Mutakhir ini, agama sering kali menjadi faktor pemecah, menimbulkan kebencian, menyebabkan perseteruan sehingga berwajah hodoh disebabkan oleh pendekatan politik yang melampau oleh sesetengah pihak.
“Ia bertentangan sekali dengan mesej Islam sebenar yang seharusnya bersifat rahmatan lil ‘alamin, menyantuni semua pihak,” demikian mesej penegasan yang disampaikan oleh Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman.
Beliau berkata, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), semakin menjadi-jadi perangai ghuluw (keterlaluan) yang diamalkan oleh segelintir kelompok.
“Naratif politik yang dibawa tidak sesuai dengan pendekatan Islam yang menekankan mesej wasatiyyah iaitu bersederhana dan seimbang dalam segala aspek. Sebaliknya apa yang berlaku sekarang adalah naratif keras dan ekstrem yang bersifat memecahbelahkan, hina-menghina, bodoh-membodohkan. “
Menurut Azam, negara sedang mengalami peperangan naratif yang jelas mengacaubilaukan masyarakat dan negara. Beliau menggesa agar pihak-pihak yang berkesedaran seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama bangkit melawan naratif buruk ini dengan mempelopori naratif baru yang bersifat wasatiy kerana tiada alternatif lain selain menang dalam peperangan naratif ini.
“Sekiranya naratif kebaikan ini kalah dengan naratif politik bobrok, negara akan berada dalam bahana apabila kuasa jatuh ke tangan-tangan orang yang tidak menghayati sejarah kebangkitan dan mahukan kuasa semata-mata. Sifat ’aku-aku’ akan melata di mana-mana merenggut keamanan dalam negara.”
Tegasnya lagi, sudah tiba masanya masyarakat bekerjasama untuk mengangkat Malaysia sebagai negara yang membawa Islam ke persada antarabangsa agar tidak sibuk menumpukan membincangkan atau bertelagah dengan hal-hal yang bersifat mikro atu remeh-temeh.
“Malaysia seharusnya menjadi negara yang dicontohi dengan mengutamakan perdamaian dan kerjasama melebihi persengketaan dan permusuhan.”
Sejarah telah membuktikan situasi keamanan dan kedamaian menjadi faktor kepada sebuah kemajuan yang terbilang. Perjanjian Hudaibiyah pada 628 M yang merupakan perjanjian perdamaian pertama antara orang Islam dan bukan Islam di Mekah rupa-rupanya menjadi bibit awal kepada kebangkitan kemenangan Islam walaupun ditentang oleh orang Muslim pada awalnya kerana jelas memperlihatkan perjanjian berat sebelah kepada pihak musyrikin Mekah.
Pertimbangan adil, seimbang
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Hj Badlishah Sham Baharin berkata, beliau tertarik dengan pandangan Prof Kamal Hassan yang mendefinisikan ummatan wasataa, ia menyebut terdapat empat ciri, iaitu umat terpilih, keadilan, keseimbangan dan kecemerlangan.
“Kita sebagai umat terbaik menghubungkan dunia dan juga akhirat. Kita melakukan yang terbaik, cemerlang di atas dunia ini. Itu adalah tuntutan yang telah dianjurkan oleh Allah SWT supaya kita melakukan yang terbaik.”
Jelas Badlishah Sham lagi, pendekatan Islam Wasatiy, atau Islam yang berpegang teguh kepada keseimbangan dan pertengahan, memberi penekanan pada mempertimbangkan semua aspek kehidupan secara adil dan seimbang.
Letak sesuatu pada tempatnya
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz ketika sesi wacana bertajuk ‘Islam Wasatiy Membangun Peradaban Ummah’ itu menjelaskan bahawa perkataan madani bukanlah perkataan luar biasa dan bukanlah perkataan baharu kerana ia ada dalam Kamus Dewan.
“Ia adalah berkaitan konsep wasatiyyah, yang mana ia disebut sebagai maju dari segi pemikiran, kerohanian, akhlak dan kebendaan.”
Menurutnya, wasatiy dalam konsep yang lebih besar bermaksud keseimbangan, sebagaimana yang tercatat dalam Kamus Dewan iaitu refleksi kepada keseimbangan.
“Ketika disebut tentang kemajuan, dunia inginkan masyarakatnya maju dari segi kebendaan atau material. Bukan itu sahaja, tetapi kita ingin membawa negara ini maju dari segi pemikiran, kerohanian, agama, akhlak dan kebendaan. Jadi inilah yang disebut sebagai wasatiyyah,” jelas Faisal.
Islam mengajarkan keseimbangan, dalam konteks duniawi dan ukhrawi serta yang ini difahami dalam konteks keadilan, yang mana adil itu meletakkan sesuatu itu pada tempatnya.
Strategi santuni manusia
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN), Dr Abdullah Sudin Ab Rahman menegaskan bahawa aspek wasatiy iaitu kesederhanaan dan keseimbangan yang ditekankan dalam Islam adalah untuk menyerlahkan potensi kecemerlangan dalam diri.
Beliau turut mengetengahkan bahawa ia sejajar dengan firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 143 dan Surah Ali Imran ayat 110 yang menganjurkan manusia agar bersifat wasatiy untuk menuju kecemerlangan sebagai syarat menjadi umat terbaik.
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (Surah Ali Imran: 110)
“Dan yang demikian itu Kami telah menjadikan kalian (umat Islam) sebagai umat pertengahan agar kalian menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas perbuatan kalian” (Surah Al-Baqarah: 143).
Abdullah Sudin menyatakan, pendekatan wasatiy atau kesederhanaan ini adalah suatu strategi menyantuni manusia pada hari ini yang berhadapan dengan situasi dunia yang semakin rumit dan alam yang sakit.
“Situasi yang dialami sekarang ini berpunca daripada keruntuhan akhlak dan iman.”
Menurutnya, nilai mulia yang dibawa agama teragung ini telah jelas dicemari oleh perangai bobrok sebahagian penganutnya dan Islam mengajak umat menghidupkan nilai wasatiyyah sebagai cara hidup yang sederhana dan seimbang dalam semua keadaan dan perbuatan.
“Wasatiy bukanlah konsep semata-mata apatah lagi sebagai omong-omong kosong, tetapi wajib dihidupkan menjadi gaya hidup agar dijauhi daripada sifat berlebih-lebihan, kekerasan atau terlalu bermudah-mudah dalam menjalani kehidupan.”
Beliau menegaskan, agama bukan diamalkan dalam ibadah khusus semata-mata sebagai elemen terpecah daripada urusan kehidupan lain, tetapi agama adalah gaya hidup. Islam itu adalah pada gaya hidup dalam bermuamalah, bersosial, berekonomi dan termasuk juga berpolitik.
“Melihat Islam dalam konteks yang yang dipisah-pisahkan adalah merbahaya sedangkan hakikatnya Islam adalah gaya kehidupan termasuk ekonomi, politik, perubatan dan sebagainya. Sekiranya hakikat ini dilupakan atau tidak difahami, secara tidak langsung umat Islam menjadi lemah, mudah dipengaruhi dengan fahaman melebihkan logik akal dan dikuasai kepentingan tertentu.”
Oleh yang demikian, bagi menghadapi PRN, renung sebentar dan kembali kepada sifat kesederhanaan dan keseimbangan yang dianjurkan Islam. Ini adalah saranan Ilahi bagi menuju kecemerlangan dan keadilan sebelum menggalas tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi.
Buat julung kalinya gerakan-gerakan Islam di Malaysia berhimpun bagi mewacanakan berkaitan ‘Islam Wasatiy Membangun Peradaban Ummah’ di International Youth Centre, Kuala Lumpur.
Gerakan-gerakan ini dengan tekad dan semangat, mengisytiharkan penubuhan Himpunan Gerakan Islam Malaysia untuk menegakkan pemahaman wasatiyyah dan mencerdaskan umat dalam membina masyarakat madani (berperadaban dan bertamadun).
“Kami bersama nadi dan degup jantung rakyat Malaysia menzahirkan kecintaan kepada tanah air bertuah ini, yang kaya dengan pelbagai nikmat serta dianugerahkan suasana aman, damai, meskipun dalam kepelbagaian agama dan kaum, zaman berzaman,” ucap empat pemimpin utama Himpunan Gerakan Islam Malaysia itu.
Inisiatif ini adalah gabungan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada gerakan-gerakan Islam utama di Malaysia dengan pengalaman lebih 50 tahun dalam pelbagai bidang termasuk dakwah, tarbiah, kebajikan, kemanusiaan, pendidikan, wanita, belia dan keusahawanan.
“Ini selari dengan kefahaman bahawa Islam adalah agama yang menyeluruh dan merangkumi semua aspek kehidupan.”
Atriza Umar & Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia