Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dengan tegas menolak sebarang tohmahan dan fitnah yang tersebar di media sosial bahawa kami pernah menerima dana daripada USAID.
Kenyataan ini adalah tidak benar sama sekali dan bertujuan untuk mencemarkan nama baik IKRAM serta menggugat kepercayaan masyarakat terhadap pertubuhan ini.
Faktanya, IKRAM tidak pernah menerima sebarang bantuan atau dana daripada USAID. Namun, IKRAM hanya pernah terlibat membantu mengedarkan 400 pek makanan sumbangan USAID semasa pandemik COVID-19 pada April 2020 di bawah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bantuan makanan ini disalurkan kepada anggota masyarakat yang memerlukan akibat bencana pandemik, dan bukan untuk IKRAM atau ahlinya.
Tambahan pula, penglibatan IKRAM pada masa itu adalah semata-mata atas dasar kemanusiaan dan tanggungjawab sosial untuk membantu golongan yang terkesan dalam situasi genting.
Penglibatan IKRAM adalah sukarela dan tidak melibatkan sebarang bentuk kerjasama berterusan atau pertukaran dana.
IKRAM ingin menegaskan bahawa segala aktiviti yang dijalankan oleh pertubuhan ini sentiasa berlandaskan prinsip kebajikan, kejujuran dan ketelusan.
Oleh itu, IKRAM menyeru kepada semua pihak agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang berita palsu atau fitnah yang disebarkan tanpa usul periksa.
IKRAM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang cuba menimbulkan fitnah pada bulan Ramadan yang mulia ini.
Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)