Meskipun ia bermakna kekalahan bagi suatu pihak dan kemenangan bagi pihak yang satu lagi, semua ternanti-nanti apa perubahan yang bakal dibawa, sama ada dalam dasar-dasar politik, sosial mahupun ekonomi.
Namun, sejak pertukaran kerajaan berlaku, yang tidak pernah gagal menjadi buah mulut rakyat Malaysia adalah keberadaan Islam pada era baru ini.
Struktur kerajaan masa kini sudah tentu tidak seperti dahulu kala, yang mana teks-teks fiqh klasik membahagikan wilayah berdasarkan agama. Pada zaman kontemporari, pemerintahan berdasarkan agama atau teokrasi belum lagi meluas.
Pasca-zaman kolonial, wujudnya polemik yang sebelum ini tidak atau jarang sekali timbul dalam dunia Islam, iaitu pertembungan antara kehendak melaksanakan pemerintahan yang dianggap thawabit (ketetapan) daripada teks-teks agama dan demokrasi berparlimen yang telah sedia terlaksana di seluruh dunia, termasuklah di Malaysia.
Maka, lahirlah fiqh al-muwathonah (kewarganegaraan) yang mengambil kira pandangan ulama moden seperti Sheikh Muhammad Abu Zuhrah untuk membantu orang Islam mengemudi ruang persoalan yang mencabar ini.
Pandangan yang lebih sejahtera dalam hal ini adalah bahawa dalam al-Quran dan Sunnah, yang ditekankan adalah nilai-nilai dan prinsip seperti ketelusan, amanah, awlawiyyat (memilih keutamaan), akhaffu dhararain (memilih yang lebih ringan antara dua mudarat), saddu dzarai’ (pencegahan kemungkaran), fathu dzarai’ (membenarkan sedikit haram untuk mencapai kebaikan yang lebih besar) dan sebagainya.
Dasar-dasar negara dan pelaksanaannya merupakan perkara ijtihadiyyah (tertakluk kepada kebijaksanaan pemerintah). Perlembagaan Persekutuan contohnya, merupakan undang-undang tertinggi, ‘supreme law of the land’ di Malaysia yang tidak bercanggah secara tuntas dengan Islam, malah menjunjungnya sebagai agama persekutuan.
Kita menyaksikan, betapa pada era Malaysia baru, hak rakyat Malaysia iaitu kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan tidak disekat dan dihalang meskipun Parlimen mempunyai hak untuk membuat sekatan melalui Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, hal ini harus diambil manfaatnya dalam kerja-kerja dakwah. Jika dahulu, syarahan-syarahan bersifat keagamaan dibatasi oleh tekanan politik, maka yang mengawal olahan agama kini cumalah akal dan kefahaman Islam yang rasional dan tidak ghuluw (ekstrem).
Para agamawan hendaklah merasa bertanggungjawab untuk menggunakan kebebasan ini untuk mengolah isi syarahan sesuai dengan kemajmukan masyarakat Malaysia, bukannya menggunakan pentas ceramah untuk menanam kebencian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) yang berkelayakan PhD menjadi bukti pentingnya ilmu pengetahuan dalam bidang agama. Warga awam hendaklah berkata-kata berlandaskan ilmu dan sikap yang tepat dalam menyampaikan maklumat dan tidak dipandu sentimen semata-mata, contohnya dalam kes ‘lesbians, gays, bisexuals and transgenders’ (LGBT).
Mereka ini bukanlah golongan yang baru muncul selepas PH memenangi pilihan raya. Malah, pada tahun 1980-an dulu, telah wujud Persatuan Mak Nyah yang ditubuhkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Masalah LGBT yang telah lama wujud perlulah dilihat dengan neraca tanggungjawab rakyat dan tanggungjawab pemerintah. Laknat yang terdapat dalam hadis yang berkait mereka tidak menatijahkan bahawa dakwah perlu berhenti.
Ramai yang gemar membuka kisah kaum Nabi Luth alaihissalam yang musnah ditimpa bala, tetapi berapa ramai yang bercerita tentang berapa lama beliau berdakwah, malah menawarkan anak perempuannya untuk dikahwini?
Seharusnya, kita meletakkan kepercayaan kepada Menteri Agama dan pihak pemerintah untuk melaksanakan hukuman sementara kita terus mengislah mereka dengan kalam-kalam dan qudwah (teladan) yang terbaik.
Jika selemah-lemah iman adalah membenci dalam hati, maka berdialog untuk memahami fikiran mereka merupakan langkah yang lebih baik kerana ia adalah amal lisan. Begitulah asas dalam kaedah dakwah – tidak terus melarang dengan keras, tetapi mendapatkan kepercayaan sasaran dakwah sebelum mengajaknya untuk berubah.
Sepatutnya juga, menyedari hakikat bahawa Malaysia terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum yang menganuti pelbagai agama, orang Islam di Malaysia sewajarnya melihat kepada titik persamaan yang terdapat dalam agama masing-masing dalam menangani sesuatu masalah kritikal seperti homoseksual, arak dan dadah.
Hal ini kerana setiap agama tidak mengiktiraf perbuatan salah yang memudaratkan diri tersebut. Umat Islam di Malaysia sepatutnya mengambil peluang untuk menetapkan pendirian bersama dengan penganut-penganut agama lain untuk menentang kemungkaran tersebut agar suara penentangan di ruang awam menjadi lebih kuat dan bukannya menjadi masalah penganut agama Islam semata-mata.
Khusus di Malaysia, kemajmukan negara menguatkan lagi keperluan penafsiran Islam yang sesuai dengan realiti semasa. Umpama kata sarjana Muslim ulung, Dr Jonathan Brown, pengamalan dan tasawwur (gambaran) Islam di Malaysia tidak sama seperti di Timur Tengah.
Sifat majmuk masyarakat kita sebenarnya memberi peluang besar untuk menaikkan nama Malaysia sebagai negara model pengurusan kepelbagaian (diversity management) dalam Islam.
Muslim yang merupakan 60% penduduk di negara ini tetap merupakan kelompok majoriti, namun minoriti 40% tidaklah kecil dan perlu diambil kira suara mereka.
Menurut sarjana maqasid syariah, Dr Jasser Auda, pelaksanaan undang-undang yang dianggap thawabit dalam agama seperti hudud, selain memerlukan kepada prasarana yang sepatutnya, bergantung kepada kesediaan dan kehendak warganegara.
Kepelbagaian kaum yang wujud di negara ini sebenarnya merupakan kekuatan. Kematangan dan kebijaksanaan akan lahir dalam diri seseorang individu apabila semakin banyak memperoleh sisi-sisi pandang kehidupan yang berbeza.
Begitu juga dengan bercampur gaulnya warganegara merentas etnik akan mewujudkan pertembungan idea yang terbaik untuk penyelesaian masalah-masalah negara.
Justeru, tidak dapat tidak, akan adanya juga kaum-kaum bukan Islam dalam tampuk pemerintahan. Hal ini tidak perlu sedikit pun menjadi kegusaran umat Islam di Malaysia kerana hal ehwal Islam tidak boleh dipinda begitu sahaja.
Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa sokongan dua pertiga daripada setiap dewan dan perkenan Majlis Raja-raja diperlukan dalam sebarang pindaan berkaitan agama persekutuan yakni Islam, kedudukan istimewa orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta Bahasa Kebangsaan.
Peruntukan Perlembagaan dalam soal hak-hak istimewa orang Melayu harus dilihat dengan neraca Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin (rahmat untuk seluruh alam); aqidah merupakan hak eksklusif orang Islam, namun manfaat agama pilihan Allah SWT ini harus dikongsi semua.
Memetik kata Dato’ Vinod Sekhar, keberadaan kaum Muslim di negara yang teramai dan mempunyai suara paling berpengaruh sepatutnya menjamin kesejahteraan kaum-kaum yang lain.
Akhir kalam, marilah kita bersama-sama menggapai cita-cita negara dengan membawa nuansa Islam yang ramah-tamah, bukan yang marah-marah. Seharusnya, kita melihat keberadaan kita di Malaysia dengan kaca mata kenegaraan dan rasa ingin membantu pemimpin dalam memperbaiki tanah air.
Marilah kita membuka masjid kepada kaum bukan Islam dan menunjukkan mereka keindahan agama kita seperti yang dilakukan orang Islam di negara Barat.
Marilah kita membaiki diri dalam hal-hal yang tidak perlu kepada hikmah deeniyyah (keagamaan), tetapi hanya hikmah insani atau ‘civility’. Marilah kita memperkayakan Malaysia dengan dialog mengenali satu sama lain dan mencari titik pertemuan.
Moga-moga akhlak kita mendorong kaum bukan Islam untuk bertanya tentang agama kita sehingga kita mampu menyampaikan kebenaran kalam Allah SWT kepada mereka.
Mohd Hafiz Abd Hamid
Timbalan Pengerusi IKRAM Muda