‘Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani’ adalah tema yang tepat dan membanggakan para pekerja yang berumur 18 tahun dan ke atas.
Sebanyak 70 peratus golongan pekerja ini bekerja di Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), sektor yang meliputi 97.2 peratus pemilikan perniagaan di Malaysia, manakala aktivitinya pula menyumbang sebanyak 38 peratus kepada pendapatan negara.
Ini menjadikan 70 peratus tenaga kerja di PKS sangat penting kepada kelangsungan perniagaan yang menyumbang kepada pembangunan negara.
Risiko Kemalangan Maut
Walau bagaimanapun, pekerja Malaysia terdedah kepada risiko kemalangan maut jalan raya yang tinggi setiap hari.
Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kemalangan jalan raya adalah penyebab utama kematian golongan muda. Dua daripada tiga kes kemalangan jalan raya yang berlaku setiap hari melibatkan pekerja dalam perjalanan ke tempat kerja.
Kemalangan maut jalan raya melibatkan pekerja juga adalah dua kali lebih tinggi berbanding kemalangan maut yang disebabkan pekerjaan di tempat kerja.
Lebih membimbangkan apabila kebanyakan kemalangan jalan raya ini melibatkan perjalanan ke tempat kerja di waktu pagi.
Ini menyebabkan kehilangan sumber pendapatan kepada individu dan keluarga pekerja serta pembaziran kepada pelaburan latihan oleh majikan dan industri apabila pekerja gagal hadir kerja kerana kecederaan.
Oleh itu, perjalanan selamat adalah penting untuk memastikan pelaburan industri dan kelangsungan hidup individu pekerja terjamin.
Tiada pekerja di Malaysia yang tidak perlu melakukan perjalanan dan menggunakan jalan raya untuk tujuan kerja.
Suri rumah juga perlu melakukan perjalanan dan menggunakan jalan raya untuk tujuan menyempurnakan urusan rumah tangga mereka seperti membeli barang runcit dan menghantar anak ke sekolah.
Tiada rakyat Malaysia yang bergelar pekerja yang tidak perlu menggunakan jalan raya untuk bekerja. Namun, risiko kemalangan di atas jalan raya kepada pekerja adalah sangat tinggi.
Penggunaan Motosikal Meningkat
Kajian Universiti Sains Malaysia dengan majikan di Taman Perindustrian Batu Kawan,Pulau Pinang menunjukkan bahawa kemalangan jalan raya ini melibatkan pekerja golongan B40 yang menggunakan motosikal kapcai.
Ini konsisten dengan kadar kematian atas jalan raya melibatkan penunggang motosikal adalah tertinggi dan hampir 70 peratus.
Di sesetengah negeri seperti Pulau Pinang, kadar kematian melibatkan penunggang motosikal adalah lebih tinggi iaitu 80 peratus.
Ini bermakna, 80 daripada 100 orang penunggang motosikal di Pulau Pinang berkemungkinan mati dalam perjalanan ke tempat kerja sekiranya terlibat dalam kemalangan di atas jalan raya.
Senario ini patut membimbangkan negara sekiranya 70 peratus daripada pekerja Malaysia juga direkodkan bekerja di sektor PKS yang merupakan 97.2 peratus jenis perusahaan yang terdapat di Malaysia.
Kemalangan jalan raya melibatkan pekerja setiap pagi ini besar kemungkinan menyebabkan kehilangan ramai tenaga kerja yang akan menyebabkan daya saing perusahaan negara terjejas. Ini adalah suatu keadaan yang belum mendapat perhatian khusus negara.
Penggunaan motosikal yang tinggi oleh rakyat Malaysia akan terus meningkat dengan jumlah pemilikan motosikal untuk tempoh dua tahun kebelakangan ini melebihi pemilikan baru kereta.
Kajian rintis menunjukkan penggunaan motosikal dijangka akan berterusan meskipun kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal adalah sangat tinggi.
Ini adalah kerana keadaan jalan raya yang sentiasa sesak, kesesuaian motosikal untuk perjalanan jauh dan peningkatan permintaan kepada khidmat penghantaran makanan ekoran kesan pandemik baru-baru ini.
Kebanyakan pekerja yang menunggang motosikal perlu membuat perjalanan tidak kurang dari 30 kilometer ke tempat kerja setiap hari. Ini menjadikan motosikal sebagai pilihan pengangkutan utama rakyat dan pekerja Malaysia.
Urus Perjalanan Selamat
Oleh sebab itu, negara dan agensi yang bertanggungjawab menguruskan keselamatan jalan raya perlu mengambil pendekatan serius memastikan pekerja yang menunggang motosikal dapat sampai ke destinasi dengan selamat.
Ini bagi menjadikan perjalanan pekerja selamat adalah suatu matlamat jangka panjang.
Idea menuding jari kepada sikap penunggang motosikal juga tidak patut diteruskan kerana analisis faktor penyebab kemalangan melibatkan penunggang motosikal juga menunjukkan bahawa kelajuan bukanlah penyebab utama kemalangan penunggang motosikal.
Faktor utama adalah kegagalan penunggang motosikal untuk mengendalikan motosikal dan mengelak bahaya yang disebabkan oleh pengguna kenderaan yang lebih besar.
Walaupun jumlah pengguna motosikal sudah setara dengan pemilikan kereta empat roda, pengguna motosikal tidak mempunyai kelebihan dan ruang yang sama di atas jalan raya.
Penunggang motosikal perlu mencari ruang sesuai untuk bergerak di atas jalan raya dan ini mendedahkan pengguna motosikal kepada risiko yang tinggi dan keperluan kepada kompetensi mengendalikan motosikal yang sangat tinggi juga.
Kekeliruan kedudukan penunggang motosikal di atas jalan raya kita juga masih berterusan kerana undang-undang jalan raya kita tidak memperuntukkan ruang jelas kepada pekerja yang menunggang motosikal setiap hari ke tempat kerja.
Inisiatif CAMS
Oleh kerana keseriusan kehilangan tenaga kerja berdaya saing kepada kemalangan jalan raya ke tempat kerja setiap hari, saya ingin mengajak lebih banyak lagi industri untuk secara sukarela bersama kami memainkan peranan untuk memastikan pekerja anda selamat tiba ke tempat kerja.
Commuting Safety Management System (CAMS), satu projek di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang telah membuktikan bahawa ramai majikan mengambil serius keselamatan pekerja mereka dan ingin memainkan peranan dalam memastikan pekerja mereka selamat tiba setiap hari ke premis kerja.
Dalam projek ini, latihan penunggangan selamat diberikan kepada setiap pekerja yang menunggang motosikal dan pemantauan secara sukarela terhadap risiko dan bahaya kemalangan jalan raya juga dilaksanakan.
Hasilnya adalah kemalangan sifar sepanjang lapan bulan untuk pekerja yang menunggang motosikal dan telah menyempurnakan latihan.
Selain itu, hasil kajian juga menunjukkan tiada kecederaan tangan kepada penunggang bila terlibat dalam kemalangan apabila menggunakan sarung tangan yang dibekalkan majikan.
Penglibatan aktif majikan dalam projek CAMS menyokong usaha Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menangani masalah kemalangan jalan raya dalam kalangan pekerja.
Tema Hari Pekerja pada tahun ini sangat bertepatan dengan isu kemalangan jalan raya melibatkan pekerja.
Majikan yang memainkan peranan aktif secara sukarela untuk memastikan pekerja tiba selamat di tempat kerja telah secara langsung memastikan seorang suami, bapa, abang dan datuk sebuah keluarga selamat dan sihat sepanjang masa.
Inisiatif murni majikan yang berterusan di tempat kerja ini perlu dalam pembinaan sebuah negara Malaysia yang rahmah dan sentiasa mengangkat nilai kemanusiaan dengan lebih tinggi lagi.
Semoga peranan yang dimainkan di tempat kerja dapat menjamin keselamatan perjalanan setiap pekerja. Selamat Hari Pekerja Malaysia – ‘Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani.’
Profesor Madya Dr Lilis Surienty Abd Talib
School of Management, Universiti Sains Malaysia
Ahli Kluster Kemakmuran Ekonomi, Pertubuhan IKRAM Malaysia