Isu Belanja Sekolah: Hidupkan Ta’awun dalam Komuniti

Pengurusan kewangan sering menjadi topik hangat yang dibincangkan dari masa ke masa, lebih-lebih lagi ketika kos sara hidup sedang meningkat seiring dengan kos tanggungan keluarga.

Dua musim yang sering mengorek poket atau simpanan duit ialah pada waktu sesi persekolahan baru dan persiapan perayaan Aidilfitri.

Pada tahun ini, dua musim ini datang serentak. Bagi golongan berpendapatan sederhana atau rendah, sumber kewangan mereka yang terhad menjadikan sebahagian mereka mengamalkan kesederhanaan dalam berbelanja awal-awal lagi. 

Walaupun begitu, masih banyak lagi keperluan yang sukar dipenuhi pada masanya ekoran pendapatan yang tidak dapat menampung perbelanjaan wajib yang melibatkan kos besar walaupun ada antara ibu bapa ini telah berusaha sekuat tenaga melakukan dua hingga tiga kerja sehari. 

Bantuan Awal Persekolahan (BAP) daripada kerajaan tentunya sedikit sebanyak dapat memberikan kelegaan kepada pihak ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang bersekolah.

Namun ini tidak dapat menampung perbelanjaan besar persiapan sekolah yang merangkumi pembayaran yuran, persediaan baju uniform sekolah dan kelab, buku dan pelbagai lagi bayaran lain.

Di sinilah tampak ada keperluan untuk komuniti setempat bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bergabung tenaga bagi mewujudkan sinergi yang dapat memberikan manfaat untuk memperkasakan komuniti dan membina daya tahan kelangsungan hidup. 

Kita berada pada zaman yang keanjalan masa semakin berkurangan, sebaliknya masa itu sendiri bergerak pantas dan meminta hasil yang cepat. Bergerak secara solo atau silo boleh menyukarkan keadaan terutamanya apabila tanggungjawab yang harus dilunaskan itu banyak. 

Justeru, kita semakin saling memerlukan antara satu sama lain untuk melengkapi kelompongan dan ketidaksempurnaan yang berlaku agar kesejahteraan dan keharmonian dalam kehidupan dapat dikekalkan dan disuburkan walaupun gaya hidup berubah-ubah. 

Bagi merealisasikan usaha sinergi begini, solusi yang bersifat “win-win situation” atau situasi menang-menang sering menjadi pendorong atau motivasi kepada suatu kerjasama untuk berlaku.

Berikut ialah beberapa cadangan umum yang dapat dipertimbangkan dan disesuaikan mengikut keadaan dan tempat.

Free market, jualan barangan terpakai

Free market (pasar percuma) bukan lagi menjadi konsep jualan yang asing bagi masyarakat kita ekoran pernah dipopularkan suatu ketika dahulu sebagai usaha kreatif dalam mengkonsepkan pemberian secara percuma. 

Terdapat ungkapan yang menyebut, “someone’s trash can be someone’s treasure” yang menggambarkan keperluan setiap orang berbeza dan dapat dipenuhi melalui semangat perkongsian. 

Sebilangan ibu bapa yang mempunyai barangan sekolah yang masih elok seperti buku dan uniform tetapi tidak memerlukannya lagi boleh memanfaatkannya melalui pasar percuma ini.

Mereka tidak perlu menguruskan pelupusan atau penyimpanan barang-barang tersebut yang memakan ruang di rumah. Sebaliknya, pihak yang memerlukannya dapat memanfaatkannya untuk keperluan anak-anak mereka.

Perkongsian pakaian seragam sekolah, terutamanya pakaian persatuan dan kelab yang agak mahal jika dibeli baharu, tentunya dapat meringankan beban perbelanjaan ibu bapa.

Peranan PIBG

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PiBG) memainkan peranan penting dalam menyokong pendidikan anak-anak di sekolah. 

Mereka dapat memainkan peranan yang signifikan dalam menjalankan aktiviti pengumpulan dana atau mengatur kempen dana tertentu bagi membantu pelajar miskin atau menyokong pendidikan khas.

PIBG boleh menjalinkan kerjasama dengan pihak luar seperti badan kebajikan, NGO atau syarikat korporat bagi tujuan pengumpulan dana bersama. 

Sekolah juga boleh membuat kerjasama dengan kedai-kedai yang membekalkan peralatan sekolah bagi membolehkan adanya penawaran diskaun pembelian. Melalui cara ini, pihak kedai memperoleh pelanggan dan ibu bapa pula dapat membeli dengan pakej pembelian yang menarik. 

Melalui penglibatan diri dalam pelbagai inisiatif ini, PIBG dapat membantu ibu bapa dalam membayar yuran sekolah anak, menyokong keperluan-keperluan khas dan pada masa yang sama, memperkuatkan ikatan antara sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat.

Transit di surau kariah atau masjid

Pusat transit yang selamat adalah keperluan bagi ibu bapa yang bekerja terutamanya bagi ibu bapa yang mempunyai jadual kerja yang sering berubah-ubah. Namun kos perkhidmatan transit boleh menjadi bebanan kos yang besar buat ibu bapa.

Justeru, saranan menjadikan masjid atau surau kariah yang sesuai sebagai pusat transit merupakan idea yang boleh dipertimbangkan. Lebih-lebih lagi pada masa kini, tidak asing lagi bagi surau kariah dan masjid menjadi tumpuan ibu bapa melalui anjuran kem cuti sekolah.  

Tambahan pula, pihak masjid boleh mengambil kesempatan ini untuk mengadakan kelas agama seperti kelas mengaji dan solat kepada anak-anak dalam jagaan dengan memberikan pengalaman beragama yang baik untuk anak-anak. 

Anak-anak pula dapat membesar dalam lingkungan pengaruh yang selamat, mendorong penghayatan terhadap agama, dan surau atau masjid dapat berperanan sebagai pusat pengembangan masyarakat.  

Masjid Ashabus Solihin di Taman Rakan, Cheras, Selangor pernah mendapat liputan media berkenaan usaha mereka menjadi premis masjid sebagai pusat transit sebelum ke sekolah pada setiap hari, bermula pada waktu Subuh. 

Masjid ini turut melakukan pelbagai usaha bagi mendekatkan golongan muda termasuk remaja  bagi menjadikan masjid sebagai rumah kedua serta tempat ‘melepak’ yang memberikan manfaat. Inisiatif seperti ini sangat bagus dan perlu disebarluaskan dalam masyarakat.

Hidupkan ta’awun

Usaha kerjasama sebegini menerapkan konsep ta’awun yang diajarkan Islam. Ta’awun membangunkan keharmonian sosial dan memenuhi keperluan manusia melalui sifat tolong-menolong dan kerjasama sebagaimana firman Allah dalam al-Quran melalui surah al-Maidah ayat kedua (maksudnya):

“..Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan takwa, dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah. Sungguh, Allah sangat berat seksa-Nya.” (Surah al-Maidah: 2)

Ayat ini menjelaskan bahawa kerjasama yang bertujuan untuk kebaikan dan ketakwaan bukan sahaja bermanfaat untuk keharmonian kehidupan manusia, malah menghindar sikap mementingkan diri serta mengelakkan kejahatan dan kerosakan daripada berlaku dalam masyarakat. 

Memperkasakan komuniti setempat dapat membina daya tahan yang lebih tinggi. Elemen ini sangat diperlukan bagi membentuk sebuah masyarakat yang harmoni dan sejahtera dalam sebuah negara yang mampan.

Dalam menghadapi kesukaran, apabila setiap pihak atau individu berperanan memberikan sumbangan dan sokongan, biar sekecil mana pun, ia akan mampu membentuk lapisan kekuatan yang padu untuk menopang sesebuah kejayaan. 

Bak kata peribahasa Melayu, ‘Lemah melapis condong menopang.’

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia