Ismail Haniyeh: Pejuang Pembebasan Palestin

Ismail Haniyeh: Pejuang Pembebasan Palestin | IKRAM

Media tempatan dan antarabangsa memberikan liputan yang meluas susulan kesyahidan tokoh penting pejuang Palestin, Ismail Haniyeh. Ketua Biro Politik Hamas itu dipercayai diserang menggunakan peluru berpandu jarak dekat yang disasarkan dari luar rumah tamu di Tehran.

Ismail Haniyeh merupakan salah seorang tokoh utama dalam perjuangan pembebasan Palestin. Sebagai pemimpin politik Hamas dan bekas Perdana Menteri Palestin, Haniyeh telah memainkan peranan penting dalam membentuk landskap politik dan perjuangan pembebasan Palestin sejak beberapa dekad yang lalu.

Ismail Haniyeh dilahirkan pada 29 Januari 1962 di kem pelarian Shati di Semenanjung Gaza. Beliau membesar dalam keadaan yang mencabar seperti kebanyakan pelarian Palestin.

Haniyeh menuntut di Universiti Islam Gaza. Di sana beliau aktif dalam politik pelajar dan menjadi pemimpin Persatuan Pelajar Islam. Penglibatan awalnya dalam aktivisme pelajar menjadi asas kepada kerjaya politiknya yang akan datang.

Ismail Haniyeh telah muncul sebagai salah seorang tokoh paling berpengaruh dalam perjuangan Palestin kontemporari. Perjalanan aktivisme beliau daripada penghuni kem pelarian di Gaza kepada pemimpin tertinggi Hamas mencerminkan kehidupan ramai rakyat Palestin dan telah membentuk pendekatan beliau terhadap konflik Israel-Palestin.

Kesyahidan Haniyeh, yang dikatakan akibat serangan rejim Zionis telah mencetuskan kecaman keras daripada pemimpin-pemimpin dunia seperti Malaysia, Turkiye, Rusia, China, Qatar dan Iran. Manakala Anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam pembunuhan kejam ini yang disifatkan sebagai tindakan keganasan yang melangkaui undang-undang.

Pertubuhan Kerjsama Islam (OIC) pula akan mengadakan mesyuarat luar biasa terbuka Jawatankuasa Eksekutifnya di peringkat Menteri Luar pada Rabu ini untuk membincangkan jenayah Israel terhadap Palestin, pembunuhan Ismail Haniyeh dan pencerobohan kedaulatan Iran.

Reaksi ini menunjukkan betapa pentingnya peranan Haniyeh dalam arena politik antarabangsa dan menggambarkan pengaruh serta kehormatan yang dimiliki oleh Haniyeh di peringkat global.

Insiden pembunuhan Ismail Haniyeh di Tehran berlaku tidak sampai sehari selepas seorang pemimpin Hizbullah dibunuh di Beirut. Kedua-dua pembunuhan ini mencetuskan kebimbangan bahawa ia merupakan sebahagian daripada strategi yang lebih besar.

Peristiwa ini menimbulkan spekulasi bahawa Perdana Menteri Netanyahu mungkin sedang melaksanakan satu strategi provokasi yang disengajakan. Tujuannya dipercayai untuk memancing reaksi daripada Iran dan Hizbullah, seterusnya menarik mereka ke dalam konflik semasa di Gaza.

Jika strategi ini berjaya, ia berpotensi mengubah skala konflik daripada pertempuran setempat di Gaza kepada perang serantau yang lebih besar. Tindakan ini dilihat sebagai usaha untuk meluaskan skop konflik, yang mungkin membawa kepada implikasi yang lebih serius bagi rantau tersebut dan masyarakat antarabangsa.

Justeru, banyak negara telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap peningkatan ketegangan di rantau tersebut dan menyeru untuk menghentikan keganasan serta kembali kepada proses perdamaian.

Pemergian Ismail Haniyeh, Ketua Biro Politik Hamas dan bekas Perdana Menteri Palestin, merupakan kehilangan yang amat besar bukan sahaja bagi pergerakan Hamas, tetapi juga bagi seluruh umat Islam di pelosok dunia. Kegigihan dan komitmen beliau dalam memperjuangkan hak dan masa depan rakyat Palestin telah menjadikan Haniyeh ikon perjuangan yang dihormati dan disanjung.

Hanya dua hari sebelum kesyahidannya, Haniyeh telah menyeru penduduk negara-negara Arab, negara-negara Islam dan seluruh dunia untuk mengadakan demonstrasi dan perarakan pada hari Sabtu sebagai tanda solidariti terhadap Gaza. Seruan ini menunjukkan keazaman beliau yang tidak pernah luntur dalam usaha menggerakkan sokongan antarabangsa bagi perjuangan Palestin.

Kejadian serangan ini berlaku ketika Haniyeh sedang memainkan peranan utama dalam rundingan yang diharapkan dapat membawa kepada gencatan senjata yang amat diperlukan. Tindakan ini dilihat oleh ramai pihak sebagai strategi licik Netanyahu untuk mensabotaj dan menghalang sebarang kemajuan dalam proses rundingan gencatan senjata yang sedang giat dijalankan.

Dengan mengarahkan pembunuhan Ismail Haniyeh, iaitu ketua perunding bagi usaha gencatan senjata kekal dan pembebasan tawanan di Gaza, Netanyahu jelas menghina proses perdamaian dan mengabaikan nasib tawanan Israel sendiri.

Menurut pegawai kanan Hamas,  Abu Zuhri, pembunuhan Ismail Haniyeh merupakan kesalahan serius Israel yang bermotifkan untuk melemahkan semangat juang Hamas dan keseluruhan rakyat Palestin.

Walau bagaimanapun, Hamas menegaskan bahawa usaha Israel ini tidak akan berjaya mencapai matlamatnya. Sebaliknya, mereka yakin bahawa peristiwa ini akan memperkukuhkan lagi tekad dan iltizam organisasi tersebut dalam perjuangan mereka.

Reaksi segera daripada Hamas sejurus insiden tragik ini menunjukkan bahawa mereka bersedia untuk meneruskan perjuangan dan tidak akan tunduk kepada tekanan. Namun, kehilangan Haniyeh mungkin akan membawa perubahan dalam strategi dan struktur organisasi Hamas.

Sebagai pemimpin Hamas, Haniyeh telah memainkan peranan penting dalam usaha-usaha rundingan dan diplomatik. Ismail Haniyeh dikenali sebagai seorang pemimpin yang pragmatik dan sederhana dalam kalangan pemimpin-pemimpin Hamas yang lain. 

Beliau seorang pemimpin yang terbuka kepada dialog dan penyelesaian secara aman. Pendekatan ini telah membawa kepada beberapa pencapaian diplomatik penting bagi Hamas dan Palestin secara keseluruhan.

Tarikh 23 Julai yang lalu mencatatkan perkembangan peristiwa penting apabila menyaksikan komitmen perdamaian antara Hamas, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan 12 kumpulan lain ke arah pembentukan kerajaan perpaduan Palestin menerusi suatu majlis menandatangani perjanjian yang telah diadakan di Beijing.

Peristiwa bersejarah ini merupakan satu pencapaian penting kerana buat pertama kalinya setelah lebih daripada dua dekad, rakyat Palestin mempunyai peluang yang cerah untuk bersatu di bawah satu kerajaan.

Langkah ini dijangka akan meningkatkan prospek perdamaian dan membuka jalan ke arah pembentukan negara Palestin yang berdaulat mengikut sempadan pra-196 dengan sokongan 145 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Keupayaan beliau untuk berdialog dengan pelbagai pihak, termasuk negara-negara Arab dan Barat, telah menjadikan beliau sebagai tokoh penting dalam usaha-usaha perdamaian.

Sebagai ketua keluarga pula, Haniyeh terkenal dengan kasih sayangnya terhadap keluarganya. Walaupun menghadapi ancaman berterusan dan tekanan sebagai pemimpin Hamas, beliau tetap mengutamakan kesejahteraan keluarganya.

Malangnya, keluarga Haniyeh juga tidak terlepas daripada konflik yang melanda Gaza. Pada Jun 2024, serangan udara Israel telah mengorbankan 10 ahli keluarga Haniyeh, tidak termasuk serangan pada April lepas yang telah mengorbankan tujuh ahli keluarganya iaitu tiga anak lelaki dan empat cucu.

Beliau pernah mengungkapkan, “Keluarga saya adalah simbol penderitaan rakyat Palestin. Kehilangan mereka mengingatkan kita tentang pentingnya meneruskan perjuangan ini dengan lebih gigih.”

Tragedi ini telah menunjukkan realiti kejam yang dihadapi oleh rakyat Palestin termasuk pemimpin-pemimpin mereka. Namun, Haniyeh terus berjuang untuk rakyatnya untuk memperkuat tekadnya dalam mencari penyelesaian kepada konflik yang berlarutan.

Kesederhanaan dan ketabahan Haniyeh dalam menghadapi cabaran peribadi dan politik telah menjadikan beliau figura yang dihormati, bukan sahaja dalam kalangan penyokong Hamas, tetapi juga di mata pemerhati antarabangsa. Keupayaan beliau untuk mengekalkan sikap diplomasi dalam menghadapi kesukaran peribadi dan politik telah membuktikan kekuatan karakternya sebagai seorang pemimpin.

Kepimpinan Haniyeh telah ditandai oleh keteguhan dalam menghadapi tekanan luar, keupayaan untuk mengekalkan sokongan domestik dalam keadaan yang sukar dan usaha untuk mengukuhkan kedudukan antarabangsa Hamas. 

Perjuangan untuk Palestin yang bebas dan merdeka akan terus hidup tanpa mengira kos yang dikenakan oleh Zionis yang terdesak dan muflis secara moral terhadap perjuangan Palestin.

Haniyeh menjadi tokoh penting dalam membentuk masa depan Palestin dan dinamisme serantau di Timur Tengah. Ismail Haniyeh setia kepada kata-katanya, “Kami tidak akan pernah menyerah kepada kezaliman. Setiap syahid adalah bukti bahawa perjuangan kami masih hidup dan terus berlanjut.”

Kini beliau sendiri telah menyertai barisan syuhada yang mulia, yang digambarkan dalam al-Quran menerusi surah Ali Imran, ayat 169 berikut, “Janganlah kamu menyangka bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki.”

 

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia