Suatu petang, si suami yang baru pulang dari kerja ingin memanjakan isterinya,“Jom kita keluar, malam ni kita makan di kedai je lah.”
Sambut isterinya, “Eh, nasi banyak lagi tu bang, gulai pun ada lagi tu. Nanti membazir, siapa pula nak menghabiskan tu.”
Kalau diikutkan jawapannya itu seolah-olah membantah cadangan suaminya itu, tetapi tindakannya berlainan. Si isteri masuk ke bilik terus menukar baju dan membelitkan tudung di kepalanya di hadapan cermin di dalam bilik tidurnya.
Sambil menunggu isterinya, dia mencapai surat khabar yang dibawa dari pejabat tadi. Suaminya faham sangat. Kalau mulut isteri membantah tetapi nampak bergegas menukar baju, maknanya dia setuju.
Setiba di gerai char kuetiau yang biasa mereka singgah, adik di gerai tu menghampiri mereka dan bertanya, “Pak cik nak makan apa?” Pantas suaminya menjawab, “Char kuetiau.”
Dia ditegur isterinya, “Isy abang ni, mintalah yang lain pula, mi ke, bihun ke. Kan dulu dah makan char kuetiau ni.”
Suami mula naik berang, “Menyusah je fikir-fikir, abang tengah lapar, nak makan char kuetiau le. Awak nak yang lain, pesan je la.” Muncung terus mulut si isteri mendengar arahan suaminya itu dan lantas memesan bihun sup untuk dirinya.
Sedang mereka menjamu selera, isterinya memecah kesunyian dengan bertanyakan satu soalan menjerat, “Sedap ke char kuetiau tu bang?”
Sambil kepalanya masih tunduk menyedut lelehan kuah kuetiau itu, suami membalas, “Sedap,” dan terus melicinkan char kuetiau kegemarannya itu.
Apabila isterinya melihat piring suami telah licin, dia menegur dengan nada kecewa, “Awak tu makan, bukan nak ingatkan saya.”
Tergamam suami mendengarnya terus membela diri, “Tadi tak cakap pun nak.” Sambut isterinya, “Dah cakap tadi, abang buat tak faham je.”
Namun, dibalas pula suaminya untuk membela dan membenarkan dirinya, “Mana abang tahu awak nak rasa, kalau nak, pesan lagi satu.” Suara masing-masing mula meninggi.
Isteri merasakan suasana romantik yang dia mula kecapi seawal suaminya mengajak makan di gerai tadi telah hancur berkecai apabila suami tidak memahami kehendaknya malam itu.
Bagi si suami pula, asalnya tadi keluar makan di luar untuk membantu isteri merehatkan badannya supaya tidak susah-susah memasak di rumah dan dengan harapan malam nanti dapatlah hadiah istimewa daripada isterinya.
Tetapi sekarang, ia telah bertukar menjadi medan peperangan dingin dengan isterinya di meja char kuetiau pula. Mengapa perkara ini boleh terjadi?
Mengapa Isteri Cakap Terbalik?
Kebiasaan wanita apabila mereka berkomunikasi, mereka menggunakan ungkapan yang tidak terus. Mereka menggunakan bahasa berlapik, maksud terbalik dan berpusing-pusing sebagaimana peribahasa Inggeris, “Beats around the bush.”
Laporan ScienceDaily (Jan. 21, 2005) berjudul ‘Intelligence In Men And Women Is A Gray And White Matter’ mengatakan bahawa binaan otak wanita memang telah diprogramkan memiliki lebih ‘white matter’ yang bertugas menghubungkaitkan sesuatu perkara dengan yang lain hingga menyebabkan mereka pakar menggunakan pendekatan ‘komunikasi bahasa tidak terus’ ini.
Bercakap adalah asas perhubungan yang utama bagi wanita. Mereka menggunakan pendekatan ini untuk membina jambatan perhubungan dengan orang lain untuk mengelakkan konfrontasi secara terbuka, bersopan santun dan berbudi bahasa.
Wanita memang suka menggunakan proses komunikasi cara ini untuk menyampaikan mesej terutama sekali kepada orang yang dia sayangi.
Bagi mereka, jika orang yang dia sayangi ini memahami apa yang dia ungkapkan dengan tepat, maka orang itu dilabelkan sebagai seorang yang romantik.
Sebagai contoh, kalau mereka berdua sedang menaiki kereta dalam perjalanan yang jauh dan isterinya berasa lapar. Pada masa itu, mereka sedang melalui deretan kedai-kedai makan.
Terdapat beberapa ungkapan yang tidak terus yang wanita gunakan untuk memberitahu suami yang mereka lapar. Mereka tidak sanggup mengungkapkan perkataan, “Abang, saya lapar, berhenti di kedai makan depan itu sekarang.”
Mereka akan menggunakan bahasa tidak terus seperti berikut, “Abang tak lapar ke?” atau “Dulu kita pernah makan di kedai depan tu kan, sedap masakannya.” atau “Tomyam kedai di depan tu sedapkan abang” dan banyak lagi ungkapan-ungkapan yang kebanyakan lelaki tidak faham.
Maka, suami yang romantik ialah apabila sahaja dia mendengar isyarat ini, dia telah tahu bahawa isterinya sedang lapar dan mahu makan.
Tanpa bersoal jawab, dia terus sahaja membelokkan keretanya ke halaman deretan kedai makan dan mencari parkir yang dekat dengan restoran yang dia sebut tadi.
Namun, kebanyakan lelaki tidak faham dengan bahasa tidak terus ini. Minda lelaki yang memiliki lebih sepuluh kali ‘grey matter’ daripada wanita yang tugasnya hanya memproses maklumat, kurang dapat mengaitkan ungkapan atau ayat-ayat yang berlapik-lapik ini.
Kefahamannya hanya bergantung kepada apa yang diucapkan. Dia tidak pandai untuk mentafsirkan apa yang tersirat daripada apa yang tersurat.
Oleh itu, jika isterinya beri isyarat, “Abang tak lapar ke?” dia akan jawab, “Tak lapar” dan meneruskan pemanduannya. Kecewalah isteri ini dan suaminya ini akan dicap sebagai tidak romantik.
Cubalah fahami perbezaan cara komunikasi ini agar komunikasi anda dengan pasangan lebih berkesan dan mendapat mawaddah.
Selamat mencuba.
Ahmad Shafiai Uda Jaafar (Pak Utih)