Tindakan Malaysia untuk mengundi ‘berkecuali’ dalam pengundian Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) pada 6 Oktober lalu amat mengecewakan rakyat di negara ini yang cintakan perdamaian dan menentang kezaliman.
Malah, Pengarah Perkhidmatan Antarabangsa untuk Hak Asasi Manusia (ISHR), Phil Lynch berkata, adalah ‘memalukan’ bahawa “negara-negara Islam telah gagal untuk menyokong PBB mengenai pencabulan hak terhadap umat Islam Uyghur.”
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) kesal dengan pendirian kerajaan Malaysia yang berkecuali dalam isu ini yang menyebabkan isu yang dikemukakan di perhimpunan tersebut tidak dapat dibahaskan kerana tidak cukup kuorum negara yang menyokong.
Isu Uyghur bukan isu yang baharu. Ia telah dibicarakan secara terbuka oleh masyarakat dunia termasuk badan badan NGO antarabangsa seperti Amnesty International dan Human Right Watch (HRW).
Malah, bekas Ketua UNHCR, Michelle Bachelet telah mengeluarkan laporan bahawa kemungkinan jenayah kemanusiaan terhadap etnik Uyghur dan minoriti Islam lain di wilayah tersebut dilakukan oleh kerajaan China.
Rakyat Uyghur telah lama menderita sejak tahun 1950an lagi apabila kerajaan China memutuskan untuk memasukkan wilayah Turkistan Timur menjadi wilayahnya dan diberi nama Xinjiang.
Walaupun kerajaan China memberikan kuasa autonomi kepada wilayah tersebut seawal tahun 1953, namun ia tidak pernah dilaksanakan. Ia hanya propaganda China untuk menutup mata pihak luar terhadap penjajahannya ke atas Turkistan Timur.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh BBC, dianggarkan lebih enam (6) juta warga Uyghur diletakkan di bawah penjara terbuka.
Selain memenjarakan, identiti warga Uyghur cuba dihapuskan dengan memindahkan anak-anak Uyghur ke luar dari wilayah mereka selain memindahkan rakyat China ke wilayah Turkistan Timur itu untuk menghilangkan identiti warga Uyghur.
Laporan BBC juga menyatakan bahawa wanita mereka dirogol sementara lelaki mereka dibunuh atau dipenjara amat jelas menunjukkan jenayah kemanusiaan berlaku terhadap warga Uyghur.
IKRAM menggesa agar jenayah kemanusiaan terhadap warga Uyghur ini diberikan pembelaan sewajarnya oleh masyarakat antarabangsa.
Ternyata daripada undian yang dibuat, negara-negara yang tidak menyokong agar isu ini dibahaskan adalah negara-negara yang kerajaan China menjadi pemiutang atau pemberi hutang kepada mereka.
Haji Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia