Konsep Malaysia Negara Rahmah berakar daripada kefahaman bahawa sebuah negara tidak boleh dinilai semata-mata melalui kemajuan material atau pertumbuhan ekonomi, tetapi melalui sejauh mana ia memanifestasikan sifat rahmah – kasih sayang, keadilan, kesejahteraan dan ihsan – dalam tadbir urus, sistem ekonomi dan kehidupan bermasyarakat.
Negara Rahmah ditakrifkan sebagai sebuah negara yang ditadbir selaras dengan nilai syariat, yang menyaksikan rakyat hidup bahagia, saling menghormati dan bekerjasama dalam kepelbagaian agama, etnik dan budaya.
Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR) merupakan satu inisiatif penting dalam menilai pencapaian pembangunan negara dari sudut yang lebih menyeluruh dan berteraskan nilai kemanusiaan.
Berbeza daripada indikator konvensional yang menekankan pertumbuhan ekonomi semata-mata, IMNR menilai sejauh mana prinsip rahmah – seperti keadilan, kesejahteraan, ihsan dan kelestarian – diterjemahkan dalam tadbir urus negara dan kehidupan rakyat.
Kajian IMNR 2025 yang dilaksanakan oleh Kajian Dasar IKRAM Sdn. Bhd. (KADRI) mengukur persepsi rakyat Malaysia terhadap usaha negara menuju pembentukan sebuah Negara Rahmah menjelang tahun 2035.
IMNR telah dilaksanakan sejak 2021, dan pada tahun 2025, instrumennya diperkukuh melalui kajian mendalam yang membawa kepada perluasan daripada 12 kepada 15 Ciri Negara Rahmah.
Ciri-ciri ini disusun dalam tiga dimensi utama, iaitu Dimensi Politik (Kepimpinan dan Tadbir Urus), Dimensi Sosial (Kesejahteraan dan Keharmonian Masyarakat) dan Dimensi Ekonomi (Kemampanan dalam Pembangunan Negara). Setiap ciri diukur melalui indikator dan item yang dibangunkan secara lebih komprehensif bagi mencerminkan realiti semasa negara.
Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR 2025) dan gagasan Malaysia MADANI bertemu sebagai satu kerangka nilai dan dasar yang saling melengkapi.
Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR 2025) diwujudkan untuk mengukur tahap pencapaian Malaysia ke arah pembentukan sebuah Negara Rahmah, dengan mengambil kira aspirasi agar setiap lapisan masyarakat benar-benar merasai keadilan, kesejahteraan dan tadbir urus yang beretika.
Pendekatan ini selari dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, kemanusiaan dan keadilan sosial sebagai asas tadbir urus negara.
Prinsip-prinsip ini direalisasikan secara praktikal melalui pelbagai inisiatif kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan i-SARA, yang memberi tumpuan kepada keperluan asas isi rumah berpendapatan rendah.
Pendekatan ini mencerminkan komitmen bahawa bantuan negara bukan sekadar bersifat sementara, tetapi berfungsi sebagai jaring keselamatan sosial untuk memastikan kelangsungan hidup yang bermaruah.
Kesemua dimensi yang dibentuk adalah sejajar dengan falsafah Ibnu Khaldun yang mengaitkan keadilan undang-undang dan ekonomi dengan kestabilan negara.
Dalam karya agungnya, Muqaddimah yang menjadi rujukan ketamadunan dan peradaban manusia dan masyarakat, ada ditegaskan bahawa negara terbaik ialah negara yang diasaskan atas keadilan dan kesejahteraan rakyat.
Bagi beliau, ketidakadilan dalam agihan sumber, pengabaian kebajikan rakyat dan kegagalan pemerintah melindungi kehidupan ekonomi masyarakat akan melemahkan asas negara. Pemikiran ini amat relevan dalam konteks pembangunan semasa, apabila tekanan ekonomi global menuntut campur tangan dasar yang lebih bersasar dan berperikemanusiaan.
Skor keseluruhan IMNR 2025 sebanyak 7.42, yang berada pada paras sederhana, mencerminkan realiti bahawa Malaysia sedang bergerak ke arah Negara Rahmah, namun masih berdepan cabaran struktur dan institusi.
Kekuatan utama dikenal pasti dalam aspek sosial, khususnya institusi keluarga yang utuh dan masyarakat yang berakhlak serta penyayang. Namun, skor yang lebih rendah dalam aspek agihan kekayaan dan beberapa elemen tadbir urus menunjukkan bahawa ciri rahmah belum sepenuhnya diterjemahkan secara sistemik dalam ekonomi dan struktur kuasa.
Kesimpulannya, sejajar dengan konsep yang dihuraikan dalam wacana Negara Rahmah, IMNR bukan bertujuan untuk membandingkan pencapaian negara, tetapi sebagai alat refleksi dan advokasi.
Ia membantu mengenal pasti keutamaan islah, memandu perbincangan dasar berasaskan bukti, serta menyokong pendekatan berorientasikan hasil dalam perancangan dan pelaksanaan pembangunan negara.
Dalam erti kata lain, IMNR mengoperasikan rahmah – melalui gabungan nilai, realiti dan data persepsi rakyat dan berfungsi sebagai kompas memastikan perjalanan Malaysia ke arah kemajuan yang tidak terpisah daripada keadilan, kesejahteraan dan rahmah untuk semua.
Prof. TPr. Dr. Melasutra Md. Dali
Felo Kajian Dasar IKRAM Sdn. Bhd. (KADRI)




