Islam itu memandu, bukan memandulkan akal

Sejak kebelakangan ini, kemunculan ajaran yang dilihat janggal, kepelikan dan tidak berasas jelas mula menyerang dan meresapi ke dalam masyarakat kita pada hari ini.

 

Keadaan ini bukanlah suatu yang baharu. Sejak dahulu lagi sudah wujud golongan yang disebutkan sebagai ‘konservatif’ yang hidup beragama dengan berpegang kuat kepada tradisi adat turun-temurun dan dicampuradukkan dengan pegangan agama.

 

Lebih parah lagi, masyarakat kita yang sejak dari dahulu lagi lebih gemar mendengar cerita mistik dan pelik, berbanding mendengar hal perkara yang berkaitan dengan fakta. Barangkali bagi mereka, hujah dan dalil itu membosankan.

 

Oleh itu, sebahagian masyarakat lebih gemar mendengar tok-tok syeikh yang dapat menghiburkan mereka dengan cerita dan kisah berwajah agama yang tidak ada asasnya sama sekali.

 

Amat mendukacitakan, kesedaran betapa pentingnya untuk mempelajari fakta dan menyemak sesuatu perkara berasaskan dalil dilihat remeh dan enteng.

 

Akhirnya, akibat daripada hal itu, barah kejahilan semakin menyerang dan membentuk perangai ‘taklid buta’ atau mengikut secara membabi buta.

 

Penyakit ini sejak dahulu lagi dan hari ini ia datang menyerang umat Islam lagi. Segelintir kita ada yang beranggapan apa yang diungkapkan oleh tok syeikh, semuanya pasti benar tanpa perlu semak dan ketahui dalil.

 

Bagi mereka, dalil itu bukan tugas dan ‘level’ kita untuk fahaminya. Jika begitu, sungguh dangkalnya dalam hidup beragama. Firman Allah SWT dalam Surah al-Israa’ ayat 36 yang bermaksud:

 

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

 

Dalam Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di menyebutkan bahawa:

 

“Janganlah mengikuti apa yang tidak kamu ketahui. Bahkan perkara ini bergantung atas apa yang dikatakan dan dilakukan. Ini kerana setiap perbuatan serta anggota tubuh itu akan dipertanggungjawabkan sama ada dari segi perbuatan atau percakapan. Dan tujuan penciptaanya adalah bertujuan untuk ibadah kepada Allah SWT dan berkerja untuk agama.”

 

Oleh itu, kita dipertanggungjawabkan atas segala perilaku dan tindakan yang telah kita lakukan. Tersalah langkah, maka nahaslah kita.

 

Betapa pentingnya kita untuk keluar daripada bahana taklid buta ini dengan kembali berpegang kepada prinsip dalil daripada al-Quran dan hadis, tidak cukup sekadar menukilkan kalam tok guru, tok wali tanpa ada sandaran hujah dan dalil yang tepat dan benar.

 

Yang namanya agama itu bukanlah bersifat berdiri atas sangkaan, apatah lagi terbina atas penceritaan dongeng tanpa asas, sebaliknya agama Islam bersifat fakta dan dalil bukti yang benar. Allah SWT menerusi firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 111 yang bermaksud:

 

“Katakanlah, “Tunjukkan bukti kebenaranmu jika kamu orang yang benar.”

 

Penurunan ayat ini ditujukan kepada golongan Yahudi dan Nasrani yang mendakwa mereka sahaja yang layak untuk memasuki syurga. Dakwaan semata-mata tanpa hujah dan bukti yang benar hanyalah sekadar angan-angan kosong yang tidak berkesudahan.

 

Demikian juga kita sebagai orang Islam, andai kita hidup beragama dengan apa yang kita ambil daripada kalam orang itu orang ini, secara membabi buta sahaja kita pegang, maka ia akan memenjarakan akal kita daripada terus mahu berfikir dan mengkaji.

 

Pemikiran orang terdahulu bahawa apa sahaja yang keluar dari mulut yang bergelar ustaz, tok guru, tok syeikh, maka terima sahaja, sudah tidak relevan lagi.

 

Dahulu barangkali kesempitan dunia, mengakibatkan kita tidak terbuka dengan dunia luar. Hari ini kerana kepesatan dunia yang bergerak, teknologi cepat membangun, ruang berinteraksi dengan dunia luar semakin terbuka dan luas.

 

Hal ini telah mendorong manusia untuk lebih rajin berfikir dan mengkaji, tidak lagi sekadar menerima dan menelan tanpa tahu asal-usulnya.

 

Timbul pelbagai cerita dan kisah ajaib, yang akhirnya tidak lagi meninggalkan kesan agama dalam diri.

 

Apa yang dijelmakan hanyalah kisah-kisah dongeng yang dibaluti agama, lahirlah petua membuang sial, muncul pula amalan ritual bersifat khurafat dan syirik.

 

Di samping itu, sebagai penyedap hati yang jahil, diajarkan pula zikir yang bukan-bukan dan tidak berasas, yang sememangnya hal itu secara tidak langsung telah menjauhkan orang daripada intipati ajaran agama yang sebenar.

 

Kata Imam Ibnu Jauzi dalam Talbis Iblis ketika berbicarakan tentang tukang cerita, katanya:

 

“….maka golongan awam dan wanita begitu suka kepada mereka. Lantas orang ramai tidak lagi sibuk dengan ilmu, sebaliknya berpaling kepada cerita-cerita dan perkara bidaah dalam bidang ini…”

 

Oleh yang demikian, peranan dan fungsi akal hendaklah sentiasa waras dan sedar dalam semua hal keadaan, lebih-lebih lagi dalam soal hidup beragama ini.

 

Agama tidak akan dapat difahami dengan sekadar mencedok apa yang tok guru kata, tetapi sebaliknya mesti kita fahami atau sekurang-kurangnya tahu akan hujah dalilnya, kerana agama ini sifatnya memandu akal manusia daripada kejahilan menuju kebijaksanaan.

 

Akal yang waras, pasti mampu membezakan antara tuntutan benar dan palsu. Semoga Allah menjauhkan kita semua daripada segala kesesatan dan kepalsuan.

 

Muhammad Faidhi Azis
Pegawai Masjid dan Guru Takmir JAIPs

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia