Isu Semasa Pendidikan: Sampai Bila Mahu Menyalahkan?

Isu Semasa Pendidikan: Sampai Bila Mahu Menyalahkan? | IKRAM

Oleh sebab isu yang berlaku di sekolah, Menteri Pendidikan menjadi sasaran serangan bertubi-tubi.

Tidak cukup di media arus perdana, di media sosial pula segalanya dibedah, dikritik dan dijadikan bahan jenaka, seolah-olah seluruh sistem pendidikan negara ini bergantung kepada satu manusia bernama Fadhlina Sidek — wanita pertama yang memegang portfolio sebesar ini dalam sejarah Malaysia.

Namun, benarkah semua ini salah seorang menteri? Benarkah satu insiden di sekolah satu kecuaian guru, atau satu kes buli yang tular boleh dijadikan alasan untuk menghukum keseluruhan kepimpinan dan usaha berbulan-bulan yang telah dilakukan?

Di sinilah masyarakat perlu berhenti sejenak, menarik nafas panjang dan bertanya pada diri sendiri, adakah kita benar-benar mahu menyelesaikan masalah atau sekadar mahu mencari siapa yang patut dipersalahkan?

Manusia cepat menghukum, lambat memahami 

Kita hidup pada zaman jari lebih pantas daripada akal. Satu video, satu status atau satu tajuk berita sudah cukup untuk menyalakan bara kemarahan nasional. Apabila berlaku kes buli, rogol atau kematian murid, suara rakyat bergema serentak, “Menteri buat apa?”

Kita lupa bahawa sistem pendidikan ini bukan mesin yang boleh diperbaiki dengan satu butang ajaib. Ia melibatkan 10,000 lebih sekolah, hampir setengah juta guru dan lebih 5 juta murid. Mustahil semua ini boleh dipantau oleh seorang manusia semata-mata. Sedarkah kita, menteri adalah peneraju dasar, bukan penjaga pagar di setiap sekolah?

Namun, di dunia maya, naratifnya mudah, apabila ada kejadian buruk, menteri mesti salah. Apabila ada kejayaan, orang lain yang diraikan. Padahal manusia seperti Fadhlina juga sedang berjuang dalam batas yang besar, memimpin kementerian yang paling kompleks dan paling sensitif terhadap setiap perubahan dasar.

Percaya atau tidak, dalam setiap sesuatu, tentu ada hikmah yang tersembunyi. Sebahagian besar perkara yang berlaku di sekolah adalah ketentuan Allah yang sudah ditulis. Ia bukan alasan untuk berdiam diri, tetapi tanda bahawa ada perkara yang di luar kawalan manusia.

Kalau benar seorang murid terjatuh dari asrama, bukanlah semua itu hasil daripada satu kelemahan tunggal. Ia mungkin gabungan banyak faktor seperti tekanan emosi, persekitaran sosial, kegagalan sistem atau pengawasan yang longgar. Tetapi masyarakat kita cenderung melangkau semua analisis itu dan terus mencari nama, “Siapa menteri yang bertanggungjawab?”

Dulu pun pernah berlaku kes buli, kes pelajar tertekan hingga membunuh diri atau guru bertindak kasar. Bezanya, dulu tiada media sosial.

Tiada kamera di setiap tangan, tiada rakaman di setiap sudut. Maka segalanya lebih tenang dan terkawal. Hari ini, satu klip 10 saat boleh menenggelamkan kerja 10 bulan, bahkan lebih daripada itu.

Era digital menjadikan semua orang wartawan, tetapi tidak semua wartawan menulis dengan akal dan hati. Inilah yang patut kita sedari.

Fadhlina dan cabaran menjadi menteri wanita

Dalam sejarah negara, Fadhlina Sidek bukan sekadar menteri, malahan simbol perubahan. Beliau wanita pertama di kementerian yang menjadi tulang belakang masa depan bangsa. Hakikat itu sendiri sudah cukup untuk menarik perhatian, pujian dan, malangnya, juga kecaman.

Sebagai seorang wanita dalam politik, apa-apa tindakan beliau sering ditafsirkan dengan lensa jantina. Apabila tegas, dikatakan garang. Apabila lembut, dikatakan lemah. Apabila senyum, dikatakan tidak serius. Apabila menangis, dikatakan tidak kuat.

Namun, apa yang jarang kita lihat ialah kerja senyap beliau, turun padang ke sekolah pedalaman, meninjau makmal daif, memperkenalkan saringan kesihatan mental di sekolah, memperkasa TVET dan memperkukuh latihan guru.

Tetapi yang tular bukan semua itu, yang tular ialah satu ungkapan kecil yang disalah tafsir atau satu insiden terpencil yang dijadikan bahan serangan, makian juga perlian.

Rasulullah SAW sendiri pernah mengingatkan:

“Jika seseorang melihat kesalahan pada saudaranya, hendaklah dia menutupinya dan menasihatinya dengan baik. Barang siapa menutup aib saudaranya di dunia, Allah akan menutup aibnya di akhirat.” (Hadis Riwayat Muslim)

Apakah kita masih ingat adab ini?

