Indeks Negara Rahmah: Memahami Dimensi Politik

negara rahmah

Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR) diperkenalkan oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia sebagai instrumen untuk menilai persepsi masyarakat terhadap kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Indeks ini dibangunkan secara teliti dan komprehensif merangkumi tiga dimensi utama iaitu politik, sosial dan ekonomi. Terdapat lima ciri dalam dimensi politik, di mana empat daripadanya secara langsung merangkumi aspek kepimpinan dan tadbir urus.

Ciri tersebut adalah kepimpinan negara yang berwibawa, kompeten dan berintegriti; sistem pemerintahan berasaskan semak dan imbang yang berkesan; tadbir urus yang baik; serta undang-undang yang adil. Satu lagi ciri dalam dimensi politik pula melibatkan aspek geopolitik iaitu ciri menerajui keamanan dan kesejahteraan sejagat.

Dalam IMNR 2025, skor keseluruhan indeks berada pada tahap sederhana iaitu 7.42, manakala dimensi politik mencatatkan skor 7.08. Skor ini menunjukkan bahawa rakyat secara umum mengiktiraf kemajuan dalam aspek kepimpinan dan tadbir urus, namun masih menilai beberapa aspek pelaksanaan dasar dan keberkesanan institusi secara berhati-hati.

Kepimpinan dan sistem pemerintahan

Ciri kepimpinan berwibawa, kompeten dan berintegriti adalah ciri pertama yang dilihat dalam penilaian dimensi politik. Penilaian indikator kewibawaan pemimpin menjurus kepada bagaimana pemimpin berpegang kepada prinsip serta berpandangan jauh. Indikator ini penting dalam menentukan hala tuju masa depan negara.

Dalam IMNR 2025, ciri kepimpinan negara yang berwibawa, kompeten dan berintegriti mencatatkan skor 7.00, menunjukkan tahap keyakinan rakyat yang sederhana terhadap kualiti kepimpinan negara.  Pemimpin negara yang kompeten pula bukan sahaja mematuhi tuntutan perlembagaan, malah menguruskan sumber dengan baik serta mampu menyelesaikan masalah serta isu negara secara berkesan.

Ciri kompetensi ini perlu dilengkapkan dengan prinsip integriti, di mana pemimpin yang memegang tampuk kekuasaan harus mengekalkan kejujuran, berpegang kepada prinsip Rukun Negara dalam memelihara amanah, serta mendahului kesejahteraan masyarakat melebihi kepentingan peribadi.

Ciri kedua dalam dimensi politik ialah sistem pemerintahan yang berfungsi melalui mekanisme semak dan imbang yang berkesan. Dalam kerangka Demokrasi Berparlimen di bawah sistem Raja Berperlembagaan, ciri kepimpinan berwibawa turut disokong oleh pengasingan kuasa yang jelas antara Badan Legislatif, Eksekutif dan Kehakiman.

Dalam IMNR 2025, ciri sistem pemerintahan yang berasaskan semak dan imbang mencatatkan skor 6.95, menunjukkan bahawa mekanisme akauntabiliti institusi masih dilihat mempunyai ruang penambahbaikan.

Dalam konteks demokrasi moden, kekuatan sesebuah negara bukan hanya bergantung kepada keupayaan kerajaan memerintah, tetapi juga kepada keupayaan institusi untuk menyemak, mengimbangi dan memastikan kuasa dilaksanakan secara telus serta bertanggungjawab. 

Ketiga-tiga cabang kuasa ini hendaklah beroperasi secara bebas dan berintegriti demi memastikan keseimbangan tadbir urus serta akauntabiliti pelaksanaan dasar.

Semak dan imbang turut diperkukuh oleh peranan pembangkang yang kompeten dalam menilai dan mengkritik dasar secara konstruktif, media yang melaporkan secara seimbang, serta penglibatan masyarakat, pemain industri dan pemikir dalam proses perundingan dasar.

Tadbir urus, undang-undang dan keamanan sejagat

Pengurusan agensi kerajaan dinilai dalam ciri ketiga dimensi politik. Dalam ciri ini, persepsi rakyat diukur dari segi tadbir urus yang baik dengan matlamat memenuhi kepentingan awam melalui pelaksanaan dasar yang konsisten.

Dalam IMNR 2025, ciri tadbir urus yang baik mencatatkan skor 6.99, yang menggambarkan bahawa persepsi rakyat terhadap keberkesanan pentadbiran kerajaan berada pada tahap sederhana dan masih memerlukan penambahbaikan dari segi kecekapan serta tahap kepercayaan terhadap institusi awam.

Ini menunjukkan bahawa rakyat bukan sahaja menilai dasar yang diumumkan, tetapi juga keberkesanan pelaksanaannya di peringkat institusi dan agensi kerajaan.

Kerajaan serta badan terlibat harus mengamalkan keprihatinan terhadap isu rakyat, bersifat inklusif dan telus, serta perkhidmatan badan kerajaan mudah diakses di setiap peringkat. Tata kelola yang baik serta penambahbaikan berterusan juga perlu menjadi amalan dalam menjamin keberkesanan pentadbiran.

Aspek perundangan dan kehakiman menjadi ciri keempat dalam dimensi politik IMNR. Ciri keadilan undang-undang boleh dilihat dari tiga sudut indikasi iaitu undang-undang itu sendiri, pentadbiran badan kehakiman dan penguatkuasaan undang-undang.

Dalam IMNR 2025, ciri undang-undang yang adil mencatatkan skor 6.98, menunjukkan bahawa persepsi rakyat terhadap keadilan undang-undang berada pada tahap sederhana. 

Kedaulatan undang-undang dipelihara melalui ciri undang-undang yang memberi keadilan dan kesaksamaan kepada semua tanpa unsur penindasan atau kronisme.

Pentadbiran undang- undang yang baik harus bermula dengan badan kehakiman yang bebas, serta pengurusan sistem perundangan yang selari dengan perlembagaan. Begitu juga badan kehakiman harus bersifat adil secara menyeluruh serta proses dilaksanakan dengan cekap dan telus.

Ciri IMNR yang kelima dalam dimensi politik adalah menerajui agenda keamanan dan kesejahteraan sejagat. Dalam IMNR 2025, ciri ini mencatatkan skor 7.50, iaitu antara skor yang lebih tinggi dalam dimensi politik.

Kestabilan politik negara tidak dapat dipisahkan daripada keadaan geopolitik serantau dan global, kerana persekitaran luar yang tidak kondusif berpotensi menjejaskan kestabilan domestik.

Justeru, pentadbiran dan dasar luar Malaysia perlu dibentuk berasaskan strategi yang teguh bagi memastikan kedaulatan negara terjamin serta melindungi kepentingan negara daripada pengaruh dan ancaman luar.

Usaha geopolitik Malaysia bermula dengan kepekaan terhadap pergolakan antarabangsa dan seterusnya memainkan peranan strategik melalui kerjasama dengan negara-negara lain dalam mencapai matlamat keamanan sejagat.

Dalam menerajui agenda kesejahteraan global pula, Malaysia harus berperanan dalam usaha keamanan peringkat antarabangsa. Ini termasuk memperjuangkan hak kesejahteraan individu sama ada rakyat Malaysia mahupun bukan warganegara.

Peranan dimensi politik

Jika kesejahteraan negara dapat diukur melalui tahap kemakmuran ekonomi dan sosial yang dirasai rakyat, maka dimensi politik memainkan peranan utama kerana ia menentukan kualiti kepimpinan dan tadbir urus yang menggerakkan pembangunan negara.

Politik juga berfungsi sebagai pemacu arah dan pembentuk dasar agar manfaat pembangunan dapat dinikmati secara adil dan menyeluruh oleh seluruh lapisan masyarakat

Dalam kerangka IMNR, lima ciri yang digariskan menjadi asas untuk menilai komitmen pemerintah dalam memegang amanah kuasa secara adil, bertanggungjawab dan berintegriti serta tahap kesedaran politik rakyat dalam menyokong kepimpinan dan tadbir urus yang baik. 

Sehubungan itu, dapatan IMNR menunjukkan bahawa cabaran utama politik negara bukan sekadar meningkatkan kecekapan pentadbiran, tetapi memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap integriti institusi dan keberkesanan sistem pemerintahan secara keseluruhan.

Dalam erti kata lain, kemajuan ekonomi dan keharmonian sosial yang dihasratkan dalam kerangka Negara Rahmah hanya dapat direalisasikan sekiranya kepimpinan negara dan sistem tadbir urus mampu mengekalkan kepercayaan rakyat melalui amalan integriti, akauntabiliti dan keadilan yang konsisten.

Putri Noradyani Megat Hashim

Pengurus Penyelidikan

Nusantara Academy for Strategic Research (NASR)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia