KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan hari ini berkata, ia turut melibatkan cadangan memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia.
Perkara itu antara yang dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini berhubung keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland Lawrence Bill berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah ‘Allah’.
Anwar berkata, Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa keputusan menarik balik rayuan hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan mahkamah pada 2014.
“Kerajaan menghormati, memperakui dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri-negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari 2023 yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah.”
“Kerajaan akan senantiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung agama Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai,” kata beliau dalam kenyataan pada Rabu.
Penjelasan KDN
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan permohonan semakan kehakiman Jill Ireland adalah kerana ia melibatkan isu pentadbiran iaitu rampasan bahan penerbitan dan bukannya penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh masyarakat bukan Islam di Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sewaktu proses permohonan rayuan sedang berjalan, KDN turut memperhalusi keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu pada 10 Mac 2021 yang mendapati terdapat percanggahan antara keputusan yang dibuat oleh Kabinet pada 19 Mei 1986 dan Arahan Pentadbiran yang kemudiannya dikeluarkan oleh KDN pada 5 Disember 1986.
Di bawah Arahan Kabinet 1986, penganut Kristian dibenarkan menggunakan empat perkataan bahasa Arab iaitu kalimah Allah, baitullah, kaabah dan solat dalam penerbitan agama mereka bagi tujuan pendidikan dengan syarat di luar kulit muka depan buku itu ditulis perkataan ‘Untuk Agama Kristian.’
Arahan Pentadbiran yang dikeluarkan KDN pada 5 Dis 1986 pula menyatakan penggunaan keempat-empat perkataan bahasa Arab itu adalah dilarang sama sekali dalam semua penerbitan agama Kristian di Malaysia.
“Bersangkutan dengan hal ini, keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan permohonan rayuan tersebut adalah dibuat berdasarkan kes mengikut kes; tanpa menjejaskan fakta bagi setiap satu kes yang sedang dalam tindakan mahkamah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Imigresen Bagi Tahun 2022, di sini pada Selasa.
Beliau berkata, KDN lebih memfokuskan kepada aspek ketenteraman awam selaras dengan Perkara 11(5) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa kebebasan beragama tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau kemoralan.
“KDN komited dalam urusan mempertahankan dan melindungi kepentingan Islam, orang Melayu dan Institusi Beraja di Malaysia khususnya dalam isu penggunaan kalimah Allah selaras dengan Perkara 11(1) dan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.
“Ia memperuntukkan sungguhpun setiap individu berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, namun masih tertakluk kepada undang-undang Persekutuan atau negeri yang boleh mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan orang Islam,” katanya.
Jill Ireland memohon semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 supaya dikembalikan lapan cakera padat (CD) dengan tajuk mengandungi kalimah ‘Allah’ yang dirampas daripadanya pada 11 Mei 2008, serta perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah itu dalam penerbitan Kristian.
Mahkamah pada 2014 memerintahkan CD itu dipulangkan dan setelah melalui beberapa proses, memutuskan arahan KDN pada 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan empat perkataan itu menyalahi undang-undang dan tidak rasional.