Bukan semua salah menteri, kita pun punya peranan 

Masalah sosial di sekolah bukan lahir dalam sehari. Ia terhasil daripada gabungan tekanan hidup, kurang kasih sayang, pengaruh media dan longgarnya nilai dalam masyarakat.

Apabila pelajar membuli,  itu tanda ada jurang nilai dalam rumah dan komuniti. Apabila pelajar murung, itu tanda ada jiwa yang tidak dirawat oleh persekitaran. Apabila guru hilang sabar, itu mungkin tanda sistem terlalu menekan.

Lalu, mengapa kita menuding semua kepada seorang menteri?

Adakah ibu bapa sudah cukup meluangkan masa mendengar isi hati anak? Adakah masyarakat setempat peka terhadap anak-anak jiran yang makin menyendiri? Adakah guru dibantu dengan kaunselor yang cukup dan sokongan emosi yang memadai?

Kita semua terlibat, tetapi hanya satu nama sering dijadikan kambing hitam, ‘menteri pendidikan.’

Masyarakat yang suka menyalahkan tidak akan membaiki apa-apa 

Budaya menyalahkan (blame culture) adalah penyakit lama yang semakin kronik. Dalam dunia politik, ia dijadikan alat untuk menjatuhkan. Dalam dunia sosial, ia dijadikan cara melepaskan marah. Dalam dunia maya pula, ia dijadikan hiburan. Hakikatnya ia sangat berbahaya.

Kita tidak sedar bahawa semakin kuat kita menuding, semakin kita menolak tanggungjawab. Satu jari menunjuk ke depan, tiga lagi jari menunjuk kembali kepada diri sendiri.

Sebenarnya, jika setiap lapisan masyarakat menjalankan peranan masing-masing dengan jujur, banyak masalah pendidikan dapat diselesaikan tanpa perlu menunggu tindakan menteri. Antaranya:

1. Ibu bapa mendidik dengan kasih sayang dan disiplin.

2. Guru mengajar dengan hikmah dan kesabaran.

3. Masyarakat menjaga persekitaran moral anak-anak.

4. Media melapor dengan tanggungjawab, bukan sensasi.

Itulah ekosistem pendidikan sebenar yang bukan hanya tentang dasar dan peruntukan, tetapi tentang nilai dan peranan bersama.

Apabila hati sudah penuh dengan amarah, kebenaran pun jadi kabur 

Ada orang menulis panjang di media sosial kononnya membela pelajar, tetapi dengan kata-kata yang menghina. Ada yang menyerang menteri dengan bahasa kasar kononnya atas nama perjuangan rakyat, sedangkan cara itu hanya menonjolkan kebencian, bukan solusi.

Fadhlina bukan malaikat, tetapi juga bukan musuh. Dia manusia, dengan hati, keletihan dan tekad untuk berkhidmat. Setiap kali beliau menjawab isu, ramai tidak mendengar isi sebenar, sebaliknya mencari ruang untuk mencipta niatnya di sebalik kata.

Padahal dalam Islam, kita diajar husnuzon, bersangka baik, bukan menghukum tanpa tahu hujung pangkal.

Allah berfirman (maksudnya):

“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah banyak daripada prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa.” (Surah al-Hujurat: 12)

Kita perlu menilai dengan akal, bukan emosi. Menegur dengan hikmah, bukan menghina dengan kebencian.

Daripada menuding kepada membangun 

Jika benar kita sayangkan pendidikan, marilah ubah cara menegur. Teguran yang membina adalah doa, tetapi cemuhan tanpa dasar adalah racun. Negara tidak akan maju dengan budaya mengaibkan pemimpin.

Cuba bayangkan, jika setiap kali berlaku tragedi, rakyat bersatu mencari jalan penyelesaian, bukan bersatu menghentam, sungguh betapa indahnya wajah negara ini.

Menteri boleh berubah, tetapi sistem akan kekal selama rakyatnya terus bersama. Kalau kita tidak berubah daripada budaya menyalahkan kepada budaya membina, maka siapa pun yang menjadi menteri selepas ini, nasibnya tetap sama, dikecam, dihentam, dikritik, disalahkan, ditolak.

Hentikan budaya menuding jari, mulakan budaya tanggungjawab 

Kita boleh saja tidak bersetuju dengan dasar. Kita boleh menegur polisi. Kita boleh membantah kelemahan yang ada. Tetapi kita tidak boleh lupa adab. Kita tidak boleh lupa bahawa di sebalik nama menteri, ada seorang insan yang sedang memikul amanah berat untuk mendidik bangsa.

Kata Saidina Ali r.a.:

“Kebenaran itu tidak diukur dengan manusia, tetapi ukurlah manusia dengan kebenaran.”

Maka, mari kita menilai dengan ilmu, bukan dengan emosi. Mari kita bertanya bukan untuk menghakimi, tetapi untuk membaiki. Mari kita berhenti menuding dan mula menanggung bersama-sama kerana masa depan anak-anak kita bukan tanggungjawab seorang menteri semata-mata, tetapi amanah seluruh bangsa.

Semoga mulai hari ini, setiap kali ada isu di sekolah, kita tidak lagi menulis “menteri gagal,” tetapi kita bertanya: “Apa peranan aku sebagai rakyat, pendidik dan ibu bapa dalam menyelamatkan generasi ini?”

 

Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia