Di samping itu, Islam juga telah melarang perkara-perkara yang boleh membawa kepada perzinaan dan menganggapnya sebagai berdosa, antaranya adalah berkhalwat antara seorang lelaki dan wanita yang bukan mahram.
2. Sistem perundangan Islam membenarkan pihak berkuasa menetapkan hukuman bagi perbuatan mungkar yang tidak ada hukuman yang telah ditentukan oleh al-Quran dan Hadith. Hukuman yang ditetapkan dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) dan juga enakmen-enakmen di negeri yang berkaitan khalwat adalah selari dengan hasrat sistem perundangan Islam seperti yang telah disebutkan di atas.
Sebagai contoh, dalam Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Bahagian IV – Kesalahan yang Berhubungan dengan Kesusilaan, Seksyen 27 (Khalwat) ada disebutkan seperti berikut:
“… Mana-mana:
(a) orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya; atau
(b) orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya, di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya….”
3. Dalam hubungan ini, hukuman yang bertujuan mencegah (preventive measure) bukanlah suatu yang asing dalam mana-mana sistem perundangan dunia hari ini. Dengan itu, dakwaan bahawa khalwat adalah dosa peribadi (personal sin) antara manusia dengan Tuhan dan tidak sepatutnya dihukum, adalah amat bercanggah dengan konsep perundangan Islam.
Sekiranya rasional ini diterima pakai maka zina, liwat dan seks luar tabii juga tidak salah dan tidak patut dihukum. Namun, undang-undang Malaysia hari ini mengenakan hukuman jauh lebih berat kepada pelaku liwat, penghisap dadah, menyimpan dadah atau berjudi, walaupun dilakukan dalam rumah sendiri dan tidak mengganggu orang lain.
4. Rasulullah s.a.w. pernah melarang lelaki dan perempuan berduaan di tempat yang tiada orang lain melainkan disertai mahram perempuan tersebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:
لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ
Ertinya: “Janganlah seorang lelaki dan seorang perempuan berkhalwat (berdua-duaan di tempat yang tiada orang lain) melainkan jika mahramnya ada bersamanya.”
5. Justeru itu, IKRAM menyakini bahawa undang-undang kesalahan syariah berkaitan khalwat adalah tidak salah. Walau bagaimanapun, IKRAM berpendapat bahawa cara pelaksanaannya yang mungkin tidak menepati hasrat dan roh Islam seperti mengintip dan menyerbu setiap premis secara rambang perlu diperbaiki. Islam tidak menyuruh kita mengintip dan mengganggu privasi seseorang. Islam juga tidak membolehkan kita mengintai sesiapa, semata-mata untuk mencari kesalahannya.
6. Namun, IKRAM menyakini bahawa Islam membenarkan dan membolehkan pihak berkuasa untuk bertindak menyiasat jika ada keraguan dan syak yang munasabah berdasarkan laporan-laporan yang diterima dari orang ramai untuk bertindak demikian.
Seperti mana kesalahan-kesalahan lain, pihak berkuasa biasanya dan sewajarnya diberi kuasa untuk menggeledah rumah seseorang dan memasuki ke premis seseorang jika terdapat laporan dan syak yang munasabah bahawa berlaku kesalahan di bawah undang-undang yang berkaitan. Ini termasuklah juga dalam kesalahan kes khalwat. Antara tujuan utama pesalah khalwat boleh ditahan ialah untuk mengelak berlakunya perzinaan, jadi sudah tentu tindakan segera perlu dilakukan sebelum terlewat.
7. Oleh itu, IKRAM menyeru agar umat kembali untuk menghayati Islam sepenuhnya dan berusaha agar hukum-hukum dan maqasid syariah tertegak sepenuhnya di bumi Malaysia.
Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia
13 Disember 2015