Saya mendapat pemintaan daripada ahli-ahli IKRAM yang sedang belajar di luar negara yang berasa terkilan kerana tidak dapat bersama-sama dalam lawatan dua orang Naib Mursyid Am Ikhwan Muslimin ke Malaysia pada kali ini. Mereka meminta agar saya bertanyakan soalan ini kepada Naib Mursyid Am.
Beliau mengambil masa kira-kira satu minit untuk memikirkan soalan yang ditanya itu sebelum mengatur ayat demi ayat bagi menjawab soalan tersebut. Kami berbual dalam Bahasa Inggeris. Beliau dapat berkomnikasi dengan agak baik dalam Bahasa Inggeris. Beliau merupakan seorang doktor perubatan.
Beliau menyatakan bahawa dunia amat memerlukan Islam. Manusia seluruhnya amat memerlukan Islam bagi menerangi hidup mereka. Ramai manusia yang telah tenggelam dalam dunia materialistik dan kita perlu berusaha menjadi qudwah dan membimbing mereka kepada hidayah.
Ini merupakan kali kedua Syeikh Dr Mahmoud Ezzat datang ke Malaysia. Kali pertama adalah pada tahun 1992, iaitu kira-kira 20 tahun yang lalu. Beliau pernah menjadi Setiausaha Agung Maktab Irsyad Ikhwan Muslimin pada tahun 2000 hingga 2009.
Satu lagi pesanan beliau, terutama kepada ahli-ahli IKRAM yang sedang menuntut di luar negara, adalah seperti mana hadis Rasulullah SAW:
الحكمة ضالة المؤمن فحيث وجدها فهو أحق بها – رواه الترمذي
Maksudnya: Al-Hikmah adalah barang yang hilang dari orang mukmin, maka di mana saja ia dapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya. (Riwayat Tirmizi).
Beliau menasihatkan agar semua berusaha bersungguh-sungguh untuk memperolehi Al-Hikmah ini. Bersungguh-sungguh menimba ilmu walaupun ilmu tersebut dari dunia Barat.
Semoga dua pesanan ringkas tetapi amat bermakna ini akan dihayati dan diamalkan oleh kita semua dengan bersungguh-sungguh.
Nahar Md Nor
5 Februari 2012