Imran Khan Kritik Pakistan Larang Himpunan Awam

Imran Khan Kritik Pakistan Larang Himpunan Awam | IKRAM

Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menuduh kerajaan Pakistan cuba menghalangnya untuk bertanding dalam pilihan raya selepas berpuluh-puluh penyokongnya ditangkap dan cedera dalam tindakan keras polis terhadap satu perhimpunan pilihan raya di Lahore.

Imran membatalkan perhimpunan partinya Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) di bandar timur, ibu kota wilayah Punjab selepas polis menggunakan gas pemedih mata dan penyembur air ke atas penyokongnya kerana mengingkari larangan kerajaan terhadap perhimpunan awam.

“Kerajaan dan penyokongnya berasa takut dengan pilihan raya kerana setakat ini dalam lapan bulan terakhir, daripada 37 pilihan raya kecil, parti saya telah memenangi 30 daripadanya,” kata beliau pada Selasa, menurut laporan Al Jazeera.

“Mereka mahu sama ada menangkap atau membatalkan kelayakan saya kerana mereka takut [dengan kenyataan bahawa] parti saya adalah antara yang paling popular dalam sejarah Pakistan,” katanya di kediamannya di Lahore.

Parti PTI dijadual mengadakan perhimpunan untuk memulakan kempennya bagi pilihan raya wilayah itu yang ditetapkan pada 30 April, tetapi pihak berkuasa mengharamkan acara itu hanya beberapa jam sebelum ia dijadualkan “untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” lapor media tempatan.

“Polis sudah memberi kebenaran dan meluluskan laluan perhimpunan itu, tetapi tiba-tiba pagi ini kebenaran itu ditarik balik. Kontinjen besar polis telah dikerahkan dan orang ramai yang datang untuk menghadiri perhimpunan aman telah dipukul dengan peluru gas pemedih mata dan penyembur air,” kata bekas perdana menteri itu.

Imran mendakwa penyokong partinya, Ali Bilal dibunuh semasa dalam tahanan polis, walau bagaimanapun kebenaran dakwaan itu belum dapat disahkan.

Imtiaz Gul, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan dan Kajian Keselamatan, menggelar tindakan polis terhadap penyokong pembangkang sebagai “tidak perlu dan kejam.”

“Terdapat kerahan besar-besaran polis untuk menghalang petugas PTI daripada menghadiri perhimpunan itu.”

“Terdapat semua petunjuk bahawa kerajaan persekutuan cuba menangguhkan pilihan raya di wilayah Punjab dan Khyber Pakhtunkhwa,” kata Gul di Islamabad.

Pilihan raya di Punjab, serta di wilayah jiran Khyber Pakhtunkhwa – yang dijadualkan pada 30 April – diumumkan selepas pembubaran dewan kedua-dua wilayah itu yang menyumbang 70 peratus daripada jumlah penduduk negara itu.

Kedua-dua dewan itu ditadbir oleh parti PTI yang diketuai Imran Khan. Beliau telah menggesa pembubaran wilayah itu dalam usaha untuk memaksa pilihan raya kebangsaan awal di Pakistan yang dijadualkan pada Oktober.

Kerajaan penggantinya, Shehbaz Sharif, telah menolak tuntutan Imran dengan mengatakan, pengundian akan berlangsung seperti yang dijadualkan pada akhir tahun ini.

“Adalah jelas bahawa kerajaan tidak mahu pilihan raya,” kata Imran, sambil menambah bahawa dia membatalkan perhimpunan itu kerana bimbang nyawa penyokongnya berada dalam bahaya.

Pada April tahun lalu, Imran Khan, 70, menjadi satu-satunya perdana menteri Pakistan yang disingkirkan daripada kuasa melalui undi tidak percaya di parlimen.

Beliau menghadapi pelbagai kes terhadapnya daripada ‘keganasan’ dan cubaan membunuh kepada pengubahan wang haram sejak kehilangan kuasa.

Imran menolak semua kes itu sebagai ‘sembrono’ dengan mengatakan bahawa tuduhan itu “hanya satu cara lain untuk menghalang saya daripada bertanding dalam pilihan raya.”

Beliau yang menghadapi 76 kes mahkamah menegaskan bahawa beliau terpaksa berhenti hadir ke mahkamah kerana kecederaan yang dialami akibat cubaan membunuh.

“Selama empat bulan saya mempunyai tiga peluru di kaki saya, jadi saya tidak boleh berjalan,” katanya.

Imran Khan tinggal di Lahore sejak November apabila beliau ditembak di kaki oleh seorang lelaki bersenjata semasa satu perhimpunan bantahan. Sejak itu, beliau hanya pergi sekali ke Islamabad – minggu lalu – untuk hadir ke mahkamah dalam kes-kes lain terhadapnya.

Katanya, beliau telah berulang kali meminta perlindungan keselamatan semasa penampilannya di mahkamah, tetapi ia tidak pernah diberikan.

“Hidup saya terancam kerana orang yang cuba membunuh saya berkuasa… Persoalannya ialah bagaimana saya berkempen dan persekitaran yang selamat dan sejahtera? Bagaimana saya pergi ke mahkamah? Saya membuat tiga penampilan mahkamah dan malangnya tiada perlindungan di sana,” tambahnya.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif telah menafikan bahawa beliau berada di belakang cubaan membunuh Imran Khan.

Pada Selasa, Mahkamah Tinggi Islamabad menggantung waran tangkap terhadap Imran dalam kes yang berkaitan dengan dakwaan pembelian dan penjualan haram hadiah yang diberikan kepadanya oleh orang kenamaan asing semasa beliau memegang jawatan perdana menteri.

Hakim mahkamah memerintahkan polis untuk tidak menangkap Imran sehingga 13 Mac. Mahkamah juga memerintahkan bekas perdana menteri itu untuk hadir ke mahkamah berkenaan pada 13 Mac dalam kes hadiah orang kenamaan asing.

Polis pada Ahad cuba menangkap Imran Khan di kediamannya di Lahore, tetapi pemain kriket yang bertukar menjadi ahli politik itu mengelakkan diri daripada mereka.

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia