Dan untuk kita terus istiqamah dalam kafilah dakwah, wajar sekali kita melihat pada diri masing-masing, boleh jadi kenyataan yang ada dalam diri kita semua adalah sama, iaitu kita semua barangkali masih jauh daripada sifat istiqamah sejati seperti yang digambarkan oleh Allah dan Rasulnya SAW.
Boleh jadi kita masih belum mampu merealisasikannya dalam kehidupan nyata dengan pelbagai dimensinya. Oleh karena itulah, perlu kiranya kita semua cuba untuk memiliki sifat ini.
Bagaimanakah Cara Untuk Merealisasikan Istiqamah Dalam Hidup?
1. Ikhlaskan niat semata-mata hanya mengharap Allah dan kerana Allah SWT dalam setiap amal, sama ada amal yang bersifat ibadah khusus atau amal dakwah. Ketika beramal, tiada yang hadir dalam jiwa dan fikiran kita selain hanya kerana Allah dan untuk mendapat keredhaan Allah.
2. Bertahap dalam beramal. Ketika menjalankan suatu amal, kita hendaknya memulai dari sesuatu yang kecil namun berterusan. Bahkan sifat berterusan ini jika di peringkat awal harus bersifat sedikit dipaksakan sehingga telah menjadi sebuah amalan yang biasa meskipun sedikit.
Pembiasaan yang sedikit ini diharapkan bakal menjadi istiqamah. Seperti dalam tilawah al-Qur’an, dalam qiamullail dan sebagainya; hendaknya dimulai dari sedikit demi sedikit, kemudian ditingkatkan menjadi lebih baik lagi.
3. Sabar, kerana untuk melakukan suatu amalan yang bersifat berterusan dan rutin, memang merupakan sesuatu yang berat. Sebagai seorang insan, kita terkadang rajin dan kadang rasa malas. Oleh itu, diperlukan kesabaran dalam menghilangkan rasa malas ini agar terpelihara ibadah atau amalan dalam istiqamah.
4. Berpegang teguh terhadap ajaran Allah SWT, kerana istiqamah tidak dapat direalisasikan tanpanya. Allah berfirman maksudnya:
“Bagaimanakah kamu (sampai) menjadi kafir, padahal ayat-ayat Allah dibacakan kepada kamu, dan Rasul-Nya pun berada di tengah-tengah kamu? Barang siapa yang berpegang teguh kepada (agama) Allah maka sesungguhnya ia telah diberi petunjuk kepada jalan yang lurus.” (Ali Imran QS 3: 101)
5. Istiqamah punya hubungan rapat dengan tauhidullah (mengesakan Allah). Oleh karenanya, dalam beristiqamah seseorang hendaklah benar-benar mentauhidkan Allah Ta’ala, tanpa mensyirikkan-Nya.
Mustahil istiqamah direalisasikan jika disertai dengan kemusyrikan, meskipun hanya fenomena yang sangat kecil daripada kemusyrikan tersebut, seperti riyak. Menghilangkan sifat riyak’ dalam diri kita merupakan bentuk istiqamah dalam keikhlasan.
6. Hendaklah memahami hikmah atau hakikat daripada amalan yang dilakukan, barulah akan terasa nikmat ketika beramal, lebih-lebih lagi dalam melakukan amar makruf dan nahi mungkar. Jika kita merasakan ‘kosong’ dalam amalan yang kita lakukan, pasti kita mudah jemu dan ditakuti akan meninggalkan dakwah dan medan.
7. Istiqamah juga akan lebih mudah dengan adanya amal jama’i (beramal secara berkumpulan) kerana dengan kebersamaan dalam beramal Islami, akan lebih membantu dan mempermudah hal apa pun yang akan kita lakukan. Jika kita salah, tentu ada yang membetulkan.
Jika kita lalai, tentu yang lain ada yang mengingatkan, berbeza dengan ketika kita seorang diri. Ditambah lagi, suasana beraktiviti secara bersama-sama memberikan “sesuatu yang berbeza”, bersemangat, yang tidak akan kita rasakan ketika beramal sendirian.
8. Memperbanyakkan membaca dan membincangkan mengenai keistiqamahan para salafuna soleh dalam meniti jalan hidupnya, walaupun berbagai-bagai cubaan dan ujian yang sangat berat menimpa mereka. Malah, mereka merasakan kenikmatan dalam menjalani kehidupan yang penuh dengan cubaan tersebut.
Kesimpulan
Istiqamah merupakan satu bentuk proses pembelajaran yang mesti sentiasa dilakukan oleh setiap hamba secara berterusan, lebih-lebih lagi para da’ie, kerana hidup merupakan proses pembelajaran menuju keredhaan Allah SWT.
Ia juga satu bentuk pengurusan diri yang sangat baik, kerana istiqamah adalah satu cara untuk mengawal emosi seseorang. Para pakar jiwa berpendapat bahawa kunci kejayaan hidup yang paling besar adalah apabila seseorang dapat mengawal emosi dan perilakunya.
Seorang yang boleh mengawal emosi dengan baik akan lebih berjaya meskipun beliau sederhana bijak, dibandingkan dengan orang yang memiliki kecerdasan intelektual tetapi gagal dalam mengawal emosi.
Wallahu a’lam.
Penulisan oleh:
Ustazah Shahidah Sheikh Ahmad
Penulis Wanita IKRAM (PENAWAN)