Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengambil maklum keputusan Mahkamah Persekutuan Malaysia pada 19 Jun 2025 yang membatalkan fatwa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terhadap Sisters in Islam (SIS), dengan alasan bahawa entiti berdaftar seperti syarikat tidak termasuk dalam takrifan “orang yang menganut agama Islam” seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sebagai sebuah gerakan Islam yang beriltizam membina sebuah Negara Rahmah berteraskan syariah Islam yang syumul, IKRAM ingin menggariskan beberapa pendirian berikut:
1. Islam Sebagai Teras Perundangan dan Moral Sosial
IKRAM menegaskan bahawa Islam bukan sekadar agama ritual peribadi, tetapi merupakan sistem kehidupan yang lengkap (syumul) – mencakupi aspek nilai, perundangan, tadbir urus dan pembinaan masyarakat.
Justeru, fatwa adalah antara instrumen penting dalam memelihara akidah dan moral umat Islam serta membentuk arah tuju sosial yang sejahtera.
2. Tanggungjawab Individu Tetap Relevan
IKRAM menegaskan bahawa tanggungjawab peribadi terhadap agama kekal penting. Fatwa tetap boleh dikenakan terhadap individu Muslim – termasuk pengasas, pemimpin atau ahli sesebuah organisasi – sekiranya mereka terlibat dengan pemikiran atau tindakan yang menyeleweng daripada asas Islam, biarpun mereka berlindung di sebalik struktur organisasi atau entiti korporat.
3. Mengelakkan Eksploitasi Melalui Entiti Korporat
IKRAM memandang serius percubaan sesetengah pihak untuk menyebarkan fahaman yang menyeleweng dengan berlindung di sebalik entiti korporat seperti syarikat berdaftar. Walaupun entiti ini tidak diklasifikasi sebagai “orang Islam” di sisi perlembagaan, ia tidak boleh menjadi alasan untuk melindungi agenda yang bercanggah dengan Islam.
IKRAM mencadangkan agar kerangka undang-undang semasa dikaji dan diperkukuh, bagi mengelakkan manipulasi oleh individu atau kumpulan yang menyebarkan fahaman sesat melalui syarikat dan juga bagi memastikan entiti yang mendakwa membawa imej Islam – seperti GISB Holdings, SIS dan seumpamanya – tertakluk kepada semakan syariah yang telus dan berautoriti.
4. Penambahbaikan dan Pengukuhan Undang-undang Islam
IKRAM melihat keperluan untuk memperkasa pentadbiran dan perundangan berkaitan agama Islam melalui penambahbaikan struktur fatwa, prosedur pelaksanaan dan bidang kuasa.
Usaha ini perlu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan tanpa mengorbankan prinsip dan roh syariah. Ini termasuk memperjelas peranan dan pengiktirafan ke atas entiti Islamik dalam sistem undang-undang negara.
5. Negara Rahmah: Tegas pada Prinsip, Lembut pada Pendekatan
IKRAM menyeru agar semua bentuk nasihat agama – dalam apa jua bentuk sekalipun – dilaksanakan dengan pendekatan rahmah, mendidik dan membina.
Dialog terbuka, bimbingan dan proses islah (pembaikan) harus menjadi teras kepada teguran terhadap mana-mana pihak yang menyimpang, selari dengan sabda Nabi SAW dan roh dakwah Islam.
Penutup
IKRAM terus komited memperjuangkan Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam, dengan pendekatan yang menghimpunkan ketegasan prinsip dan kelembutan hikmah, demi membina masyarakat madani yang adil, inklusif dan diredai Allah.
IKRAM menyeru seluruh pihak – termasuk institusi agama, badan kehakiman, organisasi masyarakat sivil dan rakyat Malaysia – untuk terus bersama-sama membina Malaysia sebagai Negara Rahmah berteraskan syariah yang adil, kebebasan beragama dalam kerangka Islam dan pemeliharaan akhlak serta maruah insan.
“Dan Kami tidak mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam.” (Surah al-Anbiya’: 107)
Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia