Ibadah qurban adalah sunnah para Nabi sejak awal. Ia telah disyariatkan dari Nabi Adam AS di mana anak-anak baginda telah diperintahkan oleh Allah melakukan ibadah tersebut sebagai suatu ujian.
Riwayat menunjukkan bahawa Habil telah melepasi ujian tersebut dan mendapat keredhaan Allah sedang Qabil gagal dimurkai oleh Allah. Sesungguhnya ibadah qurban yang disyariatkan kepada umat Muhammad SAW adalah mengambil sempena dari ibadah qurban yang diperintahkan kepada keluarga Ibrahim AS.
Sesungguhnya Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS telah melepasi satu tahap ujian yang membuktikan kesediaan untuk melaksanakan perintah Allah meski ianya amat berat iaitu seorang ayah diperintahkan untuk menyembelih anaknya sendiri. Sebagai ganjaran di atas kesabaran dan benarnya iman keluarga Ibrahim maka Allah telah menggantikan Ismail dengan sebuah domba yang besar.
Hari ini ibadah qurban ini dihayati dalam bentuk menyembelih haiwan ternakan pada Hari Raya Qurban. Ia adalah satu lambang bahawa seorang muslim sentiasa bersedia untuk berqurban demi meninggikan kalimah Allah dalam semua keadaan.
Jika Ibrahim AS bersedia menuruti perintah Allah untuk mengorbankan anak yang paling disayanginya, maka tidak ada yang menghalang seorang Muslim untuk mengorbankan apa sahaja pada dirinya demi melaksanakan perintah Allah SWT.
Ibadah qurban juga adalah lambang perpaduan ummah yang tidak mengenali batas sempadan. Pada hari ini, sering kali umat Islam digalakkan untuk berkorban kepada ‘yang lebih memerlukan’.
Daging ibadah qurban akan diagih-agihkan di tempat-tempat di mana umat Islam menderita akibat konflik, peperangan dan bencana alam. Kini terdapat pelbagai skim penyertaan ibadah qurban yang disempurnakan melalui inisiatif pelbagai NGO di negara-negara umat Islam yang menjadi keutamaan.
Namun yang lebih penting daripada ibadah qurban itu sendiri ialah sejauh manakah umat Islam menghayati hikmah di sebaliknya. Ia bukan sekadar menyembelih haiwan qurban dan daging diagih-agihkan kepada fakir miskin setiap tahun tanpa diiringi dengan perubahan sikap dan keutamaan dalam menyusun agenda kehidupan.
Sesungguhnya ibadah qurban yang dilakukan pada pagi Eid-ul-Adha itu hanyalah satu permulaan dan penterjemahan kepada tekad yang bulat untuk sedia berkorban dalam setiap ketika.
Solidariti umat bukan diukur dengan menagihkan daging qurban setahun sekali kemudian melupakan tanggungjawab yang lebih besar untuk membela umat Islam di mana sahaja mereka berada.
Di Palestin khususnya, tanggungjawab umat Islam tidak selesai dengan hanya melakukan ibadah qurban, kemudian melupakan penderitaan saudara-saudara seakidah yang ditindas oleh musuh-musuh zionis sepanjang masa.
Rakyat Palestin sudah terjajah lebih dari 61 tahun kini dan Baitul Maqdis tanah suci umat Islam serta Masjid al-Aqsa yang terdapat di sana sudah berada dalam cengkaman zionis selama lebih dari 45 tahun.
Tentunya umat Islam punya kewajipan untuk membebaskan tanah suci umat Islam dan memelihara kesucian Masjid al-Aqsa yang sentiasa diancam oleh musuh-musuh zionis Israel.
Jika warga Palestin berada di barisan depan bumi ribat Baitul Maqdis (bumi peperangan), maka saudara-saudara seiman di seluruh dunia memberi mereka segala bantuan dan sokongan yang diperlukan untuk memenangkan jihad ini.
Saudara-saudara mereka tidak akan membiarkan mereka bersendirian mempertahankan tanah suci umat Islam. Lebih dahsyat lagi jika saudara-saudara mereka berkhianat dan bersekongkol pula dengan musuh-musuh mereka dalam menjalankan makar untuk melemahkan perjuangan rakyat Palestin seperti yang berlaku pada hari ini.
Alhamdulillah, kini perjuangan rakyat Palestin mula memasuki fasa baru. Rejim-rejim Arab yang selama ini bersekongkol dengan musuh-musuh umat Islam tumbang satu demi satu.
Rejim-rejim Arab yang berjiran dengan Negara Palestin yang terjajah sebelum ini telah menambah derita rakyat Palestin. Mereka bukan melegakan sebaliknya tunduk kepada Israel dan pelindungnya Amerika Syarikat untuk mengenakan pelbagai tekanan dan kezaliman berterusan kepada umat Islam di Palestin. Selama hampir lima tahun Gaza dikepung dari semua arah.
Rafah sebagai satu-satunya laluan keluar masuk jalan darat ke Mesir tertutup rapat dan hanya dibuka secara terhad untuk sehari dua dalam sebulan dengan pelbagai syarat tidak munasabah kepada rakyat Palestin untuk menyeberang masuk ke Mesir bagi mendapatkan barang-barang asas dan keperluan harian.
Tumbangnya diktator Arab yang mencengkam rakyatnya sendiri adalah satu bukti bahawa kezaliman yang dilakukan ke atas rakyat Palestin akan berakhir. Soalnya, bukan apakah Palestin akan bebas merdeka dari cengkaman Israel, tetapi soalnya sekarang ialah bila ia akan dibebaskan.
Pengorbanan yang dilakukan oleh umat Islam pada dua tahun kebelakangan ini amat memberangsangkan. Bantuan kewangan yang datang mencurah-curah daripada rakyat Malaysia khususnya umat Islam untuk meringankan beban saudara-saudaranya Palestin adalah bukti pertautan hati umat Islam.
Pada misi kemanusiaan yang diterajui oleh Aqsa Syarif pada bulan Ramadhan-Syawal yang lepas iaitu melalui misi A2G8 (Misi ke 8 Aqsa Syarif ke Gaza), rakyat Malaysia telah menyalurkan sumbangan dalam bentuk pelbagai pelaksanaan projek lestari (kilang roti, akuakultur, ladang ternakan lembu, bantuan modal untuk pinjaman micro credit (Qardhul Hassan), projek Malaysian-Palestinian Industrial Village) atau ‘one-off’ (projek Back to School, projek iftar Ramadhan, Projek Ramadhan Food Package, pembinaan musolla dan projek membina semula rumah-rumah penduduk miskin).
Jumlah yang disumbangkan dalam misi tersebut mencecah RM2.8 juta. Bahkan dalam tempoh hampir tiga tahun rakyat Malaysia telah menyalurkan lebih daripada RM9 juta kepada rakyat Palestin dengan dimudah cara oleh Aqsa Syarif.
Meskipun kita amat bersyukur dengan perkembangan ini, namun umat islam tidak boleh berpuas hati dan harus meningkatkan lagi usaha untuk mengeluarkan rakyat Palestin dari kezaliman zionis yang mencengkam.
Rejim Israel masih terus melakukan pencerobohan demi pencerobohan, membina lebih banyak penempatan haram Yahudi di Baitul maqdis timur dan Tebing Barat yang dijajah pada tahun 1967.
Israel terus berdolak-dalih untuk melaksanakan penyelesaian dua negara ‘two state solution’ yang dijadikan umpan kepada dunia supaya terus mempercayai ‘kesungguhan’ Israel.
Tembok pemisah yang menceroboh jauh ke dalam wilayah yang diduduki di Tebing Barat dan hampir mengepung Baitul Maqdis dari semua arah terus dibina di atas tanah rakyat Palestin, menghalang mereka dari mengerjakan ladang-ladang zaitun yang mereka warisi sejak ratusan tahun. Anak-anak mereka terhalang daripada meneruskan persekolahan kerana tembok menghalang perjalanan mereka untuk ke sekolah.
Semua ini menuntut seluruh dunia Islam merenung sedalam-dalamnya implikasi tuntutan ibadah qurban yang disyariatkan pada Hari Raya Eid-ul-Adha. Apakah umat Islam telah menghayati makna ibadah qurban yang dilakukan saban tahun setiap tibanya Eid-ul-adha? Sudah tibalah waktunya umat Islam membuat satu lonjakan untuk menterjemahkan ibadah qurban melepasi sekadar satu ‘ritual’ atau ibadah khusus.
Sepatutnya ia membekas dijiwa untuk umat Islam bangkit dan menyahut perintah Allah dalam menunaikan tuntutan jihad sebagaimana keluarga Ibrahim AS mengorbankan anaknya yang paling disayangi demi mentaati arahan Allah SWT.
Dalam nada yang sama, umat Islam harus bersedia untuk mengorbankan masanya, tenaganya, harta dan sumber-sumber yang dimilikinya, mengerah pelbagai usaha untuk perjuangan pembebasan tanah suci Palestin.
Pada hari ini, kita melihat masyarakat antarabangsa termasuk masyarakat sivil (civil society) semakin memahami pencerobohan-pencerobohan yang dilakukan oleh Israel ke atas hak asasi rakyat Palestin.
Mereka menjalankan kempen-kempen boikot barangan yang menyokong ekonomi Israel yang dinamakan sebagai BDS (Boycott, Divestment and Sanction). Kempen BDS ini mendapat sokongan yang semakin besar di Amerika, Negara-negara EU dan Australia.
Malah, beberapa buah institusi pengajian tinggi dan universiti di USA telah memutuskan untuk mengalihkan pelaburan mereka daripada syarikat-syarikat yang dikenal pasti menyokong ekonomi Israel. British University turut mengusulkan untuk memboikot universiti-universiti Israel.
Kempen boikot Israel di negara-negara umat Islam perlu terus dilonjakkan dan umat Islam dan rakyat Malaysia harus menyahut kempen boikot barangan yang memberi sokongan ekonomi kepada Israel.
Boikot adalah pengorbanan yang amat kecil dan melatih diri untuk menyahut seruan pengorbanan yang lebih besar yang mana kemuncaknya ialah berjihad dengan harta dan jiwa raga untuk membebaskan bumi Palestin dan tanah suci Baitul Maqdis.
Pengorbanan umat Islam untuk membela rakyat Palestin adalah sangat dititikberatkan kerana bumi Palestin adalah bumi anbia, bumi yang penuh keberkatan, bumi di mana berlakunya peristiwa besar Israk dan Mikraj dan tempat yang akan menyaksikan pertarungan terakhir di antara hak dan batil menjelang hari kiamat.
Semuga Eid-ul-Adha pada tahun ini membawa satu perubahan dalam diri untuk melakukan apa sahaja pengorbanan samada kecil atau besar ke arah perjuangan pembebasan al-Aqsa.
Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi Aqsa Syarif
10 Zulhijjah 1433H
26 Oktober 2012