Pendidikan Islam dan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) sering dianggap sebagai dua aliran berbeza; satu menekankan pembinaan rohani dan ilmu agama, manakala satu lagi berfokus kepada kemahiran teknikal dan vokasional.
Namun, di Malaysia kedua-dua bidang ini semakin diintegrasikan bagi melahirkan modal insan holistik yang bukan sahaja berpengetahuan agama tetapi juga memiliki kemahiran pekerjaan.
Usaha pihak kerajaan Malaysia memperkasakan golongan huffaz (penghafaz al-Quran) dengan kemahiran teknikal adalah sebahagian daripada pendekatan ini.
Misalnya, kerajaan telah melancarkan inisiatif Tahfiz-TVET Malaysia pada Mac 2022 iaitu satu model latihan yang membentuk laluan kerjaya bagi pelajar tahfiz serta meningkatkan kebolehpasaran graduan tahfiz dalam pelbagai bidang TVET.
Integrasi ini juga selari dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang menekankan agar pendidikan tahfiz seiring dengan arus perdana, tanpa mengabaikan identiti dan nilai Islamiah.
Usaha penggabungan inisiatif Tahfiz-TVET
Usaha menggabungkan elemen TVET ke dalam pendidikan Islam telah dipelopori melalui kerjasama agensi kerajaan. Sejak tahun 2015, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia telah membangunkan kerangka latihan kemahiran di institusi tahfiz.
Program perintis dilaksanakan di Darul Quran JAKIM melalui Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang menyaksikan pelajar tahfiz mengikuti latihan kemahiran teknikal di samping pengajian al-Quran.
Kemuncak kerjasama ini terlihat pada Majlis Pelancaran Tahfiz-TVET di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) Shah Alam pada 16 Mac 2022 yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia.
Inisiatif ini bertujuan menyediakan platform agar lepasan tahfiz mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf serta melahirkan tenaga kerja kompeten berlandaskan piawaian kemahiran kebangsaan.
Pendekatan ini didukung oleh DPTN 2.0 yang antara lain menyarankan usaha mewujudkan model institusi tahfiz yang mengintegrasikan latihan kemahiran sebagai kesinambungan Pelan Tindakan DPTN 2016-2020.
Dari segi pelaksanaan, Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) pada 2020 telah mencadangkan agar lebih banyak pusat bertauliah menawarkan program TVET berteraskan Islamik.
Hasilnya, sehingga 31 Oktober 2020, sebanyak sembilan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) berkaitan Pengurusan Tahfiz, Pengajaran Tahfiz dan Pengurusan Masjid telah dibangunkan dan latihan kemahiran berdasarkan NOSS tersebut telah pun dilaksanakan di 22 pusat bertauliah di seluruh negara.
Program kemahiran ini dijalankan melalui platform Sistem Latihan Program Bertauliah (SLaPB) dan juga melalui pendekatan SLDN bagi memastikan pelajar memperoleh latihan secara sistematik di institusi serta di tempat kerja sebenar.
Di samping itu, kerajaan turut menyasarkan pertambahan pusat latihan kemahiran berhampiran sekolah tahfiz bagi memudahkan penyertaan lebih ramai pelajar tahfiz termasuk dari kawasan luar bandar dan golongan B40.
Langkah ini memperlihatkan komitmen pihak berkuasa untuk menjadikan pendidikan Islam sebahagian daripada kerangka TVET arus perdana.
NOSS tingkatkan kecekapan pengurusan
Salah satu fokus integrasi TVET dalam pendidikan Islam adalah meningkatkan kecekapan pengurusan institusi agama seperti maahad tahfiz, sekolah agama dan masjid melalui penggunaan NOSS.
NOSS berfungsi sebagai piawaian kompetensi kebangsaan yang menerangkan kemahiran, pengetahuan dan tugas yang perlu dikuasai bagi sesuatu pekerjaan.
Dalam konteks institusi agama, NOSS yang dibangunkan (misalnya Pengurusan Masjid Tahap 3, 4, 5 dan Pengurusan Tahfiz Tahap 3, 4, 5) membantu menyeragamkan latihan dan kelayakan bagi jawatan seperti pentadbir masjid, imam, mudir tahfiz dan tenaga pengajar.
Apabila piawaian kompetensi jelas ditetapkan maka institusi agama dapat melatih dan mengambil kakitangan yang benar-benar kompeten mengikut piawaian tersebut. Situasi ini menjadikan pengurusan lebih efisien dan produktif kerana setiap petugas memahami peranan dan tanggungjawab secara profesional.
Penggunaan NOSS dalam latihan pengurusan institusi agama membawa banyak manfaat praktikal. Sebagai contoh, NOSS Pengurusan Masjid merangkumi pelbagai aspek daripada pengimarahan masjid, penyelenggaraan prasarana, pengajaran ilmu fardu ain kepada masyarakat sehinggalah kemahiran ICT dan pentadbiran kewangan masjid.
Melalui kurikulum berstruktur ini, pengurus masjid dilatih secara menyeluruh iaitu bukan sahaja pandai mengajar dan memimpin ibadah, tetapi juga cekap mengurus operasi harian masjid, aset dan aktiviti kemasyarakatan.
Program latihan sedemikian bertujuan melahirkan modal insan yang mampu menjadi pengurus dan pentadbir yang menggerakkan serta mengembangkan fungsi masjid sebagai institusi pembinaan ummah yang berkualiti dan berjiwa Rabbani.
Oleh itu, dengan adanya kemahiran profesional seperti pengurusan fasiliti, etika kerja berkualiti dan komunikasi berkesan di samping pengaplikasian ilmu agama maka institusi seperti masjid dan sekolah agama dapat diurus secara lebih sistematik.
Hasilnya, kualiti perkhidmatan kepada masyarakat sekitar akan meningkat. Sebagai contoh, rekod pentadbiran masjid akan menjadi lebih teratur, program dirancang mengikut keperluan masyarakat dan aset masjid diselenggara dengan baik. Keadaan ini pastinya akan memaksimumkan potensi institusi agama sebagai pusat pembangunan rohani dan sosial.
Penilaian holistik ASK
Pendekatan TVET yang berasaskan kompetensi amat menekankan penilaian holistik terhadap Attitude (Sikap), Skills (Kemahiran) dan Knowledge (Pengetahuan) yang sering diringkaskan sebagai komponen ASK.
Berdasarkan konteks integrasi pendidikan Islam dan TVET, hasil pembelajaran para pelajar dinilai bukan sekadar pada pencapaian akademik atau hafazan tetapi melalui perubahan dan peningkatan dalam ketiga-tiga aspek ASK tersebut. Kompetensi dapat didefinisikan sebagai gabungan elemen tahu buat, boleh buat dan nak buat.
Hal ini bermaksud seseorang itu dianggap kompeten apabila dia tahu buat (mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang sesuatu tugas atau bidang), boleh buat (mempunyai kemahiran praktikal untuk melaksanakan tugas tersebut dengan standard yang ditetapkan) serta nak buat (mempunyai sikap positif, minat dan kesediaan melaksanakan tugas berkenaan).
Jika dilihat dalam konteks program Tahfiz-TVET, aspek Knowledge merangkumi pengetahuan agama yang kukuh serta teori kemahiran vokasional yang dipelajari (seperti teori elektrik atau prinsip automotif).
Aspek Skills pula diperoleh melalui latihan amali, sebagai contoh, pelajar tahfiz mempelajari kemahiran membaiki sistem elektrik, penyaman udara atau motor kecil di bengkel bertauliah.
Aspek Attitude pula diterapkan melalui disiplin latihan industri dan adab dalam pendidikan Islam seperti pelajar diasuh dengan nilai amanah, etika kerja Islamiah dan semangat khidmat kepada masyarakat.
Penilaian akhir biasanya dilakukan secara pentaksiran berasaskan kompetensi iaitu pelajar perlu membuktikan kebolehan praktikal mereka (contohnya membaiki peralatan elektrik di hadapan penilai), lulus ujian teori dan menunjukkan sikap profesional seperti kerjasama dan kepatuhan kepada prosedur keselamatan.
Pelajar hanya layak dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia atau Diploma Kemahiran Malaysia yang berkaitan apabila mereka berjaya mencapai tahap standard pada ketiga-tiga komponen ini.
Pendekatan ASK ini pastinya mampu menghasilkan graduan yang berkualiti iaitu bukan hanya berpengetahuan dan berkemahiran, malah berdaya tahan, berdisiplin serta berakhlak mulia, selaras dengan matlamat pendidikan Islam itu sendiri.
Integrasi menampakkan hasil
Integrasi Pendidikan Islam dalam kerangka TVET sudah mula menampakkan hasil melalui beberapa program rintis dan institusi yang berjaya. Seperti dinyatakan, Darul Quran JAKIM merupakan perintis dengan melaksanakan program diploma tahfiz yang disepadukan latihan kemahiran sejak 2015.
Terdapat banyak lagi institusi tahfiz awam dan swasta telah menyahut seruan ini. Berdasarkan data sehingga tahun 2020, sebanyak 22 pusat bertauliah di seluruh Malaysia termasuk institut latihan kemahiran dan pusat tahfiz telah menawarkan program kemahiran berteraskan Islam.
Sebagai contoh, Tahfiz Vokasional Ahmadiah di Kedah merupakan antara institusi tahfiz swasta yang menjadi pusat bertauliah, menawarkan latihan kemahiran vokasional kepada para pelajar tahfiz.
Begitu juga, Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR) di Perak telah membuka cawangan di Sabah untuk melatih pelajar tahfiz dalam bidang kemahiran tertentu.
Di peringkat institusi tinggi, International Islamic College (IIC) turut menawarkan program Sijil Kemahiran Malaysia dalam Pengurusan Masjid (Tahap 3), yang mensyaratkan pelajarnya menghafaz sejumlah juzuk al-Quran dan menguasai modul pengurusan masjid secara praktikal.
Program selama 12 bulan di IIC ini melatih pelajar dalam hafazan dan tajwid, pengurusan aktiviti masjid, khidmat masyarakat, kemahiran ICT dan penyelenggaraan infrastruktur masjid sebelum mereka dinilai untuk menerima SKM Tahap 3 Pengurusan Masjid.
Pendekatan integrasi ini telah membuka peluang lebih luas kepada lepasan tahfiz dan sekolah agama. Menurut rekod terkini, terdapat sekitar 175,000 pelajar di 1,199 maahad tahfiz berdaftar di Malaysia, dengan tambahan 125,000 pelajar di pusat tahfiz tidak berdaftar.
Populasi besar ini kini mempunyai pilihan laluan kerjaya yang lebih pelbagai. Kerajaan juga telah menyalurkan peruntukan untuk memperkasakan institusi tahfiz, termasuk dari segi latihan kemahiran.
Hasil integrasi TVET, ramai pelajar tahfiz kini dilatih dalam bidang elektrik, automotif, pendingin hawa, pertanian dan pelbagai bidang teknikal lain di samping melengkapkan pengajian al-Quran mereka.
Sebagai contoh, seorang lepasan tahfiz yang mengikuti kursus baik pulih penyaman udara akan memperoleh sijil kemahiran di samping sijil tahfiz, menjadikannya hafiz profesional yang mampu berdikari dalam kerjaya.
Beberapa graduan program Tahfiz-TVET telah berjaya mendapat pekerjaan atau memulakan perniagaan sendiri berbekalkan kemahiran yang diperoleh tanpa mengorbankan jati diri sebagai ilmuwan Islam.
Di pihak pengurusan institusi agama pula, program latihan berasaskan NOSS telah meningkatkan profesionalisme. Misalnya, terdapat imam muda dan pengurus masjid yang mengikuti kursus SKM Pengurusan Masjid Tahap 3-5, kini mengaplikasikan ilmu pengurusan moden di surau dan masjid kariah mereka.
Mereka memperkenalkan sistem rekod keahlian jemaah, jadual penyelenggaraan berjadual, modul dakwah komuniti yang lebih terancang, dan pengurusan kewangan telus di institusi masing-masing.
Pusat tahfiz yang dahulu diurus secara tradisional kini dibimbing oleh mudir bertauliah yang mempunyai Diploma Kemahiran Malaysia dalam Pengurusan Tahfiz mampu merangka kurikulum bersepadu, mengurus sumber manusia dan memastikan kebajikan serta disiplin pelajar lebih terjaga.
Perubahan-perubahan ini menyumbang kepada peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan di institusi agama dan disambut baik oleh masyarakat umum.
Manfaat integrasi
Integrasi pendidikan Islam dalam kerangka TVET di Malaysia merupakan langkah strategik yang membawa dua manfaat utama.
Pertama, ia memperkasakan individu khususnya para huffaz dan lepasan institusi agama dengan kemahiran boleh kerja yang relevan, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing mereka dalam ekonomi moden tanpa meninggalkan asas agama.
Kedua, ia memantapkan institusi agama itu sendiri melalui pengurusan yang sistematik dan profesional. Penggunaan piawai kompetensi seperti NOSS memastikan latihan yang diberikan menepati piawaian industri dan keperluan sebenar pengurusan institusi, manakala pendekatan penilaian ASK menjamin kualiti lulusan yang holistik dari segi sikap, kemahiran dan pengetahuan.
Malaysia kini berada pada landasan yang tepat dalam usaha melahirkan modal insan Ulul Albab iaitu generasi yang cemerlang dalam ilmu duniawi dan ukhrawi.
Inisiatif seperti Tahfiz-TVET, jika diteruskan dan diperluas pastinya akan menghasilkan lebih ramai profesional Muslim yang bukan sahaja mampu mengurus hal ehwal agama dengan efisien, malah menjadi penggerak inovasi dalam sektor teknikal dan vokasional.
Berbekalkan sokongan berterusan pelbagai pihak termasuk kerajaan, institusi agama, industri dan komuniti, integrasi ini berpotensi menjadikan pengurusan institusi agama lebih efisien dan produktif serta melahirkan graduan berkompetensi tinggi yang “boleh buat, nak buat dan tahu buat” demi kemajuan ummah dan negara.
Nurul Nisha Mohd Shah
Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau
Mohd Radzman Basinon
Pengarah Kreatif
Sixtysix Action Academy