Setiap tahun bilangan penagih baharu kian bertambah sedangkan yang sedia menagih tidak pula berkurangan atau sembuh.
Walaupun kita semua benci kepada perkara ini, namun setiap kita berperanan untuk memulih dan menyelamatkan mereka yang terlibat ini dan berharap mereka akan insaf serta berusaha memulihkan diri sendiri.
Ketagihan dadah, jika tidak dibendung, negara akan kerugian tenaga manusia terutama belia. Usaha pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga amat diperlukan kerana kerajaan secara bersendirian tidak mampu melawan musuh negara nombor satu ini.
Bilangan penagih dadah yang dikesan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengikut kaum bagi tempoh tahun 2016-2020 menunjukkan bilangan penagih dadah dalam kalangan masyarakat Melayu adalah 102,513 orang; Cina (8,047); India (8,615); Pribumi Sabah (5,218); Pribumi Sarawak (1,058) dan kaum lain, iaitu Punjabi, Siam, Serani serta Orang Asli (939).
Statistik ini menunjukkan orang Melayu lebih ramai terdedah kepada masalah penyalahgunaan dadah.
Berdasarkan maklumat daripada kajian yang dijalankan AADK, keadaan ini disebabkan beberapa faktor utama seperti pengaruh rakan, perasaan ingin tahu, keseronokan dan tekanan jiwa hingga mudah terjebak dengan jenayah itu
Data daripada Agensi Antidadah Kebangsaan Negara (AADK) juga mendapati 58 peratus atau 178 penempatan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di seluruh Kuala Lumpur dikenal pasti sebagai zon merah atau lokasi paling berisiko tinggi penagihan dadah dan melibatkan ramai remaja bawah 18 tahun.
Sebuah program bual bicara bertemakan Hidup Sejahtera telah dilaksanakan di Perumahan Awam Desa Rejang anjuran IKRAM Kuala Lumpur, IKRAM Kawasan Setiawangsa dan KRT Desa Rejang pada 18 Jun 2022 bertempat di PA Desa Rejang.
Program ini bertujuan berkongsi fakta isu dadah dan membina kemahiran-kemahiran ibu bapa untuk membina daya tahan agar dapat mendidik anak-anak dengan berkesan.
Ia juga telah memberi pengetahuan dan meningkatkan penglibatan serta keupayaan keluarga dalam membimbing anak-anak mereka mengatasi masalah berkaitan dadah.
Tip, panduan berguna, pengalaman sebenar dan kisah kejayaan telah dikongsikan oleh dua orang penceramah jemputan iaitu Encik Hafizi Harun, Timbalan Presiden PENGASIH dan Encik Fadli Isamil, Ketua Unit Pencegahan Dadah Daerah Sentul, Kuala Lumpur.
Daripada maklum balas peserta dan pemimpin masyarakat setempat, program ini telah berjaya memberi impak positif kepada ibu bapa yang hadir.
Rata-rata ibu bapa bersetuju dengan hakikat bahawa masalah kelencongan sosial yang membawa kepada masalah dadah sekarang ini berada pada tahap sangat serius
Kesibukan ibu bapa bekerja membuatkan anak anak kurang mendapat perhatian dan pengawasan.
Pencegahan daripada terlibat dengan aktiviti berisiko perlu diambil oleh ibu bapa secara berkesan bermula dengan mengenal pemilihan rakan sebaya anak dan mengambil inisiatif untuk mengenali rakan sebaya anak.
Aktiviti anak-anak di luar rumah mestilah dipantau dari masa ke semasa.
Kesemua ibu bapa hendak lebih yakin untuk bercakap tentang bahaya dan salah guna dadah dengan anak-anak.
Malah, seandainya ada anak-anak atau ahli keluarga terlibat dengan salah guna dadah, biarlah ibu bapa atau keluarga adalah pihak yang paling awal mengetahuinya agar ia segera dapat dibendung.
Kita amat yakin dan percaya, keadah terbaik adalah langkah pencegahan, bermula daripada unit kecil yang amat penting dalam masyarakat kita iaitu keluarga.
Peranan ibu bapa amat penting untuk memastikan anak-anak dan ahli keluarga bebas dadah kerana pencegahan awal bermula dari rumah.
Keluarga utuh idaman semua perlu dipastikan pembinaannya kerana ia adalah kekuatan negara.
Tanggungjawab setiap Keluarga Malaysia dalam membanteras penyalahgunaan dadah amat penting kerana ia merupakan ejen utama dalam menjayakan misi dadah terkawal dalam negara.
Masyarakat perlu mengelak daripada bersikap ‘not me syndrome‘ sebaliknya bersama memainkan dalam mengambil tindakan dan menjadi barisan hadapan dalam menangani isu dadah dalam keluarga dan komuniti masing-masing.
Faridah Maludin
Kumpulan Fokus Putuskan Rantaian Dadah
Kluster Masyarakat Progresif
Pertubuhan IKRAM Malaysia