersebut.

Manhaj al-Qaradawi

Demikian kehidupan ulama yang berwawasan yang tidak tewas dengan ujian di persekitarannya, berani terhadap pemerintah yang zalim dan tidak tunduk kepada habuan dunia yang menyilau mata.

Tetapi beliau menjalani hidup yang sederhana dan sentiasa berusaha membangunkan pemikiran, kefahaman dan kesedaran Islam yang sebenar dalam kalangan ummah.

Beliau hidup mempamerkan teladan terbaik dari segi ilmu dan kesarjanaan, amal peribadi dan tutur kata, serta menggerakkan seluruh hidupnya untuk agenda dakwah dan tarbiah Islam. Tinggalan terbesar beliau adalah manhaj al-Qaradawi yang sangat bernilai buat ummah.

Pada hari yang redup ini, ramai yang terkesan dengan kehilangan sang murabbi agung ini. Selamat jalan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi menemui Rabbul Jalil.

“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun.” (Al-Ahzab: 23)

Prof Madya Hj Mohamad Saidy Ismail

 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